Ketika berusia 15 tahun, dia sudah cukup matang dan terkesan apabila bapanya pergi secara tiba-tiba. Tambahan pula, Zara sememangnya rapat dengan bapanya sejak kecil lagi.

Selama empat tahun tanpa kasih sayang daripada seorang bapa, gadis itu yang kini berusia 19 tahun terpaksa menjalani kehidupan bersama tiga orang adiknya sementara ibunya pula bekerja dengan membuka warung makan secara kecil-kecilan.

Menurut Zara, sejak bapanya meninggal dunia, tugas mencari rezeki dan tanggungjawab menjadi ketua keluarga digalas oleh ibunya sementelah dia dan tiga orang adiknya yang lain masih bersekolah.

Sepanjang tempoh itu, gadis itu melihat sendiri penderitaan dan kepayahan ibunya membanting tulang seorang diri dengan mencari rezeki berniaga di sebuah gerai makan yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Hubungan cinta

Kata Zara, dia pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti daripada meneruskan persekolahan kerana ingin membantu ibunya mencari rezeki namun niat gadis mentah itu dihalang oleh wanita tersebut.

Dakwa Zara, ibunya berkeras supaya dia menghabiskan persekolahan dan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pengajian di mana-mana pusat pengajian tinggi.

Berpegang dengan kata-kata ibunya, Zara kini sedang melanjutkan pengajian pada peringkat diploma dalam jurusan perakaunan di sebuah politeknik di selatan tanah air.

Namun, ada sesuatu perkara yang tidak begitu menggembirakan hati gadis itu sejak awal tahun lalu. Ini kerana, dia mendapat tahu bahawa ibunya kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki dan bakal mengahwini lelaki tersebut. Lebih menggusarkan apabila dia mendapat tahu yang kekasih ibunya itu berstatus bekas banduan

“Saya dapat maklumat daripada adik yang memberitahu bahawa ibu kini sedang menjalin hubungan dengan seorang lelaki bujang bernama Nizam (bukan nama sebenar). Namun, dia pernah dimasukkan ke penjara akibat kesalahan berkaitan dadah,” ujar Zara yang berasa geram dan marah dengan berita itu.

Untuk mendapatkan kepastian, gadis itu bertanyakan sendiri hal tersebut kepada ibunya.

Ternyata apa yang diraguinya adalah benar apabila ibu Zara mengakui tentang perkara tersebut. Bahkan ibunya bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka itu.

Mendengarkan penjelasan daripada ibunya itu, Zara dengan lantang membantah keputusan tersebut.

Benci

Justeru, berlakulah pertelingkahan antara gadis itu dengan ibunya. Bahkan, Zara dituduh sebagai anak derhaka kerana meninggikan suara terhadap ibunya.

Bagi Zara, dia tidak mempunyai masalah untuk membenarkan ibunya bernikah lagi. Namun, gadis itu tidak bersetuju apabila mengetahui bakal bapa tirinya itu ialah seorang bekas banduan.

“Lelaki itu kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan masih berstatus bujang.

“Sukar untuk saya menangkis persepsi negatif terhadapnya lebih-lebih lagi apabila mengetahui dia terjebak dengan kes dadah,” ujarnya.

Kata gadis itu lagi, dia faham ibunya juga teringin mempunyai teman hidup selain daripada dia dan adik-adiknya tetapi biarlah dengan lelaki yang tidak mempunyai sejarah berkaitan kes jenayah.

Ekoran kejadian itu, Zara semakin jarang pulang ke rumah kerana tidak mahu mengambil tahu tentang hubungan ibunya dengan Nizam.

Ternyata, kejadian tersebut sangat memberi kesan terhadap gadis tersebut apabila dia tidak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajarannya kerana runsing memikirkan tentang hubungan cinta ibunya dengan Nizam.

Zara sedar, dia sepatutnya tidak boleh menderhaka kepada ibunya. Lebih-lebih lagi selepas ibunya banyak bersusah payah membesarkan gadis tersebut bersama adik-adiknya yang lain.

Namun, Zara merasakan yang lelaki itu mungkin cuba mengambil kesempatan ke atas ibunya.

Tambahan pula, Zara bimbang selepas banyak membaca berita tentang kisah gadis yang menjadi mangsa rogol oleh bapa tiri sendiri dan perkara tersebut sering menghantui fikirannya.

Namun, jika ibunya tetap dengan keputusan untuk menikahi Nizam, gadis tersebut tidak berupaya untuk membantah dan hanya mampu mendoakan kebahagiaannya.

Bagaimanapun, dia tetap tidak dapat membuka hatinya untuk menerima lelaki itu.

Zara berasa kecewa apabila mendapat tahu ibunya menjalin hubungan cinta dan bakal mengahwini seorang lelaki yang berstatus bekas banduan.