HUJAN lebat yang mencurah-curah sejak awal pagi sedikit sebanyak menggusarkan hati Surya Sabuwe, 55, yang menetap di Kampung Gaung, Hulu Terengganu, Terengganu.

Keadaan itu membuatkan dia sekeluarga bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir yang melanda setiap kali musim tengkujuh menjelma.

Itulah suasana sejak berpuluh tahun lalu, jarang sekali bumi Pantai Timur termasuk Terengganu kering tidak ditenggelami air bah setiap kali Monsun Timur Laut pada bulan November hingga Mac setiap tahun.

Begitupun, bagi beliau, bukan semua yang dibawa Monsun Timur Laut itu angin derita, ada juga rahmat gembira yang ditunggu-tunggu penduduk Pantai Timur.

“Permulaan musim hujan yang dibawa musim tengkujuh maka bermulalah pesta ubi.

“Pelbagai jenis ubi boleh didapati dengan mudah, bukan sahaja ubi kayu dan keledek, macam-macam ubi yang kita jarang jumpa boleh diperoleh hanya pada musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Antaranya, ubi itik, keling, keladi telur, badak, torok dan gajah.

Kebanyakan tempat di Terengganu termasuk di Kampung Gaung, ramai peniaga ubi akan membuka gerai di tepi jalan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Menjamah ubi rebus manis dan lembut itu bersama air kopi panas tatkala musim hujan satu nikmat yang sukar dilepaskan.

Seorang peniaga, Romainor Kasim, 43, yang berniaga ubi di Kampung Gaung, Kuala Berang berkata, jualan ubinya mula meningkat sejak musim hujan bermula pada awal Oktober lalu.

“Biasanya, permintaan terhadap ubi semakin meningkat sehingga 100 kilogram (kg) sehari sepanjang musim hujan ini sehinggalah banjir mula melanda.

“Kalau bukan musim hujan, jualan ubi tidak pernah melebihi 10kg sehari. Bulan-bulan lain saya bergantung kepada hasil tanaman lain seperti jagung, limau madu, kacang tanah dan pisang,” katanya.

Romainor mewarisi gerai jualan terbabit yang wujud sejak tahun 1960-an daripada ibunya berkata, walaupun pelbagai jenis ubi dijual, ubi kayu paling menjadi pilihan pembeli pada musim hujan.

Jualan

Menurutnya, jualan ubi kayu sahaja boleh mencecah 40kg sehari sepanjang musim hujan berkenaan.

“Gerai kami dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang biasanya akan dipenuhi pelanggan dari Hulu Terengganu dan daerah-daerah lain,” katanya yang menetap di Kampung Temir, Hulu Terengganu.

Selain Kampung Gaung, Kuala Berang, satu lagi kawasan yang meriah dengan gerai jualan pelbagai jenis ubi pada musim hujan ialah Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu.

Seorang peniaga, Siti Sahara Fazira Saimi, 22, berkata, kebanyakan bekalan ubi untuk jualan tersebut merupakan hasil tanaman penduduk sekitar Manir dan Hulu Terengganu.

“Ubi kayu dan stelo diperoleh daripada pekebun sekitar Manir dan Hulu Terengganu. Bekalan ubi itik dan badak dari Besut.

“Bagi ubi keling dan keladi telur pula biasanya mudah didapati dari Kelantan atau Thailand,” jelasnya.

Ujar Siti Sahara, ubi kayu dan keledek berwarna putih dan oren dijual pada harga RM4 sekilogram (kg) manakala keledek ungu berharga RM6kg.

Jelas beliau lagi, ubi itik, keladi telur, gajah dan keling pula berharga antara RM7 hingga RM10kg.

“Pelancong-pelancong termasuk dari Kuala Lumpur turut berkunjung ke gerai saya dan mereka lebih teruja apabila melihat ubi keling, itik, keladi telur, torok serta gajah yang dikatakan tidak pernah dilihat sebelum ini,” katanya.

Budaya

Seorang lagi penduduk, Puang Jusoh, 60, berkata, budaya memakan ubi pada musim hujan mungkin disebabkan kebanyakan barang mentah seperti sayur, ikan, daging dan ayam sukar didapati kerana kedai runcit banyak ditutup sebagai persediaan menghadapi banjir.

Tambahnya, ubi-ubi tersebut yang sedap dimakan ketika panas dalam cuaca sejuk turut menjadikan ia pilihan utama pada musim hujan.

“Setiap jenis ubi seperti kayu, keledek, itik, keling, keladi telur dan badak mempunyai struktur fizikal dan rasa yang berbeza-beza,” jelasnya.

Puang yang menetap di Kampung Temir, Hulu Terengganu tersebut memberi contoh, ubi keling atau dikenali sebagai ubi kemili yang bersaiz kecil seperti kacang tanah mempunyai rasa lemak dan sedikit pahit.

Menurut warga emas itu, ubi badak atau ubi besar pula mempunyai dua warna iaitu ungu dan kuning. Begitu juga ubi keledek yang dipanggil ubi stelo di Terengganu ada tiga jenis iaitu putih, oren dan ungu.

“Orang Terengganu biasanya hanya memakan semua ubi tersebut selepas direbus dan dicicah kelapa parut yang digaul garam,” katanya.

Jelas Puang, sebahagian ubi berkenaan terutama keledek dan ubi badak boleh dibuat kuih-kuih tradisional seperti pengat, belebat (lepat), cek mek molek, talam dan keria.

Mula ditanam

Seiring dengan permintaan, penanaman ubi terutama ubi kayu di kawasan Hulu Terengganu dan Manir telah dirancang awal agar ia boleh dituai pada hujung tahun.

Salah seorang pengusahanya, Mustapa Yahya, 70, berkata, hasil tanaman tersebut perlu dituai pada permulaan musim hujan.

“Biasanya kita akan mula menanam keratan pokok ubi pada bulan Mac selepas banjir mulai surut dan kering.

“Hasil ubinya akan diperoleh pada bulan Oktober kerana tanaman itu mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk matang,” katanya.

Mustapa berkata, hasil ubi itu perlu dituai segera sebelum banjir melanda.

Menurut beliau, sekiranya lambat dituai, kebun akan dinaiki air banjir yang akan merosakkan kualiti ubi.

Beliau mempunyai kebun ubi kayu seluas 0.203 hektar di Kampung Tajin, Hulu Terengganu yang diusahakannya sejak puluhan tahun lalu dengan hampir setan hasil ubi kayu pada setiap musim.

“Biasanya saya jual secara borong kepada peniaga ubi di sekitar daerah Hulu Terengganu terutama di Kampung Gaung.

“Ada juga peniaga kuih mengambil bekalan ubi kayu daripada saya,” katanya.