Bagaimanapun, hakikatnya sebagai manusia yang lemah, ujian dalam hidup itu tentu saja datang dan pergi.

Liza (bukan nama sebenar), 25, tidak terkecuali daripada diuji biarpun baru setahun mendirikan rumah tangga dengan kekasih pilihan hatinya sendiri.

Liza mengenali Kamarul (bukan nama sebenar), 26, selepas bekerja di sebuah pasar raya yang sama di sebuah negeri di selatan tanah air sementara menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan.

Menurut Liza, ketika itu, dia sering menyedari terdapat seorang lelaki yang juga merupakan pekerja pasar raya itu sering memerhatinya dari jauh.

“Pada suatu hari, lelaki ini memberanikan diri untuk menyapa saya dan memperkenalkan dirinya sebagai Kamarul.

“Sejak itu, hubungan kami menjadi semakin rapat dan kami sering keluar bersama ketika tidak bekerja,” katanya kepada kru Panorama baru-baru ini.

Cerita Liza lagi, selepas keputusan SPM diumumkan, dia dan Kamarul hanya sekadar mendapat pangkat 3 dan mereka membuat keputusan untuk berhijrah mencari pekerjaan yang dapat memberikan gaji lebih besar di Kuala Lumpur.

“Saya kemudian berjaya memperoleh pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat pengangkutan, manakala Kamarul mendapat pekerjaan sebagai penghantar surat di sebuah syarikat guaman.

“Kami pada mulanya menyewa rumah secara berasingan dan berjumpa melepaskan rindu setiap hujung minggu.

“Setiap kali berjumpa, kami akan menonton wayang dan melakukan adegan ringan-ringan seperti bercium dan berpelukan,” katanya.

Hotel bajet

Jelasnya, lama-kelamaan, mereka tidak lagi puas dengan sekadar berpelukan dan bercium lalu menyewa sebuah hotel bajet untuk bermadu kasih.

“Walaupun kehilangan dara kepada Kamarul, saya tidak risau kerana dia berjanji akan mengahwini saya.

“Kami kemudian berpakat untuk bersama-sama menyewa sebuah rumah yang sama untuk menjimatkan duit sewa. Selain itu, kami juga tidak perlu lagi menyewa bilik di hotel bajet sekiranya ingin bersama,” katanya.

Tambahnya, mereka kemudian menyewa pangsapuri di kawasan yang majoriti penghuninya bukan beragama Islam.

“Saya dan Kamarul memberitahu jiran-jiran bahawa kami merupakan pengantin baharu bagi menggelakkan syak wasangka mereka.

“Sejak bersekedudukan, hidup kami memang seperti suami isteri sebenar walaupun kami sebenarnya masih belum dinikahkan,” katanya.

Menurut Liza, dia pernah dua kali mengandung sepanjang mereka bersekedudukan, namun dia membuat keputusan menggugurkan kandungan berkenaan bagi mengelakkan perbuatan mereka diketahui ahli keluarga.

Tambahnya, selepas enam tahun bersekedudukan, dia dan Kamarul akhirnya berkahwin akhir tahun lepas.

“Saya amat gembira kerana akhirnya impian saya menjadi isteri yang sah kepada Kamarul akhirnya tercapai.

“Bagaimanapun, sejak berkahwin secara sah, sikap Kamarul mula berubah apabila sering balik lewat ke rumah.

“Kekerapan melakukan hubungan intim juga tidak sekerap semasa kami bersekedudukan dahulu,” katanya.

Liza berkata, curiga dengan sikap Kamarul, pada satu hari dia menunggu Kamarul di hadapan pejabat suaminya itu untuk melihat apa yang dilakukan lelaki itu selepas tamat waktu bekerja.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat Kamarul keluar dari pejabat dengan seorang wanita muda sebelum mereka menunggang motosikal bersama dan berlalu dari situ.

“Saya kemudian pulang ke rumah untuk menanti kepulangan Kamarul untuk bertanya perkara sebenar,” katanya.

Kekasih baharu

Jelasnya, sebaik Kamarul pulang tiga jam selepas itu, dia terus bertanya mengenai wanita itu dan ke mana mereka pergi sebelum itu.

“Luluh hati saya apabila Kamarul memberitahu bahawa wanita itu kekasihnya dan mereka bekerja di pejabat yang sama.

“Kamarul kemudian menjelaskan bahawa dia masih mencintai saya dan tidak berhasrat untuk bercerai, namun keseronokan dan debaran bercinta sudah tiada.

“Dengan kekasihnya itu pula, dia berasa seronok setiap kali keluar bersama. Walaupun masih belum terlanjur, namun mereka kerap melakukan adegan ringan-ringan,” katanya.

Liza berkata, debaran dan keseronokan bercinta antara dia dan Kamarul mungkin telah luntur akibat mereka telah lama bersekedudukan sehingga kemanisan pengantin baharu tidak dapat lagi dirasai.

“Saya harap Kamarul dapat berubah dan menumpukan kepada rumah tangganya. Pada masa sama, saya harap pasangan kekasih lain tidak melakukan kesilapan sama sebelum berkahwin,” katanya.