Selepas menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda dalam bidang falsafah daripada University of Northern Colorado lelaki itu bertekad untuk mencari pekerjaan. Dia berhasrat untuk mencari pekerjaan sebelum menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana dalam bidang kesusasteraan di University of Colorado Boulder, Colorado.

Bagaimanapun, bidang pengajian yang dipilihnya itu tidak mendatangkan banyak peluang pekerjaan.

Ini menyebabkan Haag gagal mendapatkan kerjaya yang bersesuaian dengan apa yang dipelajarinya di universiti sebelum ini.

Selepas beberapa bulan mencari pekerjaan bersesuaian, lelaki itu akhirnya terpaksa bekerja di luar bidang yang dia inginkan.

Bagi menampung perbelanjaan hidupnya termasuk membayar pinjaman pelajaran yang berjumlah AS$20,000 (RM83,600), Haag terpaksa bekerja sebagai pemunggah barang-barang dalam kontena dan pemasang roket mainan.

Pada setiap bulan, lelaki AS itu terpaksa membayar semula pinjaman pelajarannya sebanyak AS$300 (RM1,254) dan berasa cukup terbeban memandangkan gaji yang diterima cuma AS$1,700 (RM7,116) sahaja.

Pedalaman

Akibat berasa tertekan dengan masalah kewangan gara-gara gagal mendapatkan pekerjaan yang diharapkan, Haag akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan AS dan berpindah ke sebuah perkampungan kecil terletak di dalam hutan di India bagi memulakan kehidupannya yang baharu sejak Januari tahun ini.

Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen CNBC, warga AS itu memberitahu, sebelum mengambil keputusan untuk berpindah ke India, dia pernah terfikir untuk tinggal di dalam gua bagi mengelak daripada membayar semula pinjaman pelajarannya.

“Saya pasti bukan saya seorang sahaja yang terfikir untuk tinggal di dalam gua semata-mata bagi mengelak daripada membayar semula pembiayaan pelajaran, bahkan ramai (warga AS) lagi,” ujar Haag.

Bagaimanapun, selepas berfikir panjang, akhirnya lelaki itu memutuskan untuk berpindah ke negara lain yang dirasakan jauh lebih baik.

Berikutan kesanggupan itu, Haag akhirnya telah memilih untuk menetap di perkampungan Uchakkada yang terletak di wilayah Thiruvananthapuram di negeri Kerala, India dengan kos sara hidup cuma AS$50 (RM209) sebulan.

Jatuh cinta

Bahkan, baru-baru ini, dia juga dilaporkan telah berkahwin dengan seorang wanita warganegara India yang merupakan seorang pensyarah di sebuah kolej di sana.

“Apa yang boleh saya katakan, menetap di India jauh lebih baik berbanding di AS dan selepas berkahwin, saya hanya perlu memperbaharui visa setiap lima tahun sekali,” ujar lelaki yang berasal dari Colorado itu.

Selepas hampir setahun tinggal di India, dia mengakui jatuh cinta dengan keindahan negara tersebut walaupun hanya tinggal di dalam sebuah rumah kecil dan terletak di kawasan pedalaman.

Haag juga begitu teruja memberitahu bahawa di belakang rumahnya terdapat banyak pokok kelapa dan ayam yang berkeliaran.

“Saya baru sahaja melihat empat ekor gajah berada di belakang rumah baru-baru ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Haag mengakui bahawa jumlah pinjaman pelajaran yang dibuatnya itu tidaklah sebesar seperti yang perlu ditanggung oleh segelintir peminjam lain.

Namun, ketidakupayaan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih stabil bagi membayar semula pinjaman membuatkan lelaki itu berasa sungguh tertekan.

Bagaimanapun, tindakan Haag berpindah ke negara lain semata-mata untuk mengelak daripada membayar semula pinjaman pelajaran yang dibuat itu adalah merupakan satu kesalahan di AS.

Penduduk AS yang berpindah ke negara lain semata-mata untuk melarikan diri daripada membayar pinjaman pelajaran berdepan dengan risiko besar jika mereka kembali semula ke tanah air.

Individu yang melarikan diri daripada membayar pinjaman pelajaran akan mendapati hutang mereka akan menjadi lebih besar daripada jumlah sebelumnya selain turut dikenakan faedah kompaun, caj kutipan dan denda akibat bayaran lewat.

Haag tekad tinggalkan kehidupan di AS dan berpindah ke kawasan pedalaman di India kerana gagal mendapatkan pekerjaan yang baik bagi membayar hutang pinjaman pelajaran.