Seni yang menghasilkan corak hiasan kain bagi busana diraja sejak abad ke-17 itu semakin malap dek arus zaman berikutan kepelbagaian pilihan perhiasan fabrik, tambahan pula tiada lagi permintaan untuk hiasan telepuk.

Hal ini menjadikan seni ini terbiar sepi. Bagaimanapun, ia masih belum terkubur berikutan terdapat segelintir individu yang mengambil inisiatif untuk mengingatkan orang ramai bahawa seni ini pernah hidup dan merupakan antara warisan yang perlu dikekalkan.

Itulah semangat yang dibawa oleh Norhaiza Noordin, 55, seorang adiguru ukiran kayu yang aktif memartabatkan warisan kesenian Melayu termasuk seni telepuk.

Menurutnya, dia terpanggil untuk mengambil tanggungjawab memartabatkan seni itu selepas mendengar bahawa seni telepuk telah pupus.

“Ada orang berkata seni telepuk telah berkubur, saya tidak boleh menerimanya. Timbul persoalan kenapa pihak-pihak berkaitan tidak memperjuangkan seni ini sehingga ia dilupakan.

“Saya terpanggil untuk mengambil inisiatif bagi memartabatkan seni ini memandangkan ia mempunyai kaitan dengan ukiran kayu melalui pembuatan cop telepuk,” katanya yang berasal dari Kampung Raja, Besut, Terengganu.

Tambahnya yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang ukiran kayu, usahanya dalam menghidupkan kembali seni telepuk bermula sejak tahun 2014 dengan membuat penyelidikan berhubung motif cop telepuk dan mengukirnya semula.

Eksklusif

Kegunaan kain telepuk telah lama menjadi busana diraja Kesultanan Melayu. Penggunaan kain dengan hiasan telepuk jarang berada dalam simpanan rakyat marhaen menjadikan ia sebagai fabrik eksklusif diraja pada ketika itu.

Kebiasaannya, cop telepuk digunakan pada tanjak dan selendang.

Ada catatan yang menyebut, Sultan Selangor ke-4, Almarhum Sultan Abdul Samad Raja Abdullah menelepuk sendiri kain untuk dipakainya dan ini menunjukkan bahawa seni ini tidak dibenarkan sama sekali diketahui rahsia pembuatannya oleh rakyat biasa.

Namun, perwarisan kemahiran pembuatan telepuk telah menjadikan ia diketahui umum.

Kebelakangan ini, seni yang menjadi kebanggaan golongan istana itu telah hilang dan dilupakan.

Menurut Norhaiza lagi, pembuatan kain telepuk menggunakan bahan seperti kain gerus, gam Arab atau gam getah gajus, kertas emas (perada terbang), berus, sudip buluh dan cop kayu berukir motif.

Jelasnya lagi, berdasarkan sejarah, terdapat dua teknik menghasilkan kain telepuk iaitu dengan menggunakan serbuk perada atau air emas untuk melukis corak diingini di atas kain seperti diamalkan di Indonesia.

Teknik kedua pula katanya, adalah mengecap dengan menggunakan cap telepuk yang disaluti gam dan dicapkan di atas kain yang telah digerus sebelum perada terbang dilekatkan serta ditepuk ke atasnya untuk menghasilkan motif emas yang unik.

Gerus ialah siput yang cangkerangnya dipakai untuk melicinkan dan mengilatkan kain.

“Kebiasaannya dua jenis kain yang sering menjadi pilihan di dalam menghasilkan kain telepuk ialah kain kapas dan sutera. Ia perlu digerus menggunakan lilin telebih dahulu supaya permukaan kain menjadi lebih licin dan berkilat.

Motif

“Bagi motif telepuk pula, terdapat kira-kira 18 jenis motif yang sering digunakan antaranya unduk-unduk laut, ati-ati, melur, tanjung, kelopak bunga kerma, bermin, ketumbit dan cempaka,” ujarnya.

Norhaiza turut menambah, meskipun seni telepuk tidak menggunakan peralatan yang kompleks, proses telepuk sebenarnya memerlukan ketekunan dan ketelitian yang tinggi.

Katanya lagi, setiap cara menelepuk memerlukan pelaksanaan yang tepat termasuk jumlah penggunaan gam, posisi kedudukan motif malah, proses mengecop juga perlu dilakukan di kawasan tidak berangin dan dilakukan secara lembut supaya perada terbang melekat sepenuhnya pada kain.

“Kenapa dikatakan kain telepuk ini eksklusif, bukan sahaja ia melalui proses pembuatan yang sangat teliti tetapi, bahan-bahannya seperti cop tetepuk sendiri menggunakan kayu terpilih yang bermutu tinggi dan berira halus seperti jelutung, nangka serta angsana.

“Malah, penjagaan kain telepuk juga berbeza daripada kain biasa kerana ia tidak boleh dibasuh tetapi hanya boleh diasapkan dengan kemenyan untuk menghilangkan bau daripada peluh dan disimpan di dalam suhu bilik,” jelasnya yang telah merantau ke seluruh pelosok rantau Melayu untuk mendalami ilmu seni ukiran kayu.

Tambahnya, setakat ini masih belum ada individu mahupun pengusaha tekstil yang menghidupkan semula fabrik telepuk secara komersial atau eksklusif.

Selain Norhaiza, usaha mengembalikan seni telepuk turut mendapat perhatian Perbadanan Muzium Negeri Pahang menerusi penganjuran Bengkel Seni Telepuk di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, pada 13 November lalu

Turut melibatkan Norhaiza sebagai salah seorang fasilitor, bengkel yang selama dua hari itu melibatkan penggiat industri tekstil bukan sahaja pengusaha tempatan tetapi negara jiran Indonesia.

Pengarah Perbadanan Muzium negeri, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal berkata, bengkel itu dianjurkan bagi memartabatkan kembali seni telepuk dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan mencintai warisan seni negara berkenaan.

Mendidik

“Bengkel ini memberi pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam penghasilan kain telepuk. Peserta diberikan peluang amali mengukir motif dan mengecop kain menggunakan bahan sebenar.

“Seni telepuk perlu diangkat sebagai warisan seni negara dan ia adalah salah satu warisan kemahiran yang mencerminkan identiti serta keunikan produk tekstil Melayu,” katanya.

Pada bengkel berkenaan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut hadir mencemar duli dan mencuba teknik menelepuk kain.

Sementara itu, salah seorang peserta yang juga merupakan Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd. Yunus, 43, berkata, penganjuran bengkel seumpama ini merupakan satu inisiatif dalam mengekalkan seni telepuk supaya tidak lenyap ditelan zaman.

Menurutnya, ia sangat berguna untuk membantu pihaknya selaku kurator muzium untuk mendidik masyarakat melalui program ilmu mahupun lawatan berpandu untuk mendidik generasi muda yang tidak arif tentang seni warisan negara.

“Perkongsian ini memberi peluang kepada saya untuk lebih mendalami dan memahami seni telepuk yang merupakan sebahagian daripada warisan tekstil negara.

“Saya berharap supaya seni warisan tekstil Melayu ini dapat dimartabatkan agar masyarakat tahu asal usul dan sejarahnya serta dapat berbangga dengan warisan nenek moyang demi pembinaan jati diri kita sendiri,” ujarnya.