Rata-rata pengguna laman sosial melahirkan rasa takut dan geli sebaik terlihat aksi gadis bersama biawak tersebut.

Menyedari tindakannya itu mengundang persepsi negatif umum, gadis kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini kemudian tampil ke hadapan bagi menjelaskan isu tersebut.

Menurut gadis yang dikenali sebagai Dewi itu, biarpun tindakannya dicemuh ramai, namun perkara tersebut tidak diendahkan.

Malah, gadis tersebut kini menjadikan biawak tersebut sebagai haiwan peliharaannya.

"Saya jumpa Kenit di sebatang sungai dalam keadaan luka dan tidak bermaya Julai lalu.

"Disebabkan kasihan, saya terus bawa balik ke rumah untuk dirawat. Saya peliharanya lebih kurang tiga bulan dan selepas sembuh, saya lepaskannya semula walaupun pada waktu itu, hati saya terlalu berat untuk melepaskannya," jelasnya.

Menurut Dewi, sebagai seorang pencinta haiwan, istilah takut tidak timbul terutama jika melihat mana-mana haiwan cedera atau memerlukan bantuan.

Lebih-lebih lagi dia turut mempunyai pelbagai koleksi spesies ular termasuk tedung dan selar yang berukuran panjang lebih empat meter.

"Saya tidak kisah apa yang ingin dikatakan orang asalkan biawak tersebut selamat. Tiada istilah haram dalam Islam untuk memegang seekor biawak," jelasnya.