Ketika itu, pasa usia 25 tahun, Khalid telah terpilih untuk menjalani sesi pemilihan (trial) bersama kelab gergasi Jerman, Eintrach Frankfurt.

Bagi Khalid, peluang tersebut dianggap sebagai satu detik keemasan yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja dan ia kini menjadi sejarah dan kekal terpahat dalam lembaran kariernya.

“Saya boleh katakan, sesi trial dengan Eintrach Frankfurt pada tahun 2002 sebagai kenangan terindah sepanjang karier saya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Ia satu peluang yang datang sekali dalam hidup saya. Mana mungkin saya boleh melupakan kenangan manis itu begitu sahaja,” kata Khalid kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Menyingkap kembali permulaan kariernya dalam kancah bola sepak negara, Khalid berkata, semuanya bermula ketika dia menuntut di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya masih ingat, saya mula aktif menyertai bola sepak ketika berumur 11 tahun. Bukan sahaja bola sepak tetapi pada masa itu, saya turut aktif dalam sukan hoki. Namun, bola sepak tetap menjadi pilihan utama.

“Bermula daripada situ, saya mendapat peluang mewakili pasukan di peringkat sekolah, daerah dan negeri,” jelasnya.

Khalid memberitahu, kariernya bermula apabila dia mendapat peluang membarisi Perak bagi menghadapi kempen Piala Malaysia 1995.

“Walaupun pada masa itu saya hanya diletakkan sebagai pemain simpanan tetapi saya tetapi berbangga kerana dapat bersama dalam satu pasukan dengan nama-nama hebat seperti Azhar Sharif, Amzaini Che Ani, Azman Razali serta beberapa pemain import,” jelasnya.

Khalid berkata, dia mendapat kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama buat kali pertama ketika Perak seri 1-1 dengan Sarawak pada aksi Liga Perdana Satu 1996 di Stadium Perak, Ipoh.

“Itu antara perlawanan yang tidak dapat saya lupakan kerana saya menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan pada minit-minit terakhir perlawanan,” ujarnya yang berumur 20 tahun pada waktu itu.

Impak bersama Perak ketika itu ternyata membuka peluang buat Khalid untuk menyarung jersi skuad kebangsaan pada Piala Dunia Remaja 1997 yang mana Malaysia menjadi tuan rumah.

Bagi menghadapi kejohanan tersebut, Khalid dan rakan-rakan sepasukannya ‘berguru’ di Marrakesh, Maghribi.

Bagaimanapun, Khalid berdepan situasi buruk di Marrakesh sehingga menyebabkan dia disisihkan daripada menyertai Piala Dunia Remaja 1997.

“Saya masih ingat sampai sekarang. Ketika berada di sana, saya mengalami kecederaan buku lali. Kecederaan itu menyebabkan saya terpaksa berehat selama enam minggu.

“Insiden malang itu membuatkan saya hampir berputus asa untuk bermain bola sepak. Mujur dengan semangat yang diberikan ahli keluarga serta rakan-rakan, saya kuatkan azam untuk kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan,” katanya yang kini mempunyai tiga orang cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Zarina Zakaria.

Bintang Khalid dilihat kembali menyinar pada tahun 1998 selepas dia menjadi antara tonggak skuad Olimpik 2000 yang dibentuk khas bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2000.

Namun, segala-galanya seperti tidak menjadi buat Khalid dan anggota skuad Olimpik 2000 apabila mereka gagal menyerlah pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2000.

Berbeza dengan perjalanan kariernya bersama skuad kebangsaan, sentuhan Khalid di peringkat domestik ternyata lebih menonjol, lebih-lebih lagi ketika dia menyarung jersi Perak.

Selepas skuad Olimpik 2000 dibubarkan, Khalid kembali menyertai Perak selama lima musim mulai tahun 1999 hingga 2004. Dia pantas mencipta impak bersama rakan segandingan, V. Saravanan.

Gandingan Khalid-Sara memberikan kejayaan besar kepada Perak pada era millenium. Tanpa kehadiran pemain import pada masa itu, Khalid menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya.

Buktinya, Khalid muncul pemenang Kasut Emas selaku penjaring terbanyak apabila membantu Perak muncul juara Liga Perdana Satu pada musim 2002 dengan merekodkan 17 gol Sebelum itu, Khalid membantu Perak muncul juara Piala Malaysia 2000.

Ditanya sama ada dia berminat jika mendapat tawaran dalam barisan kejurulatihan Perak selepas ini, Khalid mengakui bersedia berkhidmat berbekalkan pengalaman yang ada.

“Bohonglah kalau saya katakan tak mahu balik ke Perak. Sebagai salah seorang pemain yang pernah menyarung jersi Perak, bangga rasanya kalau dapat kembali menjadi antara sebahagian individu yang membantu melonjakkan lagi mutu bola sepak Perak,” ujarnya yang kini dalam proses mendapatkan Lesen Kejurulatihan A.