Manakan tidak, sana sini begitu meriah dengan promosi raya yang ditawarkan oleh peniaga sehingga memenuhi setiap sudut kota dan luar bandar negara ini.

Katakanlah apa sahaja, alas meja, kuih raya, baju raya perabot mahupun pelbagai barangan elektronik, semuanya dijual pada harga sangat istimewa ataupun dalam kata lain ‘harga runtuh’ bagi menambat hati pelanggan.

Tidak dinafikan, promosi hebat seperti ini sedikit sebanyak berjaya memukau pelanggan untuk berbelanja lebih menjelang musim perayaan.

Kalau dilihat pada trend raya sebelum ini, ia bukanlah sesuatu yang asing apabila masih ada segelintir masyarakat boros berbelanja hanya semata-mata ingin meraikan perayaan dengan meriah.

Paling menyedihkan, apabila ada antaranya menjadi pokai sementara menunggu gaji bulan seterusnya berikutan gagal mengawal nafsu berbelanja.

Walhal peringatan berkenaan pokai telah banyak kali ditekankan setiap kali menjelang perayaan sehingga ada mempertikaikan bahawa ia isu lapuk.

Hilang pertimbangan

Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kesedaran pengguna untuk mengawal perbelanjaan mereka sepanjang musim perayaan didapati kian meningkat hasil daripada pelbagai kempen perancangan kewangan yang diadakan sama ada oleh agensi kerajaan mahupun mana-mana persatuan pengguna.

“Mereka sudah dapat mengenal pasti dan membezakan antara keperluan serta kehendak selain bajet kewangan raya turut disediakan, namun ramai individu tidak tentu arah setelah sampai ke kedai, pasar raya atau bazar.

“Kami dapati, ada sebahagian masyarakat gagal mengawal nafsu berbelanja dan terlupa bajet yang disediakan kerana terpengaruh dengan situasi persekitaran yang berjaya menarik pengguna untuk berbelanja lebih,” katanya.

Tidak dinafikan, musim perayaan mempunyai aura tersendiri yang membuatkan ramai individu lupa akan kepentingan pengawalan perbelanjaan dan mula berbelanja lebih kerana ingin tampil menarik pada pagi raya.

Ditambah pula suasana kemeriahan itu sendiri dengan lagu atau muzik raya yang berkumandang serta persekitaran orang ramai berpusu-pusu membeli-belah barangan, sedikit sebanyak turut membangkitkan semangat seseorang itu berbelanja sakan.

Malah, pada ketika itulah mereka lupa mengenal pasti yang mana satu kehendak kerana di mata majoriti besar pengguna semuanya dilihat sebagai keperluan.

“Masalah ini menyentuh naluri seorang manusia. Memang naluri kita suka berbelanja lebih, apatah lagi jika hendak menyambut raya. Belanja untuk hari raya memang tidak dapat dielakkan, cuma menjadi masalah kalau ia dilakukan secara tidak berhemah.

Gimik

“Kalau dari sudut psikologi, memang ada kecenderungan seseorang pengguna berbelanja lebih apabila sesuatu lagu itu dimainkan di pusat beli-belah.

“Ini kerana, ia strategi peniaga untuk membuatkan pengguna berada lama di pasar raya dan sekali gus mendorong pengguna berbelanja sakan,” jelasnya kepada Bernama.

Mengenai lambakan jualan murah, beliau berkata, perihal berkenaan sudah banyak kali diingatkan kepada pengguna supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan sedemikian rupa berikutan ada antaranya hanyalah gimik musim perayaan.

Biarpun demikian, masih ramai yang terpengaruh dan tertipu dengan iklan jualan murah walhal harga ditetapkan adalah harga asal dan bukanlah harga istimewa sepertimana didakwa peniaga.

Hasil tinjauan Fomca sebelum ini mendapati, ada sesetengah peniaga sengaja memanipulasi harga pada musim perayaan untuk mengaut keuntungan berganda.

“Entah mengapa majoriti besar masyarakat menjadi tamak berbelanja jika ada tawaran potongan harga sedangkan ia bukanlah semurah yang disangka.

“Misalnya, harga barang itu sebenarnya adalah RM50 tetapi diletak harga RM100 dan bagi diskaun 50 peratus, jadi ia kembali kepada harga asal.

“Disebabkan itu, Fomca amat menekankan kepentingan membuat perbandingan harga sebelum membeli barang,” tambahnya.

Pada masa sama, Fomca melahirkan kebimbangan apabila segelintir besar masyarakat terus cuba menghalalkan niat perbelanjaan mereka dengan berpegang kepada ungkapan ‘raya hanya setahun sekali, jadi apa salahnya berbelanja lebih’.

Persepsi sedemikian tidak boleh dipandang remeh kerana ia antara punca yang menjurus pengguna untuk beranggapan bahawa kemeriahan Syawal hanya dapat dirasai apabila semuanya perlu ditukar baharu.

Tidak salah adanya pakaian baru, perabot baharu meraikan perayaan tetapi kalau setiap kali raya semuanya hendak ditukar walhal ia masih lagi dalam keadaan baik, itu sebenarnya mengundang masalah.

Keadaan bertambah buruk apabila ada yang sanggup belanja berhabis-habisan dan berhutang menggunakan kad kredit atau kemudahan bayaran ansuran yang disediakan oleh sesetengah pengusaha kedai elektronik, perabot mahupun pasar raya.

Tambah Mohd. Yusof, meraikan hari raya bukanlah berlandaskan konsep serba serbi baharu tetapi ia lebih kepada kepentingan mengukuhkan silaturahim bersama keluarga, saudara-mara mahupun rakan. 
– BERNAMA