Sambil meneguk saki-baki jus epal yang dipesannya, gadis berusia 24 tahun itu merenung kosong ke luar jendela.

Biarpun tindakannya itu hampir meragut kebahagiaan wanita lain, namun wajahnya langsung tidak menunjukkan rasa kesal.

Sebaliknya, Naimah menegaskan keadaan tersebut berlaku di­sebabkan oleh ketentuan Ilahi.

“Saya mengenali kekasih saya, Ahmad (bukan nama sebenar), 35, dua tahun lalu ketika me­nunggu kenderaan diservis di sebuah bengkel.

“Kebetulan, hanya kami berdua sahaja yang berada di bilik me­nunggu. Pada waktu itu, saya sedang menyiapkan tugasan yang diarahkan oleh pensyarah.

“Entah bagaimana, Ahmad mendekati saya sebaik melihat pelan bangunan yang tertera di skrin komputer riba. Dari situ, kami mula berkenalan dan saling bertukar-tukar nombor te­lefon,” ceritanya memulakan bicara.

Menurut Naimah, pada mulanya dia tidak begitu menyenangi kehadiran Ahmad. Walaupun bapa kepada tiga orang cahaya mata itu mempunyai rupa paras yang kacak, namun rambut putih yang hampir memenuhi kepalanya itu membuatkan gadis kelahiran Terengganu itu berasa kurang selesa.

Bagaimanapun, sebaik Ahmad menunjukkan minat terhadap tugasan yang sedang dilakukan dan memperkenalkan dirinya sebagai seorang arkitek, hati Naimah mula berubah.

Biarpun begitu, menurut Nai­mah, pada waktu itu dia hanya meng­anggap Ahmad sebagai seorang abang sahaja.

“Perhubungan kami lama-kelamaan menjadi semakin akrab. Ahmad banyak me­ngajar saya selok-belok dunia seni bina.

“Bukan itu sahaja, saya turut menjalani latihan praktikal di firma arkitek kepunyaan Ahmad. Dari situ, perhubungan kami yang pada mulanya hanya sekadar abang dan adik bertukar menjadi pasangan kekasih,” jelasnya.

Diabai isteri

Menurut Naimah, perasaan tersebut berkemungkinan wujud disebabkan perasaan kasihannya terhadap Ahmad yang sering me­ngadu diabaikan isteri.

“Daripada hal-hal berkaitan pekerjaan, kami mula membincangkan isu peribadi. Ahmad ba­nyak mengadu mengenai masalah rumah tangganya.

“Kata dia, isterinya yang merupakan wanita bekerjaya sering melupakan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan juga isteri.

“Keadaan tersebut menyebabkan jiwanya berasa kosong dan mengaku lebih gemar meluangkan masa bersama saya,” jelasnya.

Sebaik Naimah tamat menjalani latihan praktikal, Ahmad menyatakan hasratnya untuk menikahinya.

Bagai orang mengantuk disorong bantal, Naimah bersetuju untuk menjadi suri dalam hidup lelaki berkenaan.

Lebih-lebih lagi apabila menge­nangkan dirinya yang sudah berkali-kali terlanjur dengan Ahmad.

“Saya membawa Ahmad berjumpa dengan keluarga. Bagaima­napun, seperti diduga, keluarga saya menolak hasrat kami untuk berkahwin.

“Kata ibu, gadis cantik seperti saya sudah pasti mampu mendapat lelaki yang jauh lebih baik, kaya, bujang dan muda berbanding Ahmad.

“Bagaimanapun disebabkan sa­yang, kami mengambil keputusan untuk bernikah di selatan Thailand,” jelasnya.

Diserang

Ujar Naimah lagi, sangkanya, urusan pernikahan mereka akan berjalan lancar.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya pula berlaku. Naimah dan Ahmad diserang oleh isterinya ketika mahu berlepas ke Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Malu saya pada waktu itu. Iste­rinya menjerit-jerit memaki hamun saya seperti diserang histeria.

“Lebih memalukan pada waktu itu, isterinya turut membawa keluarga mereka bersama. Saya pula pada waktu itu hanya keseorangan.

“Keadaan kucar-kacir tersebut menyebabkan rancangan pernikahan kami di selatan Thailand terpaksa dibatalkan. Ahmad pulang bersama isterinya, manakala saya pula terpaksa balik menaiki teksi,” jelasnya.

Menurut Naimah, selepas kejadian tersebut berlaku, hubungannya dengan Ahmad semakin renggang.

“Mungkin Ahmad dan isteri sudah insaf dan sedang memperbaiki kelemahan masing-masing.

“Saya pula bagai wanita mero­yan apabila sering mengganggu Ahmad dengan puluhan panggilan dan ratusan mesej-mesej cinta.

“Ahmad pula seakan mahu me­larikan diri daripada saya sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Nai­mah, dia tidak akan berputus asa dan berusaha agar hubungan mereka berdua berakhir sebagai pasangan suami isteri yang sah biar­pun terpaksa hidup bermadu dan mengambil masa yang panjang.