SEAWAL pukul 7.30 pagi, Mat Zin Nordin, 73, bersama dua anak lelakinya, Mohd. Zairi, 33, dan Mohd. Zulnaim, 27, sudah bergegas ke dusun durian miliknya yang terletak di Kampung Air Hitam, Batu Kurau, Perak.

Bentuk muka bumi dusun durian seluas dua hektar yang berbukit itu bagaimanapun bukan penghalang bagi kudrat senjanya untuk mengutip buah durian yang gugur ke bumi pada malam hari.

Saban hari, dianggarkan sebanyak 2,000 biji buah durian dibawa turun oleh tiga beranak itu dari kawasan berbukit itu untuk dijual kepada peraih.

Menurut Mat Zin, dia membawa sekurang-kurangnya 60 kilogram (kg) durian yang diletakkan di dalam dua buntil guni untuk sekali perjalanan bagi membawa turun buah ke pondok yang terletak di kawasan bawah dusun tersebut.

“Kebiasaannya, saya akan naik dan turun ke kawasan dusun untuk mengutip buah durian sekurang-kurang tujuh kali sehari.

“Alhamdulillah, musim durian pada kali ini banyak membuahkan hasil. Setiap hari banyak buah durian gugur dan jika dilihat di atas pokok, masih banyak buah yang sudah ranum cuma menunggu masa untuk gugur sahaja.” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mat Zin merupakan salah seorang daripada lima pemilik dusun durian Kampung Air Hitam sejak empat dekad lalu yang menjual durian kepada seorang peraih yang terkenal di kawasan tersebut iaitu Azizan Hamid, 60.

Menurut Mat Zin, dusunnya mempunyai kira-kira 80 batang pokok durian kampung dengan setiap pokok dianggarkan mampu menghasilkan sebanyak 200 biji buah pada satu-satu masa.

“Saya dan kebanyakan pemilik dusun di sini menjual durian kampung secara pukal kepada peraih pada harga RM3 sekilogram buah durian. Ramai yang beranggapan harga itu terlalu murah dan tidak berbaloi dengan usaha serta kudrat kami.

“Harga itu ia sudah cukup untuk kami peroleh keuntungan setiap kali tiba musim durian di Batu Kurau. Keuntungan itu juga berbaloi dengan usaha kami sepanjang musim durian,” ujarnya.

Batu Kurau merupakan salah sebuah lokasi tidak asing buat penggemar raja buah tidak kira dari Perak atau negeri lain di negara ini.

Kampung Air Hitam merupakan salah sebuah lokasi daripada 22 buah kampung seperti Kampung Perak, Kampung Anak Kurau, Kampung Batu Sempeneh, Kampung Melayu Batu 16 dan Kampung Jelai yang mempunyai banyak dusun durian yang dimiliki oleh penduduk setempat.

Tabur garam

Mat Zin turut berkongsi maklumat bahawa pokok buah tersebut di Batu Kurau mengeluarkan hasil yang banyak setiap kali musim ekoran faktor tanah dan geografi dusun di situ yang berbukit.

Menurut Mat Zin, kebanyakan pemilik kebun tidak menggunakan racun untuk menjaga pokok durian namun, hanya menabur garam sebagai baja bagi membunuh serangga perosak selain ia dapat mempercepatkan proses pokok mengeluarkan buah.

Sementara itu, seorang pelanggan dari Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang membeli durian daripada Azizan, Jamaludin Ismail, 67, berkata, dia berani mengklasifikasikan raja buah dari Batu Kurau merupakan durian kampung asli dan sanggup memandu sejauh 300 kilometer untuk membeli buah tersebut.

Bekas pegawai tentera itu memberitahu, kehadirannya ke Kampung Air Hitam baru-baru ini merupakan kunjungannya kali keempat hanya semata-mata membeli buah durian untuk dibawa pulang ke ibu kota.

Gred

“Anak saya berkahwin dengan orang kampung ini dan bapa mertuanya membantu saya urusan untuk membeli buah durian. Saya menggemari durian kampung kerana saya tahu durian hibrid seperti Musang King, IOI dan D24 yang dijual di Kuala Lumpur menggunakan racun untuk membantu tumbesarannya.

“Durian Batu Kurau sememangnya durian kampung asli malah rasanya setanding dengan durian hibrid yang dijual pada harga jauh lebih tinggi. Ia juga mempunyai pelbagai tekstur mengikut gred yang telah ditentukan. Jadi, kita dapat merasai pelbagai rasa buah durian yang tidak diperoleh daripada durian hibrid,” katanya.

Sebagai peraih dan peniaga durian di Kampung Air Hitam sejak dua dekad lalu, Azizan menerima kira-kira 20,000kg atau 20 tan durian sehari daripada lima pemilik dusun di sekitar kampung tersebut.

Durian yang dibelinya pada harga RM3 sekilogram itu diasingkan mengikut gred A dan B sebelum kedua-dua jenis buah itu dijual kepada pelanggan pada harga RM5 sekilogram.

Azizan memberitahu, kebiasaannya, sebiji durian gred A mempunyai berat melebihi satu kilogram dengan purata isi kira-kira 12 ulas yang berwarna kuning.

Ujarnya, gred B pula dikategorikan berdasarkan saiz yang kecil dengan berat kurang satu kilogram. Isinya berwarna putih selain teksturnya lebih nipis.

“Saya menjual durian di sini bermula dari pukul 9 pagi dan 20 tan buah habis dijual kira-kira pukul 1 petang. Ramai pelanggan datang dengan membawa kenderaan pacuan empat roda dan mereka membeli secara pukal namun, harga jualannya masih RM5 sekilogram.

“Pelanggan saya juga datang dari seluruh pelosok negara ini. Ada antara mereka terdiri daripada peniaga dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Selangor,” katanya.

Beliau tidak menyangka pokok durian di sekitar Batu Kurau pada musim kali ini menghasilkan buah yang banyak.

Musim durian di kawasan ini baru berlalu pada bulan Disember tahun lalu dan buah kembali menjadi selepas itu dengan banyak sebaik gugur pada awal bulan lalu.

“Dalam tempoh tiga minggu, saya sudah menjual kira-kira 600 tan buah durian. Saya menjangkakan jualan durian dapat mencecah 3,000 tan sehingga awal bulan Ogos depan yang berkemungkinan menjadi kemuncak musim durian kali ini.

“Berdasarkan kitaran tanaman durian sini, saya beranggapan durian akan kembali berbunga pada bulan Disember depan. Dengan keadaan itu, saya menjangkakan musim durian akan kembali di Batu Kurau pada bulan Jun tahun depan,” katanya.

Azizan turut menambah, durian di Batu Kurau memiliki rasa, tekstur dan luaran persis durian hibrid yang dijual pada harga yang mahal.

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan peniaga lain dari luar kawasan Batu Kurau mengambil keuntungan berganda dengan menipu gred buah kepada pelanggan.

Sementara itu, seorang lagi penggemar raja buah, Ruby Abdullah, 59, dari Meru, Klang, Selangor memberitahu, dia membeli durian daripada Azizan sebanyak 400kg untuk majlis kesyukuran dan jamuan kepada staf di pejabatnya.

Menurut pengurus di sebuah syarikat kontraktor itu, dia pertama kali datang ke Kampung Air Hitam bersama rakannya dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda semata-mata untuk membeli durian di situ.

“Sebelum ini saya pernah membeli durian di Melaka dan Negeri Sembilan namun, rakan saya telah mencadangkan agar membeli durian di sini.

“Berdasarkan buah mulut orang, kualiti durian dari sini terbaik. Saya telah melihat sendiri buah ini dan ternyata buahnya berbeza terutamanya dari segi rasa dan tekstur,” katanya.