Namun, bagi empat pemuzik yang sedang membuat persembahan, mereka lebih merasai kesejukannya kerana kesemua alat muzik yang dimainkan diperbuat daripada ais.

Pelbagai alat muzik seperti xilofon, blok kayu atau claves dan seruling yang dihasilkan daripada ketulan ais yang diambil dari tasik yang membeku kini merupakan antara peralatan yang dimainkan oleh jari-jemari kumpulan pemuzik tersebut sempena Festival Muzik Ais Ke-13 di pergunungan Finse.

Namun, satu masalah yang timbul ialah lebih lama mereka memainkan muzik tersebut, lebih cepat alat muzik ais tersebut mula mencair.

“Ia bukan tugas mudah untuk membuat persembahan menggunakan peralatan muzik yang semakin mencair,” kata seorang pemuzik yang juga pengasas festival berkenaan, Terje Isungset.

Jaket tebal

Dengan memakai sarung tangan tebal, dia meniup udara panas dari mulutnya ke dalam hon ais di bawah pancaran cahaya berwarna biru.

Di sebelahnya berdiri seorang penyanyi yang memiliki suara merdu sambil menutup bahagian mulutnya menggunakan skaf bagi mengekalkan kehangatan badan, manakala pemain bass pula terpaksa memainkan alat muzik bertali tanpa sarung tangan.

Festival tersebut yang berlangsung pada kedudukan 195 kilometer di barat Oslo sememangnya tidak sesuai untuk mereka yang sensitif pada suhu beku melampau.

Diadakan antara bulan Februari dan Mac di dalam dua hingga tiga binaan iglu bersaiz gergasi, berpuluh-puluh pengunjung yang memakai jaket tebal akan memenuhi bangku yang diperbuat daripada ais.

Sebaik sahaja malam menjelma, salah seorang pemain muzik akan meniup peralatan muzik bersaiz panjang seumpama didgeridoo iaitu sejenis alat muzik berasal dari Australia sehingga memecah suasana keseluruhan kawasan tersebut.

“Ia merupakan garis halus antara seni dan kegilaan. Keindahannya boleh bertukar kerana alat muzik yang dibina itu boleh rosak.

“Apa yang pasti, para penonton sangat menyukainya,” kata seorang jurugambar yang juga bertugas sebagai anak kapal, Emile Holba.

Festival tersebut sebelum ini telah diadakan di Geilo, sebuah resort ski yang terletak di rantau tengah Norway.

Bagaimanapun, penganjur memberitahu cuaca di situ sudah tidak sesuai kerana ais semakin mencair menyebabkan mereka sukar untuk membina kawasan festival selain sukar mengekalkan peralatan muzik ais untuk terus membeku.

“Tetapi musim sejuk di Finse sangat berbeza. Ais yang terbentuk di sini sangat unik.

Tapak latihan

“Ini kali pertama saya melihat keadaan ais seperti ini,” kata Isungset.

Dikelilingi kawasan pergunungan dan dihiasi pemandangan glasier, Finse pernah menjadi lokasi penggambaran filem Star Wars The Empire Strike Back.

Perkampungan tersebut juga pernah menjadi tapak latihan Ekspedisi Antartika oleh pengembara British, Ernest Shackleton pada tahun 1874 hingga 1922 dan seorang lagi pengembara dari Norway, Fridtjof Nansen pada tahun 1861 hingga 1930.

“Kawasan tersebut umpama satu lokasi berbeza yang ada di dunia ini. Ia sangat magik,” kata Holba.

Hakikatnya, persediaan untuk melaksanakan festival tersebut bukan satu tugas mudah. Pihak penganjur mengambil masa seminggu untuk membina iglu tersebut. Tugas mencari dan mengumpul ais yang digunakan memerlukan tenaga lebih daripada 20 krew.

Ketulan ais bersaiz besar dikeluarkan dari kawasan tasik berhampiran dan ahli muzik menggunakan mesin gergaji berantai, penukul dan pahat untuk membentuk alat muzik yang diingini secara berhati-hati.

“Ia hanya muzik. Kami cuba mencipta sesuatu daripada ketulan yang asalnya hanyalah ais,” kata Isungset.

Selepas festival tamat, sebahagian daripada alat muzik tersebut kembali menjadi air apabila ais berkenaan terus mencair, manakala ada sebahagian lagi akan terus membeku.

Jika rekaannya bagus, alat muzik berkenaan akan disimpan di dalam bilik sejuk beku dan menunggu untuk diguna semula pada festival yang akan diadakan tahun depan.