Akui anak kedua Padzilah, Mohammad Munzir Aminuddin, 33, mereka dengan rela hati bersepakat untuk memerah keringat bagi menghasilkan pakaian solat wanita.

“Walaupun kami semua mengambil jurusan kejuruteraan tetapi ia bukanlah penghalang untuk menceburkan diri dalam perniagaan busana wanita.

“Masing-masing mempunyai peranan dan kebolehan untuk disumbangkan bagi menjulang jenama ini ke peringkat global,” katanya ketika ditemui Kosmo! di butik SK, Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Tiga lagi adik-beradiknya yang bekerja sepenuh masa dengan SK ialah Mohammad Muzammil, 34, selaku timbalan ketua pegawai eksekutif manakala Mohammad Muhaimin, 30, pula bertugas sebagai ketua pegawai operasi dan Mohammad Mukhlis, 26, bertindak sebagai ketua jabatan penyelidikan dan pembangunan.

Menurut Mohammad Munzir, dia bertugas secara serius dengan SK sejak tahun 2013 tetapi sebelum itu, bapa kepada seorang cahaya mata ini membantu bisnes ibunya separuh masa.

Berpengalaman selama empat tahun sebagai jurutera, Mohammad Munzir kemudian mengambil keputusan membantu ibunya sepenuh masa dan menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pemasaran SK.

“Ketika bertugas sebagai jurutera, saya ditempatkan di jabatan jualan, pengalaman tersebut banyak membantu saya dalam menguruskan perniagaan ini.

Gunting kain

“Bagi memantapkan diri dan pengetahuan dalam bidang perniagaan, saya menyambung pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Pemasaran Pengiklanan di Coventry University, Britain,” ujarnya yang berpegang kepada prinsip hidup perlu melaksanakan sesuatu sehingga berjaya.

Sebagai pengarah pemasaran, Mohammad Munzir bertanggungjawab dalam urusan pengiklanan dan jualan. Mengimbau suka duka kewujudan SK, mereka adik-beradik membantu Padzilah menggunting kain untuk dijadikan telekung di rumah ibunya yang terletak di Sungai Merab, Kajang Selangor kerana pada tahun 2009 hanya mempunyai seorang pekerja sahaja.

Cerita Mohammad Munzir, abang sulungnya, Mohammad Muzammil merupakan anak pertama yang membantu ibu mereka sepenuh masa pada tahun 2009. Ia diikuti oleh adik-beradik lain seorang demi seorang.

“Walaupun pada ketika itu tidak semua adik-beradik yang bekerja sepenuh masa dengan SK tetapi setiap kali perjumpaan keluarga, kami akan menyumbang idea dan penambahbaikan.

“Mohammad Mukhlis misalnya, telah mereka logo SK ketika dia masih sedang menuntut di sekolah menengah dan ia masih diguna sehingga kini,” tuturnya yang merancang untuk meluaskan lagi pasaran telekung SK ke Indonesia, Britain dan Asia Barat pada masa akan datang.

Tohmahan

Sehingga kini, SK mempunyai 28 butik di seluruh negara dan dua di Indonesia. Bagi merancakkan lagi perniagaan ini, SK turut menyertai pelbagai peragaan fesyen di pentas antarabangsa seperti London, Istanbul, Jepun dan Britain.

SK juga telah mula mendapat perhatian Muslimah di Britain apabila melancarkan platform e-Dagang www.sitikhadijah.co.uk di kota London baru-baru ini.

Jelas Mohammad Munzir, cabaran utama dalam perniagaan ini ialah persepsi orang terhadap telekung apabila ia dijual pada harga yang mahal berbanding biasa sehingga ada melontar pelbagai tohmahan.

Pun begitu, mereka sekeluarga tidak berputus asa dengan kata-kata tersebut kerana yakin dengan apa yang dilakukan.

“Visi ibu sangat jelas iaitu untuk mengangkat martabat pakaian solat ini ke peringkat global setanding dengan industri busana lain.

“Oleh itu, ia tidak boleh dijual di tepi-tepi jalan malah penggunaan fabrik juga perlu berkualiti tinggi sekali gus harganya juga akan menjadi mahal,” terangnya.

Di samping empat orang anak yang bekerja sepenuh masa, Padzilah turut dibantu dua lagi anaknya yang bekerja separuh masa di SK.

Sementara itu, Mohammad Muhaimin, 30, anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui ilmu kejuruteraan yang dimiliki sedikit sebanyak membantu menghasilkan produk SK menjadi lebih berkualiti.

“Keunikan produk SK bergantung kepada perincian yang kemas dan ketelitian jahitan.

“Bidang penghasilan telekung dan kejuruteraan tidak jauh beza kerana untuk menghasilkan sesuatu produk atau struktur yang baik perlu ada perkiraan dan pola kerja yang tepat.

“Sehubungan itu, ilmu kejuruteraan banyak membantu kami dalam menghasilkan rekaan yang selesa dengan bentuk wajah pelanggan,” jelasnya yang pernah bekerja dengan syarikat Google di Jepun.

Dia yang mula bekerja sepenuh masa dengan SK sejak dua tahun lalu menjelaskan, mereka sangat mementingkan bahagian muka telekung kerana di situlah terletaknya keselesaan sebenar pakaian solat itu.

Sehubungan itu, pihak SK membuat kajian bentuk muka wanita di Malaysia maka, telekung itu mempunyai pelbagai saiz bermula S hingga XL.

Justeru, tidak hairanlah dek kerana keselesaan itu, SK menjadi pilihan orang ramai meskipun harganya agak tinggi berbanding telekung lain di pasaran.

Tutur graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dari Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat itu, SK banyak menggunakan fabrik poliester kerana ia tahan lasak, tidak mudah berkedut, tebal dan tidak panas.

Dalam pada itu, Padzilah melahirkan rasa syukur kerana perniagaan tersebut mendapat sokongan padu daripada suami, Aminuddin Mohd. Nasir, 58, dan anak-anak. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.

Masih segar dalam ingatan Padzilah, kepayahan yang terpaksa ditempuhi ketika memulakan perniagaan ini.

“Saya dan suami bertungkus-lumus pergi ke pejabat agensi-agensi pelancongan yang menguruskan jemaah umrah dan haji untuk menjual telekung ini tetapi tiada siapa mahu membelinya. “Kini, usaha itu sangat berbaloi apabila jenama SK semakin maju di samping sokongan padu anak-anak dan suami,” ujar Pengarah Urusan SK itu.

Tutur Padzilah lagi, anak-anak merupakan penguat perniagaan dan anugerah terindah buatnya.

Empat orang anak-anak Padzilah yang berlatar belakang ilmu kejuruteraan menjadi legasi pewaris perniagaan Siti Khadijah Apparel sehingga membawa jenama itu ke peringkat global.