Deretan balang kaca berisi pelbagai spesimen alga berwarna hijau dan coklat yang tersusun di dalam bilik berkeluasan kira-kira 150 meter persegi itu seakan-akan mengalu-alukan kedatangan kami ke makmal tersebut.

Dari jauh, kelihatan beberapa orang penyelidik sedang sibuk membuat penyelidikan bersama radas makmal masing-masing.

Melihatkan riak keterujaan kami dengan ­situasi tersebut, salah seorang penyelidik yang berada di dalam makmal itu, Dr. Ng Fong Lee datang memberi penerangan serba ringkas kepada kru Panorama.

“Ini merupakan makmal yang menjalankan uji kaji terhadap keupayaan jenis-jenis alga dalam pelbagai bioproses.

“Bagaimanapun, pada waktu ini kami sedang menjalankan kajian terhadap kebolehupayaan proses fotosintesis alga dalam menghasilkan tenaga baharu,” terang Fong Lee.

Sebaik tiba di bahagian tengah makmal, Fong Lee memperkenalkan kami kepada Pengarah Insti­tut Sains Samudera dan Bumi universiti tersebut, Profesor Dr. Phang Siew Moi.

Menceritakan lebih lanjut, me­nurut Siew Moi, idea untuk mencipta arus elektrik daripada alga muncul selepas melihat kebergantungan individu terhadap penggunaan bahan api fosil semata-mata.

“Sekarang ini penjanaan elektrik bergantung sepenuhnya terhadap bahan bakar.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan mengikut kadar penggunaan bekalan elektrik semasa, bahan api fosil dijangka berkurangan dalam tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang.

“Justeru kami di sini terpanggil untuk mencipta satu kaedah yang boleh membekalkan bekalan elektrik kepada orang ramai menggunakan tenaga baharu seperti pro­ses fotosintesis alga yang sedang dilakukan ini,” jelasnya.

Pemanasan global

Lebih menarik, proses jana kuasa elektrik menggunakan alga ini dipercayai selamat dipraktikkan terhadap bumi.

“Uniknya mengenai tumbuhan alga ialah keupayaannya untuk menyerap pelepasan karbon dioksida di udara yang boleh menyebabkan perubahan iklim dan meningkatkan kadar pemanasan global.

“Justeru, fotosintesis alga merupakan kaedah yang sangat berkesan dan selamat untuk orang ramai dan juga bumi. Lebih-lebih lagi apabila kaedah ini hanya menggunakan alga dan cahaya matahari sahaja,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai projek tersebut, menurut Siew Moi, penyelidikan itu sebenarnya telah dilakukan oleh Fong Lee sebagai kajian Ijazah Kedoktorannya kira-kira enam tahun lalu.

Bagaimanapun, projek tersebut hanya giat dijalankan selepas dia melakukan lawatan kerja ke Universiti Cambridge, United Kingdom beberapa tahun yang lalu.

“Pada waktu itu, seorang penyelidik di universiti tersebut, Dr. Adrian Fisher sedang mencari ahli mikrobiologi yang mempunyai kepakaran dalam tumbuhan alga.

“Kami kemudian bertemu dan perbincangan mengenai proses jana kuasa elektrik menggunakan fotosintesis alga mula dijalankan.

“Fisher memberikan kami prototaip pertama ciptaannya yang membolehkan proses mengekstrak elektron daripada proses fotosintesis untuk mengalirkan arus elektrik dilakukan,” jelasnya.

Cerita Siew Moi, sekembalinya di Malaysia, dia meneruskan projek tersebut bersama sekumpulan penyelidik dengan menggunakan prototaip yang telah ditambah baik iaitu Algae Biophotovoltaic Device (BPV).

“Menerusi kaedah ini, setitik alga yang telah dikultur di dalam makmal diletakkan di dalam BPV sebelum dibiarkan di bawah pantulan cahaya untuk proses fotosintesis.

“Semasa proses fotosintesis berlaku di dalam alga, elektron akan dibebaskan daripada molekul air. Elektron ini yang akan digunakan untuk penghasilan tenaga elektrik.

“Elektron-elektron ini kemudian akan berkumpul pada elektrod yang terbina pada alatan BPV tersebut dan seterusnya menjana tenaga elektrik kepada umum,” jelasnya.

Menurut Siew Moi lagi, biarpun setakat ini setitik alga yang berfungsi dalam BPV hanya berjaya membekalkan tenaga lebih kurang 500 miliwatt, namun keadaan tersebut secara tidak langsung berjaya membuktikan kebolehan alga dalam menjana elektrik kepada umum pada masa hadapan.

Alga Chlorella

Ternyata, bukan mudah untuk me­lakukan proses fotosintesis menggunakan alga.

Ini kerana, kumpulan penyelidiknya terpaksa mengumpul alga-alga yang terdapat di kawasan perairan dan air kumbahan di seluruh Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, Siew Moi sanggup berkelana ke Antartika untuk mengambil sampel alga di sana bagi membuat perbandingan keboleh­upayaan dan kekuatan tenaga yang dihasilkan daripada setiap alga tersebut.

“Seperti dike­ta­hui umum, alga mem­pu­nyai potensi yang tinggi untuk digunakan dalam pelbagai lapangan sama ada dari segi makanan, perubatan, bahan api mahupun penghasilan elektrik.

“Justeru, menerusi kajian yang telah dilakukan, kami dapati alga merupakan tumbuhan yang paling sesuai untuk digunakan sebagai pengalir arus elektrik kerana kadar fotosintesis yang dilakukan lebih tinggi berbanding tumbuh-tumbuhan lain,” jelasnya.

Cerita Siew Moi, bagi projek tersebut beliau menggunakan alga dalam kelompok mikro-organisma yang dikenali sebagai Chlorella vulgaris Beinjerinck kerana ia bukan sahaja kecil, malah lebih efektif dan tinggi kadar pengaliran arus elektrik.

Chlorella vulgaris Beinjerinck bia­sa­nya terdapat pada sisa air kumbahan yang dialirkan daripada kilang kelapa sawit.

Disebabkan Chlorella vulgaris Beinjerinck hanya didapati di kawasan kumbahan kilang kelapa sawit, dia menyasarkan kawasan kolam air industri tersebut sebagai lokasi sasaran.

“Pemilihan kawasan ini sebenarnya bukan sahaja memudahkan kami untuk mendapatkan alga, tetapi juga kerana ia mempunyai kandungan lipid dan karbohidrat yang sangat tinggi.

“Untuk pengetahuan umum, kan­dungan lipid dan karbohidrat yang terdapat di dalam alga membolehkan ia ditukar menjadi sumber biomass dan biodisel untuk kegunaan lain.

“Bukan itu sahaja, proses tersebut juga secara tidak langsung boleh me­rawat air kotor di kawasan tersebut melalui proses bioremedasi,” jelasnya.

Ujar Siew Moi lagi, setakat ini, dia menyasarkan kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak sebagai lokasi percubaan pertamanya.

Biarpun begitu, bekalan tersebut dipercayai hanya untuk kegunaan kawasan kejiranan yang kecil sahaja terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Saya menyasarkan kaedah ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya kira-kira lima tahun akan datang.

“Bagaimanapun, bekalan tersebut tidak boleh menggantikan tenaga elektrik sedia ada sepenuhnya, sebalik­nya ia boleh dijadikan sebagai alternatif dan gantian untuk kawasan-kawasan tertentu sahaja,” jelasnya.

Sekumpulan penyelidik dari Institut Sains Samudera dan Bumi di Universiti Malaya cipta alternatif baharu yang mesra alam dalam penghasilan tenaga elektrik dengan menggunakan alga jenis Chlorella vulgaris Beinjerinck.