Perbualan dari siang membawa ke malam itu banyak berkisar mengenai survival kehidupan pelarian Syria di bumi Jordan.

Lelaki Malaysia itu, Ahmad Musa Al-Nuwayri yang merupakan seorang pelajar yang aktif menjalankan misi kemanusiaan buat pelarian Syria di Jordan khusyuk mendengar cerita lelaki Syria tersebut.

“Sedang kami berbual-bual, lelaki Syria berusia 30-an itu dipanggil polis untuk dibawa keluar. Saya rasa ketika itu sudah lewat malam, namun tidak pasti pukul berapa kerana saya tidak boleh memakai jam di dalam lokap.

“Saya tidak tahu lelaki tersebut dibawa ke mana tetapi selepas bertanyakan kepada beberapa banduan di dalam lokap sama, mereka memberitahu lazimnya rakyat Syria yang ditangkap akan dibawa ke sempadan untuk ditembak mati,” kata lelaki berusia 25 tahun itu berhubung nasib pelarian Syria kala mengimbau pengalamannya memasuki lokap di Jordan kira-kira dua tahun lalu.

Menurut Ahmad Musa yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Syria Malaysia (CSM), dia tidak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan berkenaan, namun selepas peristiwa itu dia tidak lagi melihat kelibat lelaki tersebut.

Katanya, adalah menjadi perkara biasa jika pelajar di Jordan dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat, namun pada kali itu situasi sungguh berbeza menimpa Ahmad Musa apabila pasportnya dirampas dan ditahan.

Selepas enam hari di dalam lokap, dia diarahkan meninggalkan negara itu dan diharamkan memasuki negara tersebut selama lima tahun bermula 2017.

Sejarah

“Di Jordan kami merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama dari Malaysia yang membantu pelarian Syria. Sebelum ini belum ada mana-mana badan NGO yang datang membantu pelarian di sana.

“Kehadiran kami untuk membantu nyata mendatangkan ketidakselesaan kepada pihak berkuasa Jordan lebih-lebih lagi apabila pihak kami membina Sekolah Kita Satu (yang disebut dalam bahasa Melayu). Mereka memberitahu, saya terlalu agresif membantu pelarian Syria,” katanya ketika ditemui K2 di ibu pejabat CSM di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Rentetan kejadian itu, Ahmad Musa bukan sahaja tidak boleh lagi menjejakkan kaki ke bumi Jordan malah, dia juga tidak dapat menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Usul Fiqh di Universiti Al Al-Bayt, Mafraq, Jordan.

Kehadiran Ahmad Musa pada 2012 di bumi Jordan pada asalnya ingin menyambung pelajaran, namun selepas setahun tinggal di negara itu, dia terpanggil untuk membantu rakyat Syria yang hidup sebagai pelarian.

Syria merupakan sebuah negara di Asia Barat dengan populasi penduduk kira-kira 22 juta.

Sebelum konflik tercetus pada 2011, Syria sering menjadi pilihan pelancong memandangkan di sinilah pusat peradaban zaman Neolitik bermula selain kaya dengan budaya tradisi yang tersendiri.

Ibu kotanya, Damsyik terkenal dengan kemajuan dan kemodenan, manakala bandar Aleppo dan Palmyra menjadi kegemaran pencinta seni dan sejarah.

Namun, bermula pada Mac 2011, Free Syrian Army (FSA) yang terdiri daripada anggota keselamatan askar dan polis telah ditubuhkan bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Bashar sekali gus tercetusnya perang saudara di Syria.

Sejak itu rakyat Syria hidup sebagai pelarian di beberapa buah negara termasuk Turki, Iraq, Jordan, Lebanon dan Malaysia demi menyelamatkan diri. Bahkan, ada yang hidup sebagai pelarian di negara Syria sendiri.

Dalam pada itu, Ahmad Musa menambah, penubuhan Sekolah Kita Satu di Mafraq pada 2014 dibuat selepas dia dan beberapa rakyat Malaysia yang lain mengambil kata sepakat untuk beralih daripada memberi barang keperluan kepada pendidikan.

“Di Jordan, terdapat dua sesi persekolahan iaitu sebelah pagi untuk kanak-kanak tempatan, manakala sebelah petang untuk anak-anak pelarian Syria tetapi guru-guru di sana tidak sukakan anak-anak Syria ini.

“Mereka lazimnya memukul budak-budak ini, bermain telefon ketika mengajar dan ada kalanya tidak hadir langsung ke sekolah, jadi ramai kanak-kanak Syria memilih untuk tidak mahu ke sekolah,” kata anak jati Kuala Lumpur itu sambil memberitahu banyak sesi persekolahan dilakukan di dalam gereja.

Tambah Ahmad Musa, pernah seorang ibu menangis memberitahu anaknya membuat pergerakan salib seperti penganut Kristian lakukan setiap kali loceng di gereja berbunyi.

Jadi dengan penubuhan Sekolah Kita Satu, ramai kanak-kanak yang bersekolah di gereja telah keluar dan masuk ke sekolah berkenaan.

“Sekolah Kita Satu dikelolakan oleh enam orang guru yang juga diambil dalam kalangan masyarakat Syria. Mereka mengajar enam mata pelajaran merangkumi Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Kenegaraan, al-Quran dan Pendidikan Seni.

“Para pelajar turut dijamu dengan makanan dan minuman setiap hari secara percuma,” tuturnya. Sekolah Kita Satu kini mempunyai 250 orang pelajar

Setahun selepas itu, Sekolah Kita Dua telah dibuka di Kilis, Turki dengan menggunakan silibus pendidikan Turki. Sekolah itu menempatkan 350 pelajar pelarian Syria, manakala Sekolah Kita Tiga pula baru sahaja dibuka di Bandar Puteri, Bangi pada 2018. Ia kini didiami oleh 40 pelajar Syria.

Selain program pendidikan Sekolah Kita, CSM turut menumpukan misi menyediakan sumbangan untuk program Ramadan, ibadah korban dan akikah serta misi musim sejuk buat pelarian Syria.

Mati kesejukan

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, sejak penubuhan Syria Care kira-kira enam tahun lalu, pelbagai program telah dilancarkan antaranya Food4Syria, Edu4Syria, Care4Syria, Milk4Syria, korban dan akikah serta bantuan musim sejuk meliputi bantuan makanan, pendidikan dan sebagainya.

“Misalnya pada Disember baru-baru ini, petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 8.0 di Arsal, Lebanon membeli barangan runcit (makanan) untuk diagihkan kepada 1,000 keluarga yang terperangkap dalam salji tebal di khemah mereka.

“Bekalan makanan ini mungkin tidak dapat bertahan lama tetapi sekurang-kurang mereka masih dapat menjamah makanan pada saat itu. Semua barangan berkenaan dibeli hasil sumbangan yang dihulurkan melalui Tabung Bantuan Kecemasan Kem Arsal,” terangnya.

Menurut Siti Sakinah lagi, bantuan bagi musim sejuk pada kali ini membuatkan dia begitu terkesan kerana gelombang salji yang dikatakan terburuk.

“Kanak-kanak ada yang terbunuh kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk melampau. Mereka memerlukan diesel untuk menghidupkan gas pemanas,” ceritanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelan­congan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Faiz Izwan Anuar berkata, dia sempat mengikuti Misi Musim Sejuk CSM 6.0 ke Syria, Turki dan Lebanon pada 10 hingga 20 Disember lalu.

Tuturnya lagi, pengalaman tidur di dalam khemah keluarga pelarian Syria merupakan satu momen yang tidak mungkin dilupakan.

“Bayangkan satu keluarga ini sanggup keluar menumpang di rumah saudara lain bagi memberi ruang kepada kami untuk tidur dan mengoyakkan khemahnya supaya alat pemanas boleh disalurkan keluar.

“Sangat istimewa walaupun mereka (pelarian Syria) berada dalam kesusahan tetapi masih mengalu-alukan kedatangan kami dengan menghidangkan teh dan kuaci,” kongsinya.

Cinta Syria Malaysia dan Syria Care merupakan antara pertubuhan tempatan yang ditubuhkan untuk berjuang membantu pelarian Syria dari segi bantuan pendidikan, makanan, perlindungan, ubat-ubatan dan sebagainya atas sifat perikemanusiaan.