Menurut laman web wired.com, rekaan kubikel muncul pada tahun 1968 menerusi siri perabot yang dikenali sebagai Action Office. Ia dipasarkan oleh firma Herman Miller. Action Office adalah sistem perabot modular korporat yang pertama dengan pembahagi rendah dan permukaan kerja fleksibel.

Tujuan rekaan seperti itu adalah untuk mengasingkan para pekerja dan pengurus daripada sebarang gangguan berbanding ruang kerja terbuka yang menjadi kebiasaan sebelum rekaan kubikel. Justeru, pekerja boleh menumpukan perhatian kepada hal-hal kerja.

Kubikel terdiri daripada unsur modular seperti dinding, meja atau permukaan kerja, laci atau rak yang boleh disusun atur mengikut keperluan atau cita rasa.

Lautan kubikel di pejabat menjadi satu norma dengan kehadiran banyak jawatan pengurusan di peringkat pertengahan dalam dunia korporat. Mereka diasingkan dengan cara yang paling menjimatkan kos iaitu menerusi dinding modular yang dipopularkan dengan istilah cube farm.

Cube farm sering didapati di pejabat syarikat-syarikat teknologi, insurans dan lain-lain bidang perkhidmatan. Kebanyakannya dibina pada era sekitar 1994 hingga 2000.

Seperti banyak perkara lain, aspek rekaan, konsep dan persepsi mengenai pejabat juga berubah mengikut peredaran masa.

Selepas pejabat konvensional, rekaan Small Office Home Office (SOHO) menjadi trend di Malaysia sekitar tahun 2004 susulan kemunculan golongan eksekutif muda yang bekerja di sektor perkhidmatan seperti kewangan, insurans dan hartanah.

Ketika itu, budaya kerja baharu adalah tempoh masa bekerja yang fleksibel dan membenarkan eksekutif muda bekerja dari rumah mereka. Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pembangunan SOHO adalah akses ke lokasinya yang baik serta kemudahan yang serba-serbi cukup.

Kini, muncul pula trend ruang kerja baharu, co-working space atau ruang kerja bersama. Ia sememangnya berbeza daripada pejabat konvensional. Kebiasaannya, pejabat dikongsi oleh pekerja daripada satu syarikat, namun tidak semestinya bagi ruang kerja bersama.

Ia menawarkan ruang untuk keperluan kerja bagi mereka yang hendak mengelak daripada kesunyian SOHO atau bekerja di kafe yang tidak boleh lari daripada gangguan.

Tumpuan pada kerja

Bagi pereka muda, Elissa Qistyna Mohd. Fauzi, 23, kewujudan ruang kerja bersama telah memudahkan operasi syarikat yang ditubuhkannya sejak sebulan lepas.

“Syarikat saya tidak mempunyai sejumlah modal yang besar untuk menyewa sebuah pejabat, namun pada masa yang sama saya memerlukan persekitaran kondusif untuk menghasilkan rekaan bagi pelanggan.

“Perkhidmatan ruang kerja bersama membolehkan kami untuk menumpukan sepenuhnya pada kerja dan bukan terhadap aspek mengurus premis kami,” katanya yang mengasaskan Qis Studio bersama seorang lagi rakan kongsi yang turut menyewa ruang kerja bersama di sebuah premis yang menyediakan ruang kerja bersama, D.N.A Workspace di Bangi, Selangor.

Elissa ketika ditemui K2 di situ baru-baru ini berkata, pada mulanya, dia menyewa secara harian di D.N.A Workspace namun mengambil pakej bulanan setelah mempertimbangkan kelebihan penggunaan ruang kerja bersama dan harga istimewa yang diberikan menerusi pendaftaran keahlian.

Elissa menawarkan perkhidmatan mereka cipta logo untuk syarikat industri kecil dan sederhana. Dengan hanya RM220 sebulan untuk seorang kakitangan, dia dan rakan kongsinya mampu mendapatkan suasana kerja kondusif di D.N.A Workspace serta kemudahan seperti wifi. Justeru, dia hanya perlu mengeluarkan kos untuk menyewa ruang tersebut selain pemasaran.

Pengasas bersama dan Pengarah Urusan D.N.A Workspace, Lisa Ismail berkata, kemunculan golongan usahawan yang mengasaskan syarikat start-up menjadi pemangkin kepada permintaan terhadap ruang kerja bersama, selain perkembangan teknologi yang membolehkan pekerja melakukan tugas di luar pejabat.

“Kos pejabat dan utiliti memang mahal, apatah lagi untuk syarikat yang baru beroperasi. Namun permintaan bukan daripada golongan usahawan sahaja. Ini kerana golongan profesional lain juga menggunakan perkhidmatan itu, selain pekerja freelancer dan mahasiswa,” katanya.

Menurutnya, ada juga syarikat yang sudah mempunyai pejabat di kawasan lain namun menggunakan ruang itu kerana memerlukan suasana santai.

“Kami bahkan mempunyai seorang pelanggan yang perlu melapor diri ke pejabatnya sehari seminggu sahaja,” katanya yang memberitahu, D.N.A Workspace kini mempunyai 10 orang pelanggan jangka masa panjang.

Ujar Lisa, kelebihan lain trend ini ialah impak jaringan sosial yang mana pelanggan ruang kerja bersama boleh berkenalan dan bertukar-tukar perkhidmatan atau jualan sesama mereka.

D.N.A Workspace dengan premis seluas 185 meter persegi itu menawarkan kemudahan seperti ruang kongsi, pejabat persendirian, pantri, surau dan bilik mesyuarat.

Katanya, bekerja di ruang kerja bersama juga dapat mengurangkan tekanan daripada politik pejabat yang sering berlegar di pejabat konvensional.

Pejabat persendirian

Tetapi tidak semua ruang kerja bersama menyasarkan pelanggan yang mempunyai kekangan bajet. Colony Coworking Space (Colony) misalnya menyasarkan syarikat-syarikat yang lebih menggemari pejabat persendirian.

Pengarah Eksekutif Colony, Timothy Tiah berkata, kebanyakan ruang kerja bersama kelihatan seperti kafe hipster dengan ruang terbuka tetapi Colony memilih untuk menawarkan ruang dan pejabat untuk pelanggan premium. Terdapat lima cawangan Colony di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, salah satunya di Mutiara Damansara yang dikunjungi K2.

“Bagi Colony, kami tidak terlalu fokus kepada komuniti, tetapi lebih kepada perkhidmatan dan hospitaliti. Misi kami adalah untuk memberikan pengalaman kelas pertama kepada pelanggan,” ujarnya.

Timothy berkata, Colony memilih untuk menjadi ruang kerja bersama yang menyasarkan pelanggan di peringkat atasan kerana pasaran untuk ruang kerja bersama di ibu kota agak kompetitif dengan 150 syarikat ruang kerja bersama terdapat di Lembah Klang.

Antara yang menjadi pelanggan Colony termasuk syarikat Carsome, Lee’s Frozen dan Mamee yang mempunyai antara 80 hingga 150 pekerja yang ditempatkan di Colony.

Colony menawarkan fasiliti seperti ruang terbuka, pejabat persendirian, bilik mesyuarat, bilik menyusu, ruang permainan kanak-kanak dan ruang acara.

Peredaran masa telah mengubah skop dan gaya kerja dengan premis-premis ruang kerja bersama atau co-working space semakin banyak terbina untuk memberikan kemudahan terutamanya kepada pekerja 'tidak berpejabat'.