Mesra disapa Ezekiel, dia bangun untuk membersihkan diri lalu menunaikan solat Subuh.

Tepat pukul 6.45 pagi, pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Jalan Tiga Bandar Baru Bangi, Selangor itu sudah siap bersarapan serta lengkap menyarung baju T berkolar tertera namanya bersama seluar panjang berwarna kelabu.

Pukul 7 pagi, sambil ditemani bapa, Suzearitz Suhimi, dia sudah pun bersedia untuk memulakan latihan hariannya di Kelab Golf Danau Universiti Kebangsaan Malaysia juga di Bangi.

Kebiasaannya, dia akan menghabiskan latihan selama empat jam sebelum pulang mempersiapkan diri untuk ke sekolah pada sesi petang.

Begitulah sedikit sebanyak rutin enam hari seminggu yang dijalani Ezekiel, pemain golf nombor satu negara untuk kategori bawah 9 tahun sejak empat tahun lalu.

Bercita-cita mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik dalam sukan golf, pagi Ezekiel dipenuhi dengan pelbagai proses latihan untuk memantapkan lagi pencapaiannya dalam sukan tersebut.

Sementara hujung minggunya pula padat dengan sesi latihan bersama jurulatih Chris Holden dari Akademi Golf Impact Elite di The Kelab Golf & Resort Mines.

Bagi kebanyakan orang, disiplin yang dijalani Ezekiel pada usia sembilan tahun mungkin kelihatan menyesakkan.

Namun, bagi anak bongsu daripada dua adik-beradik itu, golf bukan sekadar hobi atau minat tetapi pilihan perjalanan masa depan. Lantaran itu, tidak pernah terbit erti lelah berdepan dengan rutin sama setiap hari.

“Saya suka semuanya tentang golf. Daripada disiplin, bolanya yang kecil, pelbagai pilihan kayu pemukul sehinggalah kepada cabarannya untuk memukul bola masuk ke dalam lubang.

“Sejak mula bermain golf, saya bagaikan ketagih untuk bermain. Kemudian, apabila menang, saya ketagih pula untuk meraih kejuaraan. Disebabkan itu lah agaknya, tiada istilah bosan tentang golf dalam hidup saya,” kongsinya ketika ditemui di Kelab Golf Danau Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Melihat kepada kehidupan penuh positif dan berdisiplin yang dilalui Ezekiel, tidak hairanlah, pada usia sembilan tahun, dia telah menyertai 41 kejohanan golf bertaraf dunia dan tempatan dengan berjaya menggondol 16 kejuaraan daripada kesemua acara yang disertai.

Tidak hanya itu, Ezekiel juga telah dua kali berjaya melayakkan diri ke Pertandingan Golf Kanak-Kanak Dunia pada tahun 2017 dan 2018, sekali gus meletakkannya sebagai antara pemain golf negara yang cukup digeruni lawan pada masa kini.

Memegang catatan rekod terbaik lima di bawah par ketika menyertai kejohanan golf utama tempatan SportExcel Malaysian Junior pusingan ketiga di Bukit Beruntung, Selangor pada Mac lalu, perjalanan Ezekiel dalam sukan golf cukup menarik untuk disoroti.

Mula berkecimpung sebagai seorang pemain golf profesional pada usia lima tahun dengan menyertai Kejohanan Dunia Golf Kanak-Kanak Malaysia di Johor Bahru pada tahun 2014, Ezekiel sudah menghabiskan masa bermain golf hampir lapan tahun lamanya iaitu lebih tiga per empat daripada keseluruhan usianya.

Seperti yang diceritakan oleh bapanya, Suzearitz yang bertanggungjawab membawa Ezekiel ke dunia golf, anaknya itu mula menunjukkan minat terhadap golf pada usianya setahun setengah lagi iaitu ketika baru sahaja boleh berdiri dan berjalan.

Alih perhatian

“Pada usianya kurang dua tahun, saya akan membawa Ezekiel menemani kakaknya, Julissa Zalia untuk mengikuti kelas seni berdekatan pusat beli-belah Sunway Pyramid.

“Sementara menunggu kelas kakaknya tamat dalam masa tiga jam, saya bawa Ezekiel ke taman tema Sunway Extreme Park yang menyediakan pelbagai ruang kelengkapan acara sukan termasuk golf. Kebetulan, pada waktu itu, saya baru berjinak-jinak dalam sukan golf.

“Baru hendak bermain, Ezekiel yang sudah mula pandai berkomunikasi dan berdiri, menangis-nangis meminta kayu golf yang dibawa.

“Saya cuba mengalih perhatiannya dengan permainan lain, namun dia langsung tidak berganjak sehinggalah saya berikan padanya kayu tersebut untuk dipegang dan bermain,” ceritanya yang bertugas sebagai seorang peguam di firma guaman Wan Juhrah & Co milik isterinya.

Sambung Suzearitz, dia bersama isteri pada awalnya hanya menganggap kehendak Ezekiel itu untuk sementara, namun perkara tersebut berlanjutan setiap kali anaknya itu dibawa ke sana sepanjang lebih dua tahun.

Lebih berani, daripada sekadar bermain, Ezekiel yang melihat bapa serta pemain golf di situ menyusun gaya menghayun bola, merayu-rayu meminta untuk memukul pula bola di lapangan tersebut.

“Bimbang keselamatannya, saya ambil keputusan untuk membelikan set permainan golf daripada kayu plastik dan bola untuknya.

“Paling menarik, dia cuba meniru posisi melepaskan ayunan kayu yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila.

Akademi golf

“Bayangkan, dengan memakai lampin pakai buang dan membawa bekalan botol susu, Ezekiel cuba memukul dan meniru aksi pemain di situ.

“Namun, apa yang mengejutkan kami, kayu golf permainan tersebut sering pecah. Paling lama pun dalam sebulan, kami perlu menggantikannya dengan yang baharu,” kongsinya mengenai penglibatan awal Ezekiel dalam sukan itu.

Ekoran kayu plastik yang sering pecah, Suzearitz mengambil keputusan membelikan set kayu golf khusus ditempah mengikut keselesaan anaknya itu pada ulang tahun kelahirannya yang ketiga.

Set tersebut terdiri daripada tujuh batang golf besi, pemukul leret (putter), klub pitching serta batang jenis kayu.

Ketika anak kecil lain gemar menonton cerita kartun dan bermain permainan video di peranti canggih, kanak-kanak tersebut lebih cenderung menonton siri Golf Digest iPad Edition ataupun Golf Channel di televisyen.

Menjadikan pemain golf terkenal dari Ireland Utara, Rory McIlroy yang juga bermula pada waktu kecil sebagai inspirasi, Ezekiel mula memukul antara 200 hingga 250 bola sehari setiap kali menunggu kakaknya tamat menjalani kelas seni dua hari seminggu.

Hasilnya, daripada ramai pemain di pusat tersebut yang pada awalnya tidak selesa dengan kehadiran Ezekiel kononnya mengganggu, ramai pula yang tampil menyuruh Suzearitz membantu mengembangkan perjalanan bakat anaknya.

“Untuk membina keyakinannya dalam sukan berprestij ini, saya perlu mencarinya kawan agar dia tidak bosan.

“Pada usianya mencecah 4 tahun, saya cuba menempatkan Ezekiel di akademi golf terkenal yang juga dikelola jurulatih dari luar negara di Shah Alam, Selangor.

“Malangnya, penyertaan Ezekiel ditolak dengan alasan komunikasi, memandangkan dia tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Jurulatih tersebut juga mengatakan bahawa penglibatan Ezekiel akan mencipta ketidakseimbangan dalam kalangan kumpulan pelajarnya, memandangkan dia sudah boleh memukul jauh lebih baik daripada kanak-kanak berusia tujuh tahun,” kongsinya mengenai cabaran yang terpaksa dilalui Ezekiel dalam sukan kegemarannya itu.

Tidak berputus asa, Suzearitz akhirnya mendengar mengenai ketibaan jurulatih muda dari Afrika Selatan, Chris Holden pada tahun 2012.

Holden bersetuju, dengan syarat Ezekiel perlu menjalani latihan secara peribadi dengannya.

Ezekiel akhirnya berjaya mendapat bimbingan profesional pada usia empat tahun enam bulan.

Bertitik tolak daripada situ, Ezekiel dididik serba lengkap tentang permainan pada kejohanan golf hingga berjaya diangkat sebagai penerima Anugerah Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2015, 2016 dan 2017.

Dibesarkan dalam keluarga pasangan peguam, Ezekiel bagaimanapun berdepan dengan masalah sokongan terutamanya dari segi kewangan yang sedikit membataskan penyertaannya di peringkat tinggi.

Kos

“Untuk berada kalangan nama besar dunia, kita perlu menyertai kejohanan dunia. Walaupun telah dua kali layak ke Kejohanan Golf Kanak-Kanak Dunia, kami terpaksa menolak kerana kos yang terlalu tinggi dan membebankan hingga menelan belanja sekitar RM20,000 bagi setiap acara.

“Sebagai bapa, saya tidak mahu mempersiakan pengorbanan hampir seluruh usia kanak-kanak Ezekiel untuk sukan ini. Lantaran itu, kami cuba bawanya menyertai banyak pertandingan yang kami tanggung sendiri.

“Namun, jujurnya ia bukanlah mudah. Memandangkan fokus sukan golf di Malaysia lebih tertumpu kepada remaja berusia 15 tahun ke atas, besarlah harapan kami agar kelibat Ezekiel dalam arena sukan ini mendapat keprihatinan persatuan-persatuan berkenaan,” ucap Suzearitz.