Itulah penderitaan yang harus ditempuhi ibu dan bapa saat mengetahui anak yang dikasihi mereka meninggal dunia akibat didera oleh manusia bertopengkan syaitan.

Lebih memilukan, anak kecil yang sepatutnya dikendong bagai minyak penuh itu dijadikan pemuas nafsu manusia tidak berguna.

Kes-kes penderaan bayi melibatkan pengasuh terus berlaku tetapi sampai bila?

Pada Julai lalu, negara digemparkan dengan penemuan bayi lelaki berusia lima bulan yang disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu oleh seorang pengasuh wanita.

Sebulan selepas itu, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan patah tangan kanan dipercayai didera pengasuh dan hasil pemeriksaan hospital mendapati terdapat kesan dipulas sehingga menyebabkan tangan bayi tersebut patah.

Satu lagi kes melibatkan pengasuh berlaku pada Oktober lalu selepas kanak-kanak berusia setahun dua bulan itu dipukul dan tidak diberi makan lebih dua minggu akibat lambat menerima bayaran upah.

Minggu lalu, menerusi laporan Kosmo! pula, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, 11 bulan, meninggal dunia akibat keretakan pada tempurung kepala.

Selain itu, terdapat kesan koyakan pada kemaluan serta dubur mangsa.

Hasil siasatan membawa kepada penahanan suami pengasuh yang bekerja sebagai penggunting rambut dan ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methamphetamine.

Hasil kes-kes yang dilaporkan, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak kepada pengasuh tidak bertanggungjawab mendapatkan perkhidmatan menjaga bayi hanya melalui Facebook.

Menurut Pakar Psikologi, Dr. Maria Chong Abdullah, ibu bapa masa kini sering menjadikan medium internet untuk mencari jalan penyelesaian.

Ubah trend

“Walhal, pada suatu ketika dahulu, ibu dan bapa akan berkunjung daripada satu ke satu pusat asuhan sebelum membuat keputusan untuk menghantar anak.

Malah, nenek dan saudara-mara lain turut serta mencari tempat yang sesuai.

“Dengan cara itu, ia bukan sahaja dapat membantu ibu bapa melihat sendiri lokasi terbaik untuk anak masing-masing tetapi memberi peluang kepada mereka untuk berbual serta melihat sendiri cara pengendalian pusat asuhan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, ibu bapa pada masa kini perlu mengubah trend mencari pengasuh di Facebook semata-mata.

Adalah lebih baik memilih pusat penjagaan berdaftar daripada memilih pengasuh persendirian.

“Namun, saya faham apabila tidak semua ibu bapa mampu menghantar anak ke pengasuh berdaftar kerana jauh daripada tempat tinggal atau yuran bulanan yang tinggi.

“Namun, sekurang-kurangnya, satu langkah keselamatan telah diambil. Bukan apa, di taska berdaftar, pengasuhnya lebih terlatih,” ujarnya.

Di Facebook, ibu bapa hanya dapat melihat rupa dan adab bakal pengasuh secara luaran.

Memilih pengasuh berdasarkan tingkah laku dan rupa paras semata-mata belum melayakkan ibu bapa untuk berpuas hati.

“Apa yang patut dilakukan adalah ambil tahu keadaan sekeliling rumah pengasuh. Lihat rumah mereka, jika terdapat empat atau lima orang kanak-kanak tetapi hanya seorang sahaja yang menjaga, pengabaian pasti berlaku.

“Dalam masa yang sama, buat lawatan mengejut. Ia penting bagi mengubah rutin harian pengasuh. Perhatikan pula kebersihan, cuba tengok botol susu yang ditinggalkan di rumah pengasuh adalah ia bersih atau sebaliknya,” terangnya.

Perkara-perkara seperti itu nampak remah tetapi itulah tanda-tanda kecil punca pengabaian sebelum berlaku tanda-tanda lebih besar dan serius.

Berhati-hatilah dalam memilih pengasuh kepada anak-anak yang disayangi.