Pada masa ini, di kebanyakan negara, penyelidikan embrio terhad untuk tempoh maksimum 14 hari selepas proses persenyawaan dilakukan di makmal.

Namun pensyarah jabatan etika bioperubatan Universiti Lancaster, Britain, 
Dr. John Appleby dan Prof. Dr. Annelien Bredenoord dari Pusat Perubatan Universiti Utrecht, Belanda bersependapat bahawa had masa tersebut tidak lagi mencukupi berdasarkan perkembangan semasa kemajuan saintifik.

“Peraturan 14 hari itu telah menjadi contoh yang sangat berjaya dalam undang-undang sains antarabangsa, tetapi penilaian perlu dibuat semula mengikut peredaran masa apabila ia tidak lagi sesuai dengan matlamatnya.

 

Keguguran

“Ada sebab-sebab saintifik dan etika untuk menilai semula peraturan 14 hari sebagai had masa bagi eksperimen embrio misalnya, tempoh tersebut digandakan kepada 28 hari.

“Membuka tempoh penyelidikan sehingga hari yang ke-28 akan membolehkan saintis membuat penyelidikan lebih mendalam terhadap proses perkembangan yang berlaku pada embrio,” jelas Appleby.

Menurutnya, ia dapat membantu untuk meningkatkan tahap keselamatan prosedur terkini teknologi persenyawaan in-vitro (IVF) dan membantu pakar perubatan memahami punca keguguran kandungan berlaku.

Selain itu, seiring dengan kemajuan dalam penyelidikan sel induk (stem) yang membawa kepada penciptaan organoids dan embrio sintetik juga telah menimbulkan kepentingan terhadap pertambahan tempoh bagi melakukan kajian terhadap embrio.

Organoids merupakan sel jisim atau tisu buatan yang menyerupai organ hidupan manakala embrio sintetik pula sebenarnya embrio buatan. Kedua-dua organoids dan embrio sintetik telah berjaya dihasilkan daripada sel stem tikus di makmal.

Walaupun belum dicuba kepada manusia, jika tempoh penyelidikan terhadap embrio dibenarkan melebihi 14 hari sehingga hari ke-28 misalnya, sudah pasti ia dapat memberi manfaat kepada kemajuan teknologi tersebut pada masa depan.

“Embrio sintetik boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan bekalan embrio untuk penyelidikan tanpa batasan. Ini sudah tentu menimbulkan persoalan etika.

“Namun, ia juga membolehkan embrio dihasilkan untuk individu yang tidak subur tetapi berhasrat mempunyai anak tanpa perlu menggunakan sperma atau penderma ovum (telur).

“Melanjutkan had masa bagi eksperimen embrio sehingga 28 hari juga akan membolehkan lebih banyak penyelidikan terhadap aspek dalaman organoids dilakukan sama ada pada bahagian mata, otak, buah pinggang atau ususnya.

“Sehubungan itu, ia membolehkan pemahaman dilakukan terhadap fisiologi dan perkembangan organ,” jelas Appleby.

 

Penyuntingan gen

Sementara itu menurut Bredenoord pula, organoids juga berpotensi bertindak sebagai model biologi bagi membantu saintis memahami apa yang menjadikan kehamilan berjaya dan punca keguguran.

Kajian penyuntingan gen pada embrio untuk merawat penyakit genetik seperti Huntingdon juga akan mendapat manfaat daripada tempoh eksperimen embrio yang lebih lama.

Saintis berpendapat, embrio yang disediakan untuk penyelidikan musnah pada hari ke-14 dan tidak lagi berpotensi untuk berkembang menjadi manusia.

“Embrio juga mustahil akan mengalami rasa sama ada sakit atau menderita dalam tempoh 28 hari kerana ia tidak mempunyai sambungan neural atau sistem deria yang telah berfungsi.

“Namun, sebarang perundingan untuk meminda peraturan dalam sains reproduktif perlu melibatkan perbincangan dengan orang ramai dan pakar pelbagai disiplin,” tegasnya.