Semua proses bermula daripada pembersihan, penampalan, penyemburan cat sehingga ke pemeriksaan akhir kualiti dilakukan secara manual.

Bagaimanapun, aktiviti yang menjadi rutin harian pekerja Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd., (HA) itu tidak lagi dapat dilihat sejak Jun tahun lalu.

Ketua Divisyen Unit Pengecatan HA, Jeffri Ibrahim Kamal, 38, berkata, segala-galanya berubah selepas pusat pengecatan baharu berteknologi tinggi dibina di Taman Perindustrian Automatif Pekan, Pahang.

“Ketika saya menjejakkan kaki ke pusat pengecatan ini kira-kira dua tahun lalu, semua kerja terpaksa dilakukan secara manual.

“Terlalu banyak perkara yang perlu diberikan perhatian sepanjang proses pengecatan dilakukan.

“Selain terpaksa menggunakan tenaga kerja yang ramai, rangka kenderaan yang dicat juga tidak memberikan hasil yang 100 peratus baik.

“Banyak proses membaik pulih perlu dilakukan sebelum rangka kenderaan itu dihantar ke kilang pemasangan,” kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Jeffri Ibrahim memberitahu, proses pengecatan juga menjadi mudah dan lapisan cat pada kenderaan lebih sekata serta cantik berbanding ketika dilakukan secara manual dahulu.

Ini kerana pusat itu dilengkapi dengan sistem pengecatan robotik berteknologi tinggi dari Jerman bagi aplikasi salutan primer dan lapisan asas.

“Ketika ini, 40 hingga 50 peratus kenderaan yang dicat tidak perlu dibaik pulih dan sasaran kami untuk menjadikan ia sebanyak 97 peratus,” tambahnya.

HA diasaskan pada tahun 1983 dan ia merupakan anak syarikat DRB-Hicom Bhd., (DRB-Hicom).

Pusat berteknologi tinggi itu dibina di tapak seluas kira-kira 3.03 hektar yang membolehkan HA meningkatkan pengeluaran daripada 25,000 unit kenderaan kepada 50,000 unit setiap tahun.

Kebanggaan

Sebanyak RM231 juta telah dilaburkan untuk membina pusat pengecatan baharu berteknologi tinggi yang mula beroperasi sejak Jun tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif HA, Ismail Pandak berkata, pembinaan pusat pengecatan baharu itu merupakan satu kebanggaan bagi mereka.

“Sejak beberapa tahun lalu dan tahun-tahun yang akan datang, semua usaha serta kerja keras kami didorong oleh kepuasan pelanggan.

“Pembukaan pusat ini merupakan satu lagi bukti komitmen kami. Kami sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan bertaraf dunia dengan menjangkau keperluan pelanggan, memperbaharui proses perniagaan dan meningkatkan keupayaan serta keberkesanan manusia serta peralatan kami.

“Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan projek dan semua sokongan yang diberi untuk menjadikan impian ini satu realiti. Ini adalah satu lagi kisah kejayaan dan inilah masa depan kita,” katanya.

Ismail memberitahu, ketika ini pusat itu mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 14 unit setiap jam, 112 unit sehari dan 26,880 unit setahun.

Dua model kereta Mercedes-Benz iaitu C-Class dan E-Class dicat di pusat itu manakala Volkswagen model Vento dan Polo akan mula beroperasi pada Februari 2018.

“Pusat pengecatan baharu ini dilengkapi sistem pengecatan robotik bagi aplikasi salutan primer dan lapisan asas iaitu satu ciri yang membolehkan kami mengurangkan masa pengeluaran sebanyak 50 peratus berbanding dengan kaedah aplikasi manual.

“Pusat ini juga dilengkapi mesin berputar E-shuttle 360 darjah dalam Pretreatment Electro Dipping (PTED) yang pertama di Asia Tenggara.

“Teknologi ini dapat memberi jaminan antikarat yang jauh lebih baik kepada kenderaan yang dihasilkan selain dapat mengurangkan pembaziran cat dan bahan kimia serta mempercepatkan lagi pengeluaran.

“Sistem ini membolehkan rangka kenderaan (body-in-white) terendam sepenuhnya dalam salutan cat, sekali gus menjamin aplikasi yang lebih serata serta mengurangkan pembaziran cat yang lazimnya terjadi melalui proses pencelupan terdahulu.

Automatik

“Mesin itu digerakkan menerusi papan kawalan untuk membolehkan masa dan parameter proses pencelupan diprogramkan unik bagi setiap model. Sebagai tambahan, proses pencelupan itu boleh ditinggalkan kerana ia beroperasi secara automatik.

“Menerusi sensor menentu kedudukan, E-shuttle menyelaras semua pergerakan dalam sistem itu. Ini adalah ciri-ciri khas E-shuttle,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus HA, Abdul Mutalib Mahamed berkata, antara kelebihan E-shuttle ialah meningkatkan kecekapan pencelupan rangka kenderaan, meminimumkan pemindahan bahan kimia ke tangki yang lain dan mengurangkan pencemaran semasa proses pencelupan

Ia juga mampu mengekalkan komposisi kimia dan parameter setiap pencelupan, mengoptimumkan salutan cat dan meningkatkan salutan cat terakhir dengan keadaan permukaan lebih baik.

Rangka kenderaan pula bergerak secara automatik sepenuhnya dari satu stesen ke satu stesen berbanding penggunaan sistem troli semasa beroperasi di pusat pengecatan lama.

“Selain E-shuttle 360 darjah, pusat pengecatan baharu ini turut dilengkapi dengan lapan unit robot masing-masing dua bagi aplikasi salutan primer, empat untuk aplikasi salutan asas dan dua untuk aplikasi salutan kilat.

“Terdapat dua unit lagi robot yang dilengkapi dengan bulu burung emu (sejenis burung menyerupai burung unta) yang berfungsi untuk membersihkan habuk daripada permukaan rangka kenderaan,” katanya.

Pembukaan pusat pengecatan ini turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada warga Pekan, Kuantan serta di sekitar Pahang.

Malah, jurutera tempatan juga berpeluang mempelajari teknologi tinggi dalam bidang pengecatan kenderaan.

Selepas 30 tahun beroperasi, HA menghasilkan hampir 500,000 kenderaan penumpang daripada 20 jenama antarabangsa termasuk Mercedes-Benz, Suzuki, Volkswagen, Proton, TATA, Weststar, SsangYong dan kenderaan komersial, Mitsubishi Fuso.

Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd., dilengkapi dengan sistem pengecatan robotik bagi aplikasi salutan primer, lapisan asas dan lapisan kilat iaitu satu ciri yang boleh mengurangkan masa pengeluaran sebanyak 50 peratus berbanding dengan kaedah aplikasi manual.