Biarpun berjaya menduduki tangga ketiga Liga Super 2017, Felda United terpaksa menelan kepahitan apabila diturunkan pangkat ke Liga Premier musim ini.

Ia gara-gara kegagalan Felda United mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2018.

Situsi itu pastinya menjadi memori pahit buat Felda United yang terkenal dengan gelaran The Fighters bagi mengharungi kempen Liga M musim ini.

Bagaimanapun, pengendali Felda United, B. Sathianathan menganggap ia bukan satu pengakhiran buat anak-anak buahnya.

“Sebagai jurulatih, saya akui kami kena menerima segala hukuman yang dimuktamadkan. Kami terpaksa akur apabila gagal menuruti undang-undang baharu memiliki lesen untuk beraksi dalam Liga Super 2018.

“Saya pasti barisan pemain Felda United akan terus membuktikan kualiti mereka seperti yang dipamerkan musim lalu. Jika dilihat rekod, Felda United adalah pasukan paling konsisten kerana ketika saya mengambil alih pasukan, kami berada di kedudukan ke-11 liga sebelum berjaya menamatkan kempen di tempat ketiga,” jelas Sathianathan kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Sathianathan kini menuntut The Fighters segera bangkit untuk mengatasi kedukaan tersebut dengan menjuarai kempen Liga Premier musim ini.

“Selain menjadi juara Liga Premier, saya juga mahu memastikan kami berupaya bersaing secara lebih kompetitif pada kempen Piala FA dan berupaya menjejakkan kaki ke final Piala Malaysia tahun ini,” jelasnya.

Namun, Sathianathan mengakui, beliau masih belum mempunyai resipi istimewa bagi bagi merealisasikan misi tersebut.

“Buat masa ini, masih banyak perkara yang perlu diberikan perhatian tetapi saya masih percaya kami mampu melakar keputusan cemerlang pada Liga Premier musim ini,” ujar Sathianathan.

Menurut beliau, berdasarkan aksi persahabatan pramusim menentang UKM FC 
dan MISC-MIFA sebelum ini, Felda United telah merekodkan 15 gol dan dibolosi dua kali.

Begitupun, Sathianathan seakan-akan belum berpuas hati dengan barisan pertahanannya biarpun gawang mereka hanya dirobek dua kali dalam dua aksi persahabatan tersebut.

Perkemas benteng

“Selain memperkemaskan barisan pertahanan, saya juga percaya antara perkara yang perlu diberi perhatian sebelum saingan liga bermula adalah dari segi taktikal.

“Kerjasama antara pemain import dan tempatan juga perlu dipertingkatkan kerana kesefahaman yang baik di atas padang merupakan aset paling penting bagi sesebuah pasukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap anak-anak buahnya dapat mempamerkan prestasi terbaik dalam beberapa perlawanan persahabatan yang bakal ditempuhi kerana ia akan menjadi kayu pengukur baginya untuk memilih kesebelasan utama pasukan.

“Seperti yang saya katakan, ini adalah masanya untuk kami mencari formula bagi memantapkan pasukan terutamanya dalam aspek keserasian antara pemain lama dan baharu.

“Jadi mana-mana pemain yang ingin dipilih sebagai pemain utama perlulah membuktikan kepada saya bahawa mereka layak untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Sementara itu, tonggak pertahanan baharu Felda United, Thiago Junior berazam untuk membantu The Fighters menjuarai Liga Premier seterusnya melayakkan mereka beraksi secara automatik ke Liga Super musim depan.

“Kami berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran tersebut dan saya berharap segala kelemahan yang dimiliki dapat diatasi sebelum saingan liga bermula.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mengambil mudah setiap pasukan lawan yang akan dihadapi nanti,” kata bekas pertahanan import Perak itu.