Ini kerana perbuatan itu bukan sahaja mengundang dosa kepada si pelaku, malah turut memberi implikasi yang lebih besar kepada sistem sosial dan kemasyarakatan.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendedahkan, pihaknya menerima lebih 1,000 aduan berkaitan khalwat dalam tempoh setahun iaitu kira-kira tiga hingga empat kes sehari.

Dalam usaha mengekang aktiviti itu daripada terus berleluasa, JAIS telah mengambil langkah dengan menjalinkan kerjasama bersama kira-kira 200 pengusaha hotel di sekitar negeri itu.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, usaha sama itu melibatkan beberapa jenis hotel termasuklah hotel bajet, hotel butik dan hotel bertaraf bintang.

Usaha mengekang kegiatan tidak sihat itu akan bermula dengan mempamerkan pelakat Jangan Terjebak Dengan Perbuatan Maksiat di ruang utama bangunan hotel yang akan menjadi amaran awal kepada pasangan yang berniat untuk melakukannya.

Ia juga sebagai pemberitahuan kepada orang ramai bahawa hotel itu diawasi oleh JAIS.

Mengulas mengenai perkara itu, penceramah bebas yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, langkah yang dilakukan oleh JAIS itu perlu disambut baik oleh pelbagai pihak dalam usaha mengurangkan gejala maksiat.

“Apabila sudah ada kerjasama antara jabatan agama dengan pihak pengusaha hotel, ia secara tidak langsung dapat menutup ruang dan peluang mana-mana pihak yang ingin melakukan maksiat.

“Ini kerana, apabila disebut hotel, ramai anggota masyarakat yang beranggapan selain sebagai tempat berehat bagi seisi keluarga ketika bercuti, ia juga merupakan tempat yang kerap berlakunya maksiat.

Langkah proaktif

“Oleh itu, tanggapan tersebut harus diperbetulkan dan langkah JAIS itu merupakan salah satu daripadanya,” katanya.

Jelas beliau lagi, langkah itu juga perlu dilakukan oleh jabatan agama di seluruh negara kerana ia dilihat sebagai satu langkah yang proaktif dalam menangani isu tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Sukki berpendapat, kerjasama yang dijalin itu tidak hanya memfokuskan kepada mencegah aktiviti maksiat tetapi perlu lebih menyeluruh.

Ia termasuklah usaha untuk menghalang hotel daripada menjadi tempat umat Islam meminum arak sama ada secara terbuka atau tertutup selain tidak menganjurkan aktiviti yang berunsur maksiat.

“Jika hotel boleh dibersihkan daripada segala unsur-unsur negatif itu, saya percaya imej hotel di negara ini khususnya pada kaca mata pelancong Islam dari luar negara akan semakin meningkat.

“Malah, ia juga dapat meningkatkan kunjungan umat Islam untuk menginap di hotel-hotel di seluruh negara tanpa perlu bimbang wujudkan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Sani Jiran, 41, turut menyokong langkah yang dilaksanakan oleh JAIS.

Bagaimanapun, kerjasama antara kedua-dua pihak itu haruslah dilaksanakan dengan sistematik bagi memastikan usaha membanteras maksiat benar-benar berkesan.

“Pada pendapat saya, jika hanya menampal poster amaran, ia mungkin tidak memberi kesan kepada si pelaku maksiat kerana ia sekadar poster, seperti mana orang tidak mengendahkan amaran larangan merokok yang diletakkan di tempat-tempat awam.

“Namun, sekiranya pihak pengurusan hotel yang terlibat bertindak menyalurkan maklumat yang benar dan tepat kepada pihak penguatkuasaan JAIS, ia lebih baik agar pemeriksaan dan tangkapan dapat dibuat dengan segera.

“Sebaliknya, jika ada pengurusan hotel yang menyembunyikan maklumat dan bersubahat dengan si pelaku, maka usaha JAIS itu hanya akan menjadi sia-sia,” katanya.