Topik ini menjadi semakin panas apabila ramai graduan gagal mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti masing-masing sama ada dari dalam atau luar negara.

Pelbagai persoalan dan kemusykilan berlegar di fikiran masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan graduan mengapa mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan walaupun sudah memiliki segulung ijazah atau diploma.

Berdasarkan kepada informasi yang diperoleh daripada majikan, punca sebenar ramai graduan sukar untuk mendapatkan pekerjaan bukanlah disebabkan kualiti ijazah ataupun diploma yang diperoleh oleh mereka.

Secara umumnya, setiap graduan yang keluar daripada institusi pengajian tinggi terutamanya dalam negara mempunyai kelayakan akademik yang baik, tetapi ia masih belum mampu untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan pada hari ini.

Senario ini berlaku kerana pihak majikan memerlukan beberapa kriteria tambahan selain daripada kelayakan akademik untuk melayakkan graduan diterima bekerja di agensi atau syarikat yang terlibat.

Tiga kriteria tambahan tersebut ialah sikap, kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah.

1) Sikap

Selain daripada pencapaian akademik yang baik, sikap graduan merupakan elemen utama yang diberikan perhatian oleh majikan pada hari ini.

Hanya graduan yang mempunyai sikap yang baik dan positif akan dipertimbangkan untuk sebarang jawatan yang ditawarkan. Sikap graduan boleh dinilai melalui pelbagai cara sama ada konvensional atau terkini.

Temu bual bersemuka ataupun latihan dalam kumpulan (LDK) semasa temu duga merupakan kaedah konvensional yang digunakan untuk menilai sikap dan tingkah laku graduan yang memohon sesuatu jawatan.

Namun kaedah terkini yang sering digunakan oleh majikan untuk menilai sikap dan tingkah laku graduan ialah melalui media sosial sama ada Facebook, Twitter dan Instagram calon tersebut.

Jika informasi dan maklumat yang dimasukkan dalam media sosial tersebut bersifat negatif seperti memburukkan individu atau kumpulan, menyebarkan informasi palsu atau tidak sahih, ia akan memberi gambaran kepada bakal majikan terhadap sikap dan tingkah laku graduan tersebut.

Justeru, diingatkan agar graduan menggunakan media sosial untuk tujuan kebaikan atau positif. Ini kerana, ia menggambarkan keperibadian dan sikap graduan yang akan diguna pakai oleh bakal majikan semasa saringan dibuat sama ada untuk menerima atau menolak permohonan mereka.

2) Kemahiran komunikasi

Kemampuan berkomunikasi dengan baik terutamanya dalam bahasa Melayu dan Inggeris merupakan elemen yang penting untuk melayakkan seseorang itu diterima untuk jawatan yang dipohon.

Oleh yang demikian adalah sangat signifikan jika setiap graduan memastikan sebelum bergraduat, mereka telah mampu menguasai dua bahasa utama tersebut dengan baik.

Jadikan masa sepanjang pengajian sebagai platform untuk melatih diri menguasai dua bahasa tersebut.

Tanpa memiliki kemahiran komunikasi ini pastinya graduan akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan walaupun mempunyai segulung ijazah dan diploma yang cemerlang.

3) Kemahiran menyelesaikan masalah

Kemampuan graduan menyelesaikan masalah sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain juga menjadi elemen utama yang akan dinilai.

Justeru, adalah sangat penting kepada setiap graduan untuk memastikan mereka memiliki kemahiran ini.

Untuk membolehkan graduan memiliki kemahiran ini, mereka perlulah bergiat aktif dalam persatuan ataupun aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kolej kediaman, fakulti atau universiti masing-masing semasa bergelar graduan di institusi tersebut.

Penglibatan dalam aktiviti atau program sebegini amatlah penting kerana ia mampu untuk menajamkan kemahiran penyelesaian masalah pada masa akan datang.

Konklusinya, formula untuk mendapatkan pekerjaan pada hari ini dan akan datang amat berbeza dengan formula yang pernah digunakan pada masa dahulu.

Kelayakan akademik yang baik pernah menjadi tiket utama untuk mendapatkan pekerjaan pada masa dahulu tetapi pada masa kini dan akan datang kaedah tersebut sudah tidak relevan lagi.

Majikan pada hari ini melihat dan memerlukan kelayakan dan kemahiran tambahan di samping memiliki kelayakan akademik yang baik.

Oleh yang demikian, setiap graduan perlulah memiliki syarat dan kelayakan yang diperlukan oleh majikan masa kini dan akan datang untuk memastikan mereka mampu untuk mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan.

Jika setiap graduan mampu memiliki kelayakan akademik yang baik berserta dengan kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah yang efektif, pastinya mereka akan menjadi rebutan majikan sepanjang masa.