Namun, ketika ingin melakukan pendaratan, pesawat jenis Boeing 747 - 400 yang membawa 220 orang penumpang dan enam kru mengalami kecemasan apabila enjin kedua pesawat itu menghentam sebuah dron ketika ingin mendarat.

Juruterbang mengambil keputusan untuk melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas di landasan 2 KLIA.

Kepulan asap mula memenuhi ruang udara dan bebola api kelihatan pada badan pesawat itu sejurus impak.

Selepas menerima panggilan kecemasan, beberapa jentera bomba daripada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) tiba di lokasi bagi memadam kebakaran dan melaksanakan operasi menyelamat.

Anggota AFRS dan pasukan keselamatan lain mula bergegas ke kawasan ‘tragedi’ bagi menyelamatkan penumpang yang masih hidup. Keadaan agak kecoh seketika sehingga api berjaya dipadamkan.

Senario itu dimainkan dalam Eksesais Perisai Panthera yang diketuai AFRS di KLIA baru-baru ini.

Eksesais itu adalah sebahagian daripada keperluan bagi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dalam memastikan aspek keselamatan lapangan terbang berada pada tahap maksimum mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), selain Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Setiap lapangan terbang wajib melaksanakan latihan ini dua tahun sekali dan setiap latihan dijalankan tanpa terikat kepada standard operasi masa bagi kerja-kerja menyelamat. Bagi KLIA, ini kali kedua latihan seperti itu dilakukan pada waktu malam, sekali gus memberikan cabaran buat pasukan AFRS dalam menjayakan eksesais tersebut.

Menceritakan mengenai eksesais kali ini, Pengurus Kanan AFRS Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd., Muhammad Hidayat Datuk Ismail berkata, faktor keadaan yang gelap dan jarak penglihatan yang terhad menjadi cabaran terbesar bagi pasukan berkenaan.

“Semua aspek keselamatan perlu diutamakan. Selain itu, kenderaan pengiring atau lebih dikenali sebagai Follow Me Vehicle (FMV) dari unit Airside perlu digunakan bagi mengiringi setiap pergerakan keluar masuk kenderaan dalam kawasan KLIA semasa latihan,” katanya kepada Kru Jurnal baru- baru ini.

Sebelum pelaksanaan Eksesais Perisai Panthera 2018, beberapa mesyuarat penyelarasan dan lawatan tapak telah dijalankan bagi memastikan koordinasi setiap agensi dapat dicapai serta memberi ruang kepada agensi yang terlibat bagi mengemaskini prosedur operasi standard (SOP).

Ini kerana, sebanyak 13 agensi dan jabatan terlibat dalam menjayakan eksesais berkenaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) melibatkan seramai 688 pegawai dan anggota.

“Pihak MAHB juga telah mengadakan Seminar Airport Emergency Plan dua hari sebelum latihan dan disusuli dengan Tabletop Exercise satu hari sebelum tarikh latihan dijalankan.

“Tabletop Exercise diadakan bagi meningkatkan tahap pemahaman semua agensi berkenaan tugas dan tanggungjawab prosedur selain mencapai koordinasi terbaik dalam memastikan kelancaran latihan pada kali ini,” tambah Muhammad Hidayat.

Bagi memudahkan komunikasi antara pelbagai agensi, dua jenis alat komunikasi yang diguna pakai iaitu Digital Trunk Radio System (DTRS) dan Government Inter-Agency Radio Networking (GIRN) bagi memastikan maklumat dapat disalurkan dengan cepat dan tepat.

Ujarnya, AFRS perlu memastikan tiga perkara untuk memastikan tahap kesiapsiagaan langan terbang yang optimum iaitu jumlah keanggotaan yang mencukupi, aset terkini dan SOP yang sentiasa dikemas kini.

“Pihak AFRS sentiasa memastikan pengisian jawatan kosong diisi bagi memenuhi keperluan operasi serta menghadiri latihan intensif yang berkaitan di dalam dan luar negara.

“Selain itu, penggantian aset jentera yang berteknologi terkini dibuat secara berperingkat bermula pada tahun 2019 hingga 2020 bagi mengekalkan kategori yang ditetapkan oleh ICAO.

Pembelian kelengkapan dan peralatan kebombaan baharu ini adalah berdasarkan kepada penilaian risiko di kawasan berisiko tinggi di KLIA,” katanya yang memberitahu, SOP sedia ada sentiasa dikemas kini dengan kerjasama JBPM, APM dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).

Sementara itu, katanya, latihan yang dilakukan itu diadili oleh CAAM, PDRM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menilai aspek-aspek yang perlu ditambah baik.

“Kita melihat keberkesanan latihan melalui proses post-mortem selepas latihan.

“Dalam latihan semua kelihatan sempurna namun situasi panik berlaku dalamkeadaan sebenar, itulah gunanya kita membuat latihan,” katanya.

Mengulas mengenai tahap keselamatan KLIA, Pengurus Besar Kanan MAHB, Mohd. Suhaimi berkata, setakat ini sistem operasi berjalan lancar.

Tambahnya, menerusi mesyuarat pasca eksesais, pihaknya mendapati pembelian dan penggantian aset juga akan dilakukan bagi memastikan kelancaran sesuatu operasi dalam menangani sebarang kejadian kemalangan yang melibatkan pesawat.

“Beberapa siri latihan susulan akan dilaksana di mana ia melibatkan semua agensi dalam usaha mempertingkat tahap kecekapan dan keberkesanan SOP setiap agensi,” tambahnya.

Seramai 688 pegawai dan anggota daripada 13 agensi terlibat jayakan simulasi bencana di lapangan terbang.