Gadis berusia 28 tahun itu memilih untuk berhenti kerja sebagai petugas khidmat pelanggan di sebuah syarikat di ibu negara.

Keputusan itu membolehkannya berjinak-jinak dengan perniagaan kelengkapan wanita yang diusahakan secara kecil-kecilan.

Pendapatan yang diperolehnya menerusi perniagaan tidak menentu, ada kala untung, ada harinya rugi.

Menyedari hakikat tersebut, Aimi Liyana terpanggil untuk mencari kerja sambilan yang boleh dilakukan di rumah.

Selepas mengetahui adanya program Ejen Panggilan Jarak Jauh (RCA) oleh syarikat penyediaan piza terkemuka di negara, Domino’s Pizza (Domino’s), dia terus mengambil peluang keemasan tersebut.

RCA merupakan satu program perintis oleh Domino’s bagi membolehkan ejen bekerja secara fleksibel dari rumah tanpa perlu ke pejabat.

Dengan pengalaman yang ada sebagai pekerja khidmat pelanggan selama dua tahun, permohonan Aimi Liyana untuk berkhidmat sebagai RCA telah diterima.

“Sebelum berjaya dipilih menjadi RCA, saya perlu menjalani sesi temu duga terlebih dahulu. Kemudian, kami diberi latihan asas mengendalikan panggilan pelanggan.

“Saya sangat teruja berjaya menjadi antara orang terawal yang dapat berkhidmat sebagai RCA,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Wisma Domino’s, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tugas utama RCA ialah mengendalikan panggilan masuk untuk membuat pesanan piza, memproses pesanan pelanggan dan melayan setiap pertanyaan.

Pesanan tiada had, tetapi pelanggan perlu mengambil sendiri di stor pilihan masing-masing. Terdapat lebih 200 stor Domino’s di negara ini.

RCA juga bertanggungjawab untuk mematuhi prosedur dalam mengendalikan masalah pelanggan serta mematuhi setiap arahan atau tugas khas oleh pihak pengurusan.

Menurut Aimi Liyana, setiap hari, dia mengendalikan antara 50 hingga 100 pelanggan dengan setiap panggilan mengambil masa antara dua hingga tiga minit.

Jelas anak kelahiran Taiping, Perak itu, setiap pesanan yang berjaya, dia akan dibayar sebanyak RM1. Bagaimanapun, jika pelanggan membatalkannya, dia tidak akan dibayar.

Dia menambah, menerusi tugas tersebut, dia mampu menjana pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan bergantung kepada kerajinannya.

“Setiap hari, saya bertugas dalam dua sesi iaitu pada waktu tengah hari dan malam. Ini kerana panggilan tinggi pada kedua-dua waktu berkenaan.

“Biasanya, saya kerja hanya empat jam bagi setiap sesi. Saya bercuti pada Isnin kerana panggilan pada hari itu sangat rendah,” jelasnya.

Jimat kos

Menurut Aimi Liyana, dia sangat selesa bertugas sebagai RCA kerana tidak perlu ke pejabat dan boleh bekerja mengikut jadual sendiri.

Jelasnya lagi, dia juga boleh memberi perhatian kepada perniagaan dan menguruskan kehidupan di rumah seperti membasuh pakaian serta memasak.

“Bekerja dari rumah sangat menyeronokkan. Saya tidak perlu menghabiskan masa menggosok pakaian dan meredah kesesakan ke tempat kerja.

“Paling penting, saya dapat menjimatkan kos minyak kereta dan makan tengah hari,” jelas gadis yang masih belum berumah tangga itu.

Meskipun begitu, tugas sebagai RCA sangat mencabar kerana perlu mengambil pesanan pelanggan dengan tepat tanpa sebarang kesilapan.

Cerita Aimi Liyana, dia pernah melakukan kesilapan apabila tersalah mengambil pesanan pelanggan terutamanya berkaitan pemilihan stor Domino’s dan pilihan kerak piza.

“Pernah sekali, saya telah membuat pesanan ke stor Domino’s yang salah kerana terdapat tiga stor yang berhampiran di USJ, Subang Jaya, Selangor.

“Ia mengelirukan tetapi saya sepatutnya perlu bertanyakan dengan lebih lanjut kepada pelanggan supaya tiada kesilapan,” jelasnya.

Jumlah ejen

Sejak RCA diperkenalkan pada tahun lalu, seramai 100 orang telah dipilih menjadi ejen di seluruh negara.

Menariknya, ejen RCA terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti golongan muda, suri rumah, pesara, pelajar dan pekerja profesional.

Domino’s merupakan perintis kepada perkhidmatan RCA di negara ini dan memberi kebebasan kepada ejen sepenuhnya.

Berbeza pula kisahnya dengan warga emas, Purushothaman, 67, yang menganggap RCA sebagai tugasan yang membolehkannya menjalani kehidupan harian secara produktif selepas bersara.

Lelaki berasal dari Subang Jaya, Selangor itu memaklumkan, RCA dapat mengisi masa lapangnya di rumah sekali gus menjana pendapatan sampingan.

“Saya merupakan antara 10 orang terawal menyertai RCA. Ia satu program yang menarik kerana saya boleh bekerja mengikut masa sendiri.

“RCA juga membolehkan saya menyimpan bayaran pencen setiap bulan sebagai tabungan. Saya menggunakan gaji sebagai RCA sebanyak RM2,000 sebagai perbelanjaan harian,” ujarnya.

Ceritanya lagi, setiap hari dia bekerja antara lima hingga enam jam dengan purata panggilan sekitar 30 sejam bergantung kepada keadaan.

Dia juga memberitahu, berkhidmat sebagai RCA di rumah lebih mencabar berbanding di pejabat kerana faktor sekeliling yang tidak menentu.

Tambahnya, gangguan boleh berlaku apabila sambungan panggilan yang diperoleh tidak jelas sehingga mengganggu komunikasi.

“Kadang-kandang pelanggan membuat panggilan ketika saya sedang memandu, menonton televisyen, bateri telefon lemah atau ketika berada di tempat yang sibuk.

“Keadaan ini, sedikit sebanyak mengganggu apabila ingin mengambil pesanan atau berkomunikasi dengan para pelanggan sehingga berlakunya kesilapan,” jelasnya.

Kelayakan

Purushothaman berkata, dia akan terus berkhidmat sebagai RCA selagi program tersebut berjalan dan turut mengesyorkan kepada rakan-rakannya.

RCA terbuka kepada mereka berumur 18 tahun ke atas, mahir berbahasa Melayu dan Inggeris serta komputer.

Selain itu, mereka yang ingin bergelar RCA perlu memiliki komputer riba dengan RAM 4GB, mempunyai jalur lebar berkelajuan tinggi, telefon pintar serta fon kepala.

Sementara itu, Timbalan Presiden Operasi, Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree berkata, RCA merupakan salah satu usaha pihaknya dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

Jelasnya, RCA merupakan salah satu inovasi pihaknya bagi menyokong dan melengkapkan peranan yang dimainkan oleh pusat khidmat pelanggan Domino’s sedia ada di Shah Alam.

“Kami sentiasa menitikberatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan termasuklah dalam aspek khidmat pelanggan.

“Menerusi RCA, kami berharap ia dapat membantu melancarkan perkhidmatan pelanggan terutamanya ketika pengguna membuat pesanan piza secara panggilan.

“Pada masa tertentu, khidmat RCA sangat membantu terutamanya pada waktu puncak seperti cuti hujung minggu, musim cuti sekolah atau perayaan,” jelasnya sambil memaklumkan jumlah panggilan akan meningkat sekali ganda ketika cuti.

Sebagai sebuah jenama yang sudah lebih 20 tahun bertapak di negara ini, Domino’s berasa bertanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.

Amree memberitahu, RCA diharap dapat membantu mengurangkan beban hidup masyarakat seperti peningkatan kos sara hidup, pengangguran dan pendapatan statik.

Ujarnya, program tersebut juga diharap dapat membantu melahirkan lebih ramai individu produktif dan proaktif dalam masyarakat.

Inisiatif Domino’s Pizza mewujudkan program Ejen Panggilan Jarak Jauh membolehkan ejen memperoleh pendapatan sampingan dengan bekerja dari rumah.