Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, e-Dompet pada asasnya adalah versi digital dompet yang menyimpan maklumat pengguna. Antaranya termasuklah identiti pengguna, e-mel, alamat rumah, kad kredit, nombor akaun dan kad hadiah dalam persekitaran selamat.

Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil pelbagai langkah dalam meningkatkan platform e-Pembayaran, sekali gus menggerakkan negara ke arah masyarakat tanpa tunai.

Ia dapat dilihat pada tahun ini, berkuat kuasa 1 Julai 2018, bayaran Pemindahan Segera sebanyak 50 sen bakal dimansuhkan bagi pemindahan sehingga RM5,000 setiap transaksi oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pilihan

Antara perkhidmatan e-Dompet di Malaysia yang tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 ialah Alipay, Visa Checkout, Masterpass, CIMB Pay dan Samsung Pay.

Terbaharu, Ahad lalu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) muncul sebagai kampus tanpa tunai pertama di wilayah Pantai Timur menerusi pelancaran aplikasi dompet elektronik Boost sebagai kaedah pembayaran tunggal untuk semua pembelian di universiti itu.

Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, kewujudan aplikasi e-Dompet membeli lebih pilihan kepada pengguna dalam urusan jual beli.

Langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 63 peratus kebergantungan transaksi pembayaran tunai menjelang tahun 2020 dalam menyediakan akses, fleksibiliti dan pilihan kepada pengguna serta memberi pengalaman pembayaran mudah dan selamat.

Katanya, aktiviti jual beli secara online atau menggunakan kad debit atau kredit, sistem e-Dompet membolehkan pengguna membuat bayaran sesuatu barang atau perkhidmatan dalam jumlah yang secukupnya tanpa memerlukan pemulangan baki.

“Begitupun, dalam menggunakan e-Dompet, sebarang pertukaran wang perlu mengikut kepada hukum jual beli mata wang seperti yang digariskan Islam.

“Jika dilihat, aplikasi seperti Boost memerlukan pengguna membuat pemindahan atau penambahan wang melalui kad debit, kad kredit atau perbankan secara online. Pendek kata, ia masih menggunakan nilai mata wang sebenar bukan seperti bitcoin atau seumpamanya.

“Dalam hal ini, pengguna boleh membuat perancangan kewangan dengan membuat anggaran jumlah yang perlu dimasukkan ke dalam aplikasi tersebut secara bulanan atau mingguan mengikut keperluan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berpendapat, jika sesuatu institusi ingin melaksanakan sistem pembayaran tunggal seperti Unisza, mereka perlu menyediakan akses kemudahan itu meliputi semua aspek perkhidmatan supaya ia boleh diseragam dan diaplikasikan secara menyeluruh.

Justeru, aplikasi pembayaran mudah alih dapat membantu menjana pendapatan dan merancakkan segmen pembayaran tanpa tunai dalam negara.

Keselamatan

“Selain itu, dari aspek pengurusan perakaunan, urus niaga mudah alih akan menyebabkan sistem penyimpanan rekod dan urusan mengemas kini aliran wang tunai menjadi lebih sistematik,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain berkata, transaksi secara online menggunakan telefon pintar turut tidak terlepas daripada ancaman siber.

“Isu-isu seperti sekuriti pengekodan, sistem pembayaran dan risiko penggodaman menjadi antara elemen yang perlu diperhatikan dalam membangunkan aplikasi pembayaran mudah alih.

“Sama seperti penipuan perbankan dan kad kredit, penjenayah masih boleh mengeksploitasi sistem tersebut,” kata Ahli Panel Pembangunan Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara di bawah Cyber Security Malaysia itu.

Beliau menyarankan, antara langkah keselamatan yang boleh diambil pengguna ialah mengelak daripada menggunakan Wi-Fi awam ketika melakukan urus niaga melalui platform tersebut.

Penggunaan Wi-Fi terbuka membolehkan penggodam mencuri data peribadi dan menggunakannya untuk kepentingan mereka.