Pada masa sama, ia dapat membantu orang lain yang dalam kesempitan mendapat wang dengan cepat.

Aktiviti yang kerap kali dikaitkan dengan wanita ini bukan melibatkan wang tunai semata-mata tetapi ada dalam kalangan orang ramai bermain kutu untuk membeli sesuatu barangan yang mahal seperti emas, produk Tupperware atau pinggan mangkuk.

Menurut Pendakwah Bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman, hukum main kutu adalah harus tetapi perlu ada akad yang jelas bagi mengelakkan berlaku penindasan kepada peminjam.

Menindas

“Menurut Islam, seseorang yang membuat pinjaman perlu membayar hutang dengan nilai yang diambil.

“Bagi pemberi hutang pula, tidak boleh berlaku pertambahan dari segi nilai pinjaman kerana ia boleh dikategorikan sebagai riba,” jelasnya.

Hal ini kerana Islam melarang perbuatan penindasan atau menzalimi orang lain.

Bagaimanapun, ujar Muhamad Aizuddin, inisiatif yang terbaik bagi peminjam membayar lebih daripada amaun yang dipinjam sebagai tanda penghargaan kepada pemberi hutang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti main kutu adalah asas yang baik kerana seseorang yang berhutang hanya membayar jumlah yang dihutang tanpa faedah tambahan.

“Main kutu dengan konsep taawun iaitu kerjasama membantu peminjam mendapatkan mengikut giliran dan tidak dikenakan faedah.

“Bagaimanapun, mereka mesti amanah bagi memastikan tiada individu yang ditindas atau dizalimi.

“Wang yang telah dipersetujui jumlahnya perlu diagihkan dengan betul,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Shahida Jalaludin, 40, berkata, aktiviti main kutu secara tradisional dianggap seperti menabung kerana membantu beliau menyimpan wang secara lebih disiplin.

“Aktiviti main kutu ini sama konsepnya seperti meminjam wang tetapi dengan persetujuan sesama peserta.

“Setiap ahli kumpulan perlu memberikan komitmen untuk mengeluarkan sejumlah wang yang dipersetujui setiap bulan dan akan menerima jumlah wang yang sama mengikut giliran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujar Shahida, aktiviti tersebut sama konsepnya dengan berhutang dan wang perlu dibayar mengikut perjanjian.

Tambah Shahida yang sudah 15 tahun menjadi ketua kumpulan atau ibu kutu, sifat amanah dan boleh dipercayai adalah nilai yang diperlukan ketika melibatkan diri dalam skim wang kutu.

Hal kerana ibu kutu memainkan peranan penting mengumpulkan wang dan menyerahkan kepada peserta mengikut giliran.

Bagaimanapun, Shahida berkata, sekiranya ahli kumpulan meninggal dunia semasa tempoh bermain kutu, baki wang giliran ahli yang belum dibayar akan dilunaskan oleh waris.

Wang yang sudah dibayar juga akan dikembalikan kepada keluarga sekiranya individu yang meninggal belum menerima wang gilirannya.

Dipenjara

Kosmo! baru-baru ini melaporkan polis memberi amaran bahawa kegiatan bermain kutu yang menjadi kegilaan dalam kalangan orang ramai termasuk di pejabat kerajaan dan swasta merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman sosial Facebook Cyber Crime Alert memaklumkan, mereka yang terlibat dan didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut jabatan itu, orang ramai berisiko untuk ditipu pada bila-bila masa kerana terdapat beberapa kes penganjur atau ‘ibu kutu’ didapati menghilangkan diri bersama wang yang disimpan oleh peserta.

“Sekiranya ibu kutu menghilangkan diri, mangsa boleh membuat laporan di balai polis berhampiran dan kebiasaannya kes ini akan dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disiasat,” kata kenyataan tersebut.

Pada kebiasaannya permainan kutu bertujuan untuk mengumpulkan wang melalui sebuah kumpulan yang diwujudkan dan disertai antara enam hingga 12 orang peserta.