Gadis tersebut, Noorul Mahjabeen Hassan, 20, yang kini sedang menuntut di Universiti Florida, AS, mengambil keputusan untuk mengahwini per­­mai­nan video tersebut selepas mendakwa jatuh cinta dengan bentuknya itu yang didakwa menggiurkan.

Pengumuman yang dibuat oleh Mahjabeen itu ternyata begitu mengejutkan ramai pihak, namun tidak bagi segelintir rakan-rakannya yang terlebih dahulu mengetahui kecenderungan gadis itu menjalin hubungan cinta de­ngan objek.

Hal ini kerana, sebelum bercinta dengan Tetris, Mahjabeen yang juga ingin dikenali sebagai Fractal Tetris Huracan pernah menjalin hubungan cinta dengan beberapa objek lain se­perti monorel, iPods dan peranti sistem kedudukan sejagat (GPS).

Putus cinta

Keputusan Mahjabeen untuk me­ngahwini permainan video Tetris itu dibuat selepas dia putus cinta dengan ‘teman lelakinya’ iaitu sebuah kalkulator yang diberi nama Pierre.

“Saya merancang akan mengahwini Tetris dalam masa dua tahun lagi selepas tamat belajar,” ujar Mahjabeen.

Sebagai tanda cinta terhadap kekasihnya itu, Mahjabeen telah mencipta sebuah lagu khas untuk permai­nan video itu yang menceritakan tentang kisah hubungannya.

Mahjabeen mula menjalin hubungan cinta dengan permainan vi­deo berkonsepkan susunan blok itu sejak September 2016 dan akan meluangkan masa lebih 12 jam sehari untuk bermain de­ngannya sama ada melalui laman web, telefon pintar atau peranti Gameboy.

Gadis itu mendakwa, dia berasa begitu selesa dan gembira menjalin hubungan cinta secara fizikal bersama Tetris, malah menafikan tindakannya itu dikatakan tidak normal.

“Saya rasa Tetris sungguh kacak dan cukup sempurna untuk dijadikan sebagai pasangan hidup.

“Secara fizikalnya saya melihat hubungan ini sama seperti hubungan cinta dengan manusia normal yang lain,” jelas Mahjabeen ketika menegaskan pendiriannya.

Kerana begitu menyayangi kekasih­nya, Mahjabeen juga memakai buah rantai berbentuk permainan video itu selain turut mempunyai beberapa koleksi barangan berbentuk permainan Tetris seperti pada lampu tidur, baju-T, magnet dan pemacu pena (pendrive).

Sejak kecil, Mahjabeen yang telah dikesan mempunyai kecenderungan menyayangi sesuatu objek melebihi segala-galanya telah menjalin hubu­ngan cintanya yang pertama dengan peranti GPS ketika berusia 10 tahun.

“Ketika itu, saya berasa malu apabila berdepan dengan GPS dan merasa berdebar-debar sehinggalah sedar bahawa saya telah jatuh cinta dengannya.

“Suara pada peranti GPS itu benar-benar membuatkan saya berasa gelisah dan memberi rangsangan seksual,” kata Mahjabeen.

Kecenderungan seksual

Semasa remaja, Mahjabeen telah menyertai sebuah kumpulan sembang di laman sosial khusus untuk individu yang mempunyai kecenderungan seksual bersama objek selepas membaca kisah Erika Eiffel iaitu seorang gadis yang telah mengahwini Menara Eiffel di Paris, Perancis pada tahun 2007.

Ketika itu, Mahjabeen berasa sungguh takut selepas mendapati kecende­rungan nafsunya terarah pada objek berbanding manusia, namun akhirnya sedar ia hadir secara semula jadi.

“Pada majlis perkahwinan nanti, saya mahu semua rakan hadir supaya saya dapat buktikan betapa sa­yang­nya saya terhadap Tetris,” jelasnya.

Kisah kecenderungan seksual Mahjabeen yang tersebar dalam laman sosial itu bagaimanapun telah mendapat kecaman ramai yang menyifatkan ia sebagai tidak normal, malah mencadangkan supaya gadis itu mendapatkan rawatan psikiatri.

Bagaimanapun, Mahjabeen tidak mengendahkan kutukan netizen tersebut kerana mendakwa dia masih lagi seorang gadis normal yang mempunyai hati dan perasaan, cuma memilih untuk bercinta dengan objek tidak bernyawa.

Mahjabeen yang mempunyai tarikan seksual terhadap objek, tekad untuk mengahwini ‘teman lelakinya’ iaitu permainan video Tetris selepas jatuh cinta dengan permainan susunan blok itu.