Dia yang baru pulang dari masjid berhampiran selepas melangsungkan akad nikah bersama Mohd. Hafizan Mukhtar, 32, akur dengan permintaan tersebut.

Tiba-tiba muncul lima lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun dengan berpakaian seragam bersama kompang masing-masing. Kemudian, mereka memulakan persembahan yang belum pernah disaksinya sebelum ini.

“Mereka mempersembahkan paluan kompang dengan cara yang unik. Sambil memukul kompang masing-masing, mereka turut mendendangkan beberapa lagu yang telah digabungkan mengikut kreativiti.

“Saya lihat ramai tetamu mula ke hadapan sebaik sahaja pasukan Kompang 5 Beradik mendendangkan lagu serta tarian mereka. Ada yang turut sama menyanyi dan menggoyangkan badan. Saya sendiri turut terhibur,” ujarnya mengimbau kembali majlis perkahwinan pada 22 Mei 2016 di Kuantan, Pahang.

Persembahan pertama bagi Kompang 5 Beradik itu menjadi titik tolak dalam kehidupan mereka apabila mula serius melakukan perkhidmatan berkenaan. Semuanya bermula apabila sepupunya itu meminta bantuan untuk memainkan kompang pada hari bersejarahnya.

Tular

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang.

Alat muzik itu berasal dari Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim pada abad ke-13.

Keistimewaan yang terdapat pada persembahan lima orang adik-beradik itu adalah mereka menampilkan gabungan permainan kompang dengan alat muzik moden bes dram sambil menyanyikan beberapa buah lagu popular yang digabungkan mengikut kreativiti.

Lazimnya, lagu yang dipilih akan berpadanan dengan tema persembahan majlis perkahwinan, hari jadi, majlis graduasi dan jamuan makan malam.

Nama Kompang 5 Beradik mula menjadi bualan ramai selepas video persembahan mereka tular di beberapa laman sosial seperti Facebook dan Twitter pada Ogos 2016. Ketika itu mereka mengadakan persembahan majlis perkahwinan di Bangi, Selangor.

Video berkenaan menunjukkan mereka bermain kompang mengikut alunan lagu-lagu popular yang telah digabungkan menjadi sebuah lagu yang panjang.

Lebih unik apabila mereka bijak menarik perhatian penonton dengan tarian yang penuh lenggok dan menghiburkan. Malah, mereka juga pandai berkomunikasi bersama para tetamu.

Menurut salah seorang ahli Kompang 5 Beradik, Ezzat Syafie Lasim, 22, yang baru menamatkan pengajian Diploma Bahasa Inggeris di Kolej Antarabangsa Kirkby, Cyberjaya, video yang tular itu merupakan persembahan ketiga mereka.

“Kami tidak sangka persembahan tersebut menjadi tular kerana sebelum ini persembahan pertama dan kedua yang dimuat naik penonton di laman sosial tidak tular.

“Kami memang tidak sangka akan dikenali seperti hari ini,” jelasnya yang merupakan anak keempat daripada 10 orang adik-beradik.

Tambah Ezzat Syafie, kumpulan mereka menerima lebih banyak undangan daripada orang ramai selepas menjadi tular. Rata-rata memberikan komen dengan mengatakan persembahan mereka unik dan menghiburkan.

Sebelum itu tidak terlintas pada fikiran mereka untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerana masing-masing menjadikan alat muzik kompang sebagai hobi pada masa lapang.

Adik-beradik lain yang terlibat sama dalam kumpulan kompang yang berasal dari Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek di Sepang, Selangor itu ialah Muhammad Khalid, 25, Fahmi Azarul, 21, Fauzi Azizul, 21, dan Syamsul Arif, 18.

Hujung minggu

Muhammad Khalid bekerja sebagai pegawai perubatan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Fahmi Azarul pula baru menamatkan Diploma Pendidikan di Kolej Antarabangsa Kirkby.

Fauzi Azizul juga baru menamatkan pengajian dalam Teknologi Percetakan di Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, manakala Syamsul Arif bekerja sambilan.

Anak-anak kepada pasangan arwah Lasim Parman, 68, dan suri rumah, Noorhayati Mohd. Mustappa, 48, akan meluangkan masa pada hujung minggu bersama-sama bagi melakukan latihan dan memenuhi undangan persembahan.

“Boleh dikatakan pada setiap minggu sekurang-kurangnya kami menerima tiga hingga lima undangan. Kami hanya boleh menerima persembahan pada hujung minggu kerana ada antara kami yang bekerja.

“Mengenai latihan pula, lazimnya kami akan berkumpul pada Jumaat malam untuk melakukan formasi baharu yang dipelajari menerusi internet, pengubahsuaian lagu serta teknik gerakan tarian,” tutur Muhammad Khalid yang melangsungkan perkahwinan pada tahun lalu.

Tambahnya, latihan perlu dilakukan kerana setiap persembahan memerlukan pergerakan, nyanyian dan paluan kompang yang sama dan seiring daripada semua ahli.

Sementara itu, Fahmi Azarul yang juga saudara kembar kepada Fauzi Azizul memaklumkan, setiap persembahan yang diadakan mengambil masa 10 hingga 15 minit manakala, formasi pula berbeza-beza dan kebanyakannya datang secara spontan.

Kecaman

“Kebiasaan ketika paluan kompang dimulakan, kami akan selitkan beberapa buah lagu yang sesuai dengan tema majlis sebelum paluan kompang dan dram bes akan dimainkan.

“Selepas itu kami akan selitkan gerak tari yang mudah diikuti. Kadangkala kami juga ada menukar beberapa lirik seperti memasukkan nama pengantin ke dalam lagu bagi menambahkan lagi suasana ceria,” katanya sambil memberitahu mereka telah mengadakan persembahan lebih daripada 100 kali.

Jelas Fahmi Azarul, mereka boleh melihat penonton terhibur apabila ada yang menyanyi dan menari bersama-sama.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak terlepas daripada kecaman terutamanya di media sosial.

Antara kecaman tersebut ialah mereka merosakkan muzik tradisi kompang. Mereka mengakui tidak arif mengenai asal usul permainan tradisi berkenaan kerana kompang sinonim dengan diri mereka hanya di bangku sekolah atau ketika terdapat kegiatan belia di kampung.

Namun, bagi mereka apa yang dilakukan hanyalah sekadar memenuhi masa lapang dan hobi selain mencari wang tambahan untuk perbelanjaan diri serta adik-beradik.

Katanya, setelah bapa meninggal dunia, tanggungjawab menjaga ibu dan adik-beradik perempuan menjadi keutamaan mereka.

Fauzi Azizul pula menambah, ibu banyak memberi sokongan dan membantu menyediakan kelengkapan kumpulan mereka.

“Ibu sering menjadi rujukan pertama kami. Selepas kami melakukan latihan, ibu akan menjadi juri untuk memberi komen. Jika ada yang tidak kena di matanya, kami tidak akan melakukan persembahan yang tersebut.

“Ke mana-mana kami pergi ibu akan turut serta. Kami tidak kisah bersusah-susah asalkan ibu dan adik-beradik ada di sisi,” tuturnya.