Puasa dan Aidilfitri di negara ini tidak bermandikan darah dan peluru seperti di Palestin, juga tidak seperti kehidupan masyarakat Rohingya yang terpaksa menumpang kasih di bumi asing agar nyawa tidak tergadai.

Malangnya, dalam betapa bertuahnya kita berpuasa dan beraya di Malaysia, kegembiraan tersebut sering kali diragut oleh tragedi kemalangan jalan raya.

Ibarat ketupat dan rendang yang merupakan menu wajib bagi menjamu tetamu yang datang berkunjung, begitulah juga kes kecelakaan yang bagaikan mengiringi musim perayaan di negara ini.

Kisah suri rumah maut manakala anak perempuannya cedera apabila Proton Waja yang mereka naiki terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Marang, Terengganu pada hari kedua berpuasa pasti mengundang kedukaan kepada keluarga berkenaan.

Punca
Begitu juga dengan cerita di Betong, Sarawak yang cukup memilukan hati, apabila seorang lelaki yang keluar untuk membeli juadah berbuka meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Apakah tindakan yang boleh kita lakukan sebagai pengguna jalan raya agar tidak menjadi korban di jalan raya pada musim perayaan ini?

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKJR) Selangor, Mohd. Fakri Mansor, sikap pemandu yang kurang menghargai nyawa sebagai punca kecelakaan di jalan raya.

“Terdapat pelbagai program diusahakan oleh pihak berkuasa termasuk JKJR sendiri untuk memastikan kemalangan dapat dikurangkan. Ia termasuklah kempen kesedaran mengenai persediaan yang seharusnya dibuat sebelum memulakan perjalanan lebih-lebih lagi menjelang hari raya.

“Namun, satu masalah mengenai rakyat Malaysia ini ialah kita sering kali hanya tersedar mengenai kepentingan keselamatan apabila kejadian itu berlaku terhadap diri kita. Selagi kemalangan tersebut tidak melibatkan ahli keluarga dan orang tersayang, kita seakan-akan lalai untuk menghargai nyawa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Justeru, Mohd. Fakhri mengingatkan pengguna untuk sentiasa membuat persediaan dan merancang perjalanan sama ada jauh dan dekat agar kemalangan dapat dielakkan.

“Jika melibatkan perjalanan jauh menggunakan lebuh raya umpamanya, pastikan anda merujuk kepada perkembangan trafik dan ambil berat mengenai keadaan jalan yang akan dilalui dan patuhi had laju yang ditetapkan.

“Sementelah jika menggunakan Jalan Persekutuan, pastikan anda sentiasa fokus termasuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Elakkan juga berada di jalan raya pada waktu puncak agar pemanduan anda lebih terurus dan lancar,” ujarnya.


Cadangan
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Safe Kids, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Kulanthayan K.C Mani mencadangkan lima perkara asas agar dapat mengurangkan risiko kemalangan.

Menurutnya, antara punca kemalangan berlaku adalah disebabkan jumlah kenderaan di jalan raya terlalu banyak sekali gus membuatkan pemandu kereta mahupun pembonceng motosikal mula hilang rasa sabar kerana mengejar waktu berbuka serta ingin cepat tiba di destinasi masing-masing.

“Untuk itu, bergeraklah menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api, bas dan kapal terbang kerana risiko anda terlibat kemalangan dan cedera lebih kecil berbanding duduk di dalam kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal.

“Walaupun kemalangan membabitkan bas umpamanya sering dilaporkan berlaku dan membuatkan pengguna takut, menurut statistik polis, ia hanyalah merangkumi 10 peratus daripada tragedi meragut nyawa di Malaysia sepanjang tahun,” jelasnya.

Pemanduan berhemah
Selain itu, kurangkan kelajuan kenderaan dipandu dan ikut had laju ditetapkan agar anda dapat kawalan pemanduan berada pada tahap terbaik.

Jika berlaku kemalangan pada kelajuan yang perlahan, impak kecederaan adalah lebih ringan dan kurang.

Tambahnya, jadikan pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang di tempat duduk depan dan belakang sebagai amalan wajib pemanduan berhemah agar momentum jika berlaku kemalangan tidak mampu membunuh.

“Tali pinggang bukan hanya untuk pemandu dan penumpang depan, tetapi kepada semua yang berada dalam kenderaan.

“Tahukah anda, jika yang belakang tidak memakai tali pinggang ketika berlaku kemalangan, ia akan turut membahayakan penumpang di hadapan? Pergerakan penumpang belakang akan bergerak dan menolak ke hadapan sekali gus merisikokan semua pihak di dalam kenderaan terlibat kemalangan,” kongsinya.

Bagi penunggang motosikal, guna topi keledar yang diluluskan Sirim sebagai perisai kepala dari hentakan dan kanak-kanak, pastikan kerusi keselamatan dalam kenderaan disediakan agar mereka tidak menjadi mangsa kelalaian ibu bapa.