Kosmo! Ahad: Boleh Datuk Seri ulas secara terperinci tentang perkembangan ekonomi negara pada tahun 2017?

Mohd. Uzir Mahidin: Pada tahun lalu, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan iaitu 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus pada tahun sebelumnya. Selain itu, 12 buah negeri juga mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding 2016 dengan merangkumi sektor perkhidmatan, perbuatan dan pertanian. Antaranya Pahang yang me­lonjak kepada 7.8 peratus, Johor meningkat 6.2 peratus, Perak 5.5 peratus dan Kelantan 5.0 peratus. Kebanyakan negeri mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pertumbuhan KDNK tersebut didorong oleh perkembangan sektor perkhidmatan, pembuatan dan perladangan.

Negeri manakah yang mencatat KDNK tertinggi bagi tahun 2017 dan ia melibatkan sektor apa?

Sabah mencatatkan lonjakan pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan iaitu 4.7 peratus pada tahun 2016 kepada 8.2 peratus pada tahun 2017. Lonjakan tersebut disumbang oleh sektor pertanian dan perkhidmatan selain pengukuhan sektor-sektor perlombongan dan kuari serta pembuatan. Pencapaian ini amat memberangsangkan memandangkan ia merupakan jumlah tertinggi bagi Sabah sepanjang tempoh tujuh tahun semenjak tahun 2011.

Selain Sabah, negeri manakah yang mencatat KDNK tinggi dan memberangsangkan bagi tahun lalu?

Jika dilihat, Melaka merupakan negeri kedua yang mencatatkan KDNK tertinggi pada tahun lalu iaitu 8.1 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun sebelumnya. Ia disumbangkan oleh sektor pembuatan iaitu penghasilan komponen kenderaan dan produk elektrik dan elektronik. Selain sektor pembuatan, sektor pembinaan juga menjadi penyumbang kepada pertumbuhan KDNK tinggi di negeri tersebut. Selepas Melaka, negeri Pahang juga mencatat pertumbuhan KDNK yang tinggi iaitu 7.8 peratus berbanding 2.0 peratus pada tahun 2016. Ia dibantu oleh sektor agrikultur iaitu penanaman sawit dan juga sektor pembuatan bahan-bahan kimia, minyak sayur-sayuran dan juga penghasilan kenderaan dan motosikal.

Mungkin Datuk Seri boleh jelaskan tentang penengah dan purata gaji bulanan yang diterima pekerja di negara ini bagi tahun lalu? Adakah ia menunjukkan penyusutan atau peningkatan?

Penengah dan purata gaji bulanan yang diterima pekerja di Malaysia bagi tahun lalu meningkat kepada 8.1 peratus berbanding 7.7 peratus. Ia dilihat selari dengan prestasi ekonomi negara yang juga merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus KDNK pada tahun 2017 berbanding 4.2 peratus pada tahun sebelumnya. Jika ditanya mengikut jantina, penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja lelaki mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus, manakala pekerja perempuan pula sebanyak 7 peratus. Dari segi purata dan upah bulanan, pekerja perempuan merekodkan kadar pertumbuhan lebih tinggi iaitu 9.1 peratus, manakala pekerja lelaki pada 7.5 peratus. Nilai penengah dan purata gaji serta upah bulanan untuk pekerja berpendidikan pengajian tinggi kekal tinggi dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 3 peratus dan 7.7 peratus. Kadar pertumbuhan penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat 6.6 peratus setahun kepada RM2,260. Bagi penengah gaji dan upah bulanan untuk pekerja di kawasan luar bandar pula, ia meningkat 3.6 peratus kepada RM 1,400. Pertumbuhan bagi purata gaji dan upah di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar ialah lebih tinggi iaitu masing-masing 7.7 peratus (RM3,038) dan 6.3 peratus (RM2,040).

Boleh Datuk Seri jelaskan penengah dan purata gaji bulanan yang diterima pekerja mengikut kepakaran?

Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) bagi pekerja berkemahiran pada tahun lalu ialah 36.8 peratus berbanding 36.7 peratus pada tahun 2016. Penengah dan purata bagi golongan ini masing-masing ialah RM3,600 dan RM 4,574. Bagi pekerja separa berkemahiran pula, CAGR melonjak daripada 54.9 peratus kepada 55 peratus. Penengah dan purata gaji bagi kumpulan ini masing-masing ialah RM1,680 dan RM1,947. Bagi golongan kurang berkemahiran pula, CAGR menunjukkan penyusutan daripada 8.4 peratus pada tahun 2016 kepada 8.2 peratus pada tahun 2017. Penengah dan purata gaji bagi kumpulan ini masing-masing ialah RM1,200 dan RM1,531.

Jika dilihat, tahun lalu, nilai ringgit menunjukkan penyusutan sebelum ia mula kukuh pada penghujung 2017 dan masyarakat merungut kerana merasakan terbeban dengan kos hidup yang tinggi. Bagaimana Datuk Seri melihat isu ringgit yang lemah dan bagaimanakah cara terbaik untuk berdepan dengan isu tersebut sebagai seorang individu?

Bagi saya, sebagai seorang individu, kita perlu bijak mencari keseimbangan dalam kehidupan dan perbelanjaan. Dalam kehidupan seharian, kita perlulah sering melakukan pilihan yang bijak dan seterusnya akan menjimatkan kos. Sebagai contoh, anda mahu minum teh tarik di sebuah kedai dengan suasana yang menarik, namun harga teh tarik tersebut ialah RM5. Sebuah lagi kedai pula menawarkan minuman yang sama, namun dengan suasana yang kurang menarik serta harga yang jauh lebih rendah. Sebagai seorang individu, pilihan tentunya terletak di tangan kita dan kita harus ingat bahawa kita tidak boleh memiliki semuanya. Sekiranya anda mahu suasana yang menarik saat menikmati segelas minuman, maka anda perlu bersedia untuk membayar harga yang lebih. Selain itu, saya berpegang kepada prinsip bahawa anda perlu sentiasa menyimpan wang untuk persediaan kecemasan. Bagi saya, menyimpan wang bermaksud melengahkan kehendak diri. Ia bukan bermakna anda harus mengorbankan kehendak diri untuk mewujudkan tabung simpanan, ia bermaksud anda boleh memiliki sesuatu yang diinginkan, namun bukan sekarang.