DERETAN kereta mewah jenama Lexus, BMW, Mercedes, Ferrari, Audi dan Porsche milik usahawan DYXY Cosmetic Sdn. Bhd. (DYXY) diletakkan di luar bangunan syarikat tersebut di Taman Dagang, Kuala Lumpur.

DYXY ditubuhkan pada penghujung tahun 2016 merupakan syarikat produk kecantikan yang menawarkan Krim BC, DYXY Green Tea Mineral Face Mist, DYXY Face Brush, Curve Fibre Mascara dan DYXY Matte Lipstick.

Meskipun syarikat berkenaan baru menempa nama dalam dunia kecantikan namun pencapaian luar biasanya wajar menjadi inspirasi kepada mereka yang menceburi bidang perniagaan.

Pengasasnya, Nur Dyanah Roslan berkata, pihaknya menggunakan strategi pemasaran yang menggabungkan online dan jaringan dalam mengukuhkan jenama DYXY di pasaran.

“Akademi DYXY adalah salah satu strategi yang digunakan untuk membina jaringan supaya produk kita dikenali di seluruh negara. Kita tidak hanya menjual produk kecantikan semata-mata tetapi turut membantu melahirkan usahawan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun berjaya melahirkan kira-kira 30 orang usahawan memperoleh pendapatan bersih sehingga mencecah RM60,000 sebulan pada tahun lalu, namun mereka tetap berhati-hati dengan faktor keselamatan.

“Kami tidak mengamalkan strategi pemasaran dengan mempamerkan kemewahan di media sosial kerana ia boleh mengancam keselamatan dan tidak memberi impak yang menyeluruh terhadap pengukuhan jenama produk.

Motivasi

“Kita menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram hanya untuk mempromosikan produk DYXY dan mendapatkan maklum balas daripada para pengguna,” kata anak kelahiran Gombak, Selangor itu.

Sejak kebelakangan ini, beberapa peniaga barangan kosmetik khususnya sering memaparkan kehidupan mereka yang serba mewah menerusi media sosial atau rancangan televisyen.

Antara yang dipaparkan ialah rumah umpama istana, deretan kereta mewah, koleksi peribadi seperti jam tangan mewah, barangan kemas dan beg tangan berharga ratusan ribu ringgit.

Pelbagai alasan turut diberikan pihak berkenaan seperti memberi motivasi kepada masyarakat agar berusaha kuat sekali gus mengikuti jejak langkah mereka berjaya dalam bidang yang diceburi.

Selain itu, ia secara tidak langsung dapat mempromosikan lagi produk keluaran mereka.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seorang peniaga online cedera parah akibat ditembak dalam kejadian samun di pejabatnya di Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan.

Ia dipercayai akibat mangsa sering membuat promosi secara live dengan mempamerkan wang tunai dan barang kemas di laman sosial Facebook.

Mangsa, Mohd. Irfan Abdullah, 26, yang berniaga produk kosmetik jenama Kunyit Skincare, pakaian dan barang kemas cedera selepas peluru yang dilepaskan suspek menembusi betis kanannya.

Semasa kejadian, mangsa bersendirian di pejabatnya. Kepala mangsa turut cedera dipukul suspek.

Barang kemas bernilai kira-kira RM150,000 dan wang tunai RM8,000 milik lulusan Universiti Teknologi Mara itu juga dilarikan penjenayah terbabit.

Norma

Mengulas mengenai kejadian itu, Ketua Program Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir berkata, tindakan sesetengah peniaga online yang mempamerkan kemewahan secara keterlaluan melanggar norma kehidupan bermasyarakat di negara ini.

“Dalam konteks Barat, ia tidak menjadi masalah sekiranya kita mahu mengekspresikan kegembiraan dan berkongsi pencapaian dengan rakan sekeliling.

“Bagaimanapun, tindakan tersebut dilihat bertentangan dengan norma masyarakat di negara ini yang mendukung prinsip kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan,” katanya.

Menurut Nor Ba’yah, kejayaan seseorang akan meningkatkan tahap keyakinannya untuk berkongsi kegembiraan dengan orang sekeliling.

“Apabila seseorang itu berjaya, keyakinan dirinya akan meningkat sekali gus menimbulkan keinginan untuk mengekspresikan kegembiraan yang dirasai.

“Kadangkala mereka terlalu gembira sehingga tidak memikirkan kesan di sebalik tindakan yang diambil. Impaknya boleh membahayakan diri sendiri seperti yang terjadi dalam kes yang berlaku baru-baru ini,” katanya lagi.

Bagi Nor Ba’yah, golongan yang suka mempamerkan kemewahan di media sosial perlu akur dengan norma-norma yang ditetapkan masyarakat.

“Mereka perlu memahami tidak semua tindakan dapat diterima anggota masyarakat terutama perbuatan mempamerkan kemewahan secara keterlaluan sehingga menimbulkan kebencian.

“Ia bukanlah perbuatan yang salah namun mereka perlu menghormati norma kehidupan yang telah ditetapkan sekian lama. Kita tidak dapat menjangkakan kesan yang menimpa sekiranya mereka tersilap langkah,” ujarnya.

Sementara itu, Imam Muda Asyraf atau nama penuhnya Muhammad Asyraf Mohd. Rizuan berkata, Islam tidak melarang seseorang untuk berkongsi kegembiraan dan pencapaian yang diperoleh namun perlu mengikut batasan yang ditetapkan.

“Dalam konteks strategi perniagaan, ia diharuskan selagi tidak bertentangan dengan hukum-hakam Islam.

“Namun, sekiranya tindakan tersebut dilakukan bertujuan untuk menunjuk sehingga menimbulkan perasaan riak dan ujub hukumnya adalah haram,” katanya.

Menurut Imam Muda Asyraf, umat Islam tidak boleh menjatuhkan hukuman terhadap seseorang sebaliknya perlu mengambil kira niat perlakuan tersebut.

Justeru, katanya, Islam amat menitikberatkan akhlak dalam kalangan umatnya supaya tidak bertindak melampaui batas.

“Sebahagian ulama menyarankan untuk tidak berlebih-lebihan dalam tiga perkara iaitu menghebahkan umur, menunjukkan kebahagiaan keluarga dan mempamerkan harta benda.

“Ia dikhuatiri boleh menimbulkan rasa cemburu dan iri hati dalam kalangan orang sekeliling sehingga boleh mengundang bahaya terhadap diri sendiri,” katanya lagi.

Imam Muda Asyraf turut menasihati orang ramai khususnya peniaga online supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku akibat tindakan tersebut.