Mereka akan mengharungi sungai dan merentasi gunung-gunung yang diliputi salji bersama haiwan ternakan.

Namun, kehidupan mereka kini terperangkap di Koridor Wakhan yang merupakan satu kawasan di Afghanistan.

Koridor Wakhan yang turut dikenali sebagai atap dunia itu adalah satu kawasan pergunungan yang berada di timur laut Afghanistan yang bersempadan dengan China, Tajikistan dan Pakistan.

Pergolakan politik dan keganasan yang berlaku di rantau itu secara perlahan-lahan telah mengganggu kehidupan mereka.

Mereka tiada jalan untuk terus mengembara kerana beberapa sempadan yang berdekatan telah ditutup.

“Kami adalah rakyat Afghanistan secara kebetulan.

“Kami tidak memiliki tanah tetapi kami tidak mempunyai tempat lain untuk pergi,” kata ketua etnik Kyrgyz, Jo Boi.

Jelasnya, suku kaum mereka kini hanya tinggal sekitar 1,100 orang.

Dengan tiada tempat tetap untuk didiami, mereka sering mengembara bagi mencari lokasi yang sesuai.

Pengarah NGO Crosslink Development International yang berpangkalan di Bishek, Jeff Walkes berkata, seorang daripada tiga wanita etnik itu mati akibat komplikasi semasa bersalin manakala 53 peratus kanak-kanak tidak mampu hidup melebihi usia lima tahun.

“Mereka meneruskan kelangsungan hidup di sebuah kawasan yang terpencil dan jauh daripada kemudahan.

“Etnik ini terus wujud kerana mereka telah lama hidup di kawasan ini,” jelasnya.

Tambahnya, ketiadaan kemudahan seperti doktor dan klinik untuk merawat penyakit yang kecil juga boleh membawa maut.

Koridor Wakhan adalah kawasan lembah pergunungan yang berceracak dan tanahnya juga gersang.

Etnik Kyrgyz yang tinggal di hujung koridor itu memanggil kawasan mereka sebagai Bam-e-Dunya ataupun bumbung dunia kerana lokasinya yang terletak di tiga kawasan gunung tertinggi di Asia.

Untuk ke kawasan itu, kebiasaannya mereka melalui pekan Ishkashim dan perjalanan mengambil masa selama tiga hari dengan menunggang kuda.

Undang maut

Perjalanan akan melalui kawasan gunung dan lembah yang sempit. Jika tersalah langkah, ia boleh mengundang maut.

Menurut Kate Clark dari Afhganistan Anaysts Network (AAN), etnik Kyrgyz sebelum ini hanya akan berhenti di Koridor Wakhan untuk musim panas dan kemudiannya mengembara ke Kyrgyzatan, Tajikistan serta wilayah Xinjiang di China bagi menyelamatkan diri daripada musim sejuk.

“Selepas revolusi Komunis Rusia pada tahun 1917 dan 1949, ramai yang melarikan diri ke Koridor Wakhan,” katanya.

Kemerdekaan India dan kewujudan Pakistan pada tahun 1947 juga telah menyebabkan wujud satu sempadan lain di bahagian selatan. Pada pertengahan abad ke-20, kelompok itu terputus hubungan di bahagian utara Koridor Wakhan.

Selepas satu rampasan kuasa komunis di Kabul pada tahun 1978, mereka melarikan diri ke Pakistan yang diketuai oleh Haji Rehman Qul.

Namun, ketika melarikan diri, beberapa ratus orang mati akibat penyakit bawaan air dan sebahagian besar kumpulan yang lain kembali ke Koridor Wakhan.

Berikutan bencana penyakit itu, Rehman memohon kerajaan Amerika Syarikat untuk menempatkan mereka di Alaska, namun permintaan mereka telah dinafikan oleh Wasgington.

Sekumpulan kecil etnik Kyrgyz kemudian diberikan suaka di Turki tetapi yang lain masih berjuang untuk bertahan hidup di Koridor Wakhan.

Kerajaan Afghanistan menganggap etnik Kyrgyz sebagai rakyat mereka tetapi kumpulan itu melihatnya sebagai tanah asing dan telah melobi untuk dipindahkan ke Kyrgyzstan sejak kejatuhan Kesatuan Soviet (USSR). – AFP