Tidak terkecuali Stephen Abraham Loh, 44, atau lebih akrab disapa Steve yang gemar mengunjungi destinasi baharu jika tidak sibuk dengan rutin pekerjaannya sebagai pengurus pelaburan hartanah.

Beliau yang menggunakan satu daripada jenama peranti GPS popular pada masa tersebut tidak ketinggalan mengambil bahagian membantu mengemas kini laluan pemetaan seterusnya menyumbang input data koordinat yang tepat untuk kemudahan pengguna lain.

“Tetapi, saya dapati prosesnya amat perlahan. Pengguna yang ingin menyumbang perlu memuat turun peta secara online dan mengemas kini peranti mereka.

“Ia agak melecehkan dan ada versi peranti yang tidak boleh dikemas kini untuk pengguna melihat perubahan baharu tersebut,” ujarnya kepada K2 di pejabat Google Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai alternatif, anak kelahiran Ujong Pasir, Melaka itu beralih kepada navigasi Google Maps.

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana peta yang diuruskan Google sentiasa dikemas kini? Dalam hal ini, banyak tempat yang wujud di dalam paparan peta dimasukkan oleh komuniti Google Local Guides.

Komuniti tersebut akan membuat ulasan, berkongsi foto, menjawab soalan-soalan, memberi tip menandakan tempat baharu, menambah baik maklumat tempat yang sedia ada dan memeriksa fakta dalam Google Maps.

Steve merupakan seorang daripada 50 juta Google Local Guide di seluruh dunia yang mengemas kini platform Google Maps secara sukarela melibatkan lebih 1 bilion pengguna.

Tahap tertinggi

Bermula daripada satu tindakan kecil, dia kini berada pada tahap tertinggi termasuk menjadi seorang daripada 14 moderator global Local Guides Connect untuk seluruh dunia.

“Kira-kira tiga tahun lalu, saya ingin membeli kipas siling dan telah menelefon beberapa kali sebuah kedai elektrik namun tiada jawapan.

“Saya kemudian memandu ke kedai yang terletak di Bandar Sunway, namun mendapati barang yang dicari tiada.

“Layanan kedai tersebut agak bagus dan saya bersetuju untuk datang semula setelah barang yang dipesan tiba.

“Saya dapati nombor telefon yang tertera di Google Maps sudah tidak digunakan lagi lalu mengemas kini nombor baharu. Bermula detik itu, saya terfikir cara-cara yang boleh membantu perusahaan kecil dan ramai orang.

“Biasanya, saya menulis ulasan lokasi baharu sekali sehari atau dua kali sehari. Pernah gambar yang saya kongsi dilihat lebih daripada 180 juta kali,” tuturnya.

Antara momen manisnya ialah apabila beliau diundang sebanyak dua kali pada tahun 2017 dan 2018 untuk menghadiri acara dikenali sebagai Local Guidess Connect Live di kampus Google Mountain View, California, Amerika Syarikat.

Jemputan itu diterima berdasarkan sumbangannya yang berkualiti tinggi dan konsisten di samping memainkan peranan produktif dalam komuniti tersebut.

“Saya bersama 150 peserta lain dari seluruh dunia berpeluang belajar mengenai ciri-ciri baharu Google Maps dan bertukar-tukar pandangan termasuk memperbaiki peta.

Ulasan berkualiti

Ketua Komuniti Local Guides Malaysia itu menyarankan, dalam memberi ulasan berkualiti, ahli sewajarnya memberi maklumat lengkap seperti tarikan di sesuatu tempat, kelebihan, contoh barangan atau makanan yang boleh dibeli selain sekadar memberi rating dan mengatakan ia bagus.

Kritikan membina juga boleh diberi untuk menambah baik sesuatu perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

Tahun lalu, Steve menyertai pertemuan komuniti Google Local Guides di Kerala, India Selatan selama 12 hari.

Setiap hari kumpulannya menjelajah ke bandar-bandar kecil misalnya Kottayam, Mulanthuruthy, Kayamkulam dan Thrissur dengan menaiki pengangkutan awam seperti bas dan kereta api untuk berjumpa dengan Local Guides setempat.

“Ada antara kami telah mengembara lebih dari 700 kilometer untuk bertemu dan meraikan penyumbang tempatan yang sentiasa mengemas kini paparan peta di kawasan mereka.

“Saya melihat komuniti di sana begitu aktif kerana ia dapat membantu membawa masuk pelancong ke tempat mereka menerusi ulasan dan maklumat yang disumbangkan,” jelasnya.

Bagi seorang Google Local Guide tempatan, Husniah Buang, 60, setelah mengenali Steve dan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan, beliau kini memahami teknologi berkenaan setelah bertanya kepada ahli yang lebih arif mengenainya.

Anak kelahiran Miri, Sarawak tetapi menetap di Ampang, Kuala Lumpur itu kerap menggunakan Google Maps kerana sering bergerak ke sana ke mari melakukan kerja-kerja sukarelawan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam hal ini, beliau bekerjasama dengan beberapa pertubuhan amal dengan mengajar menjahit dan membuat kraf tangan kepada ibu tunggal, suri rumah dan melihat sumbangannya dalam Google Maps sebagai imbalan kepada perkhidmatan percuma tersebut.

Tugasan

Beliau turut teruja apabila mengetahui komuniti terlibat turut berpeluang menyertai program anjuran Google di luar negara berdasarkan kriteria pemilihan tertentu.

“Saya pernah menerima e-mel daripada Google menyatakan saya boleh memohon menyertai Connect Live 2019 di San Jose, California tetapi perlu melakukan beberapa tugasan sebelum layak terpilih untuk menyertainya.

“Saya sedar ia bukanlah sesuatu yang mudah namun insya-Allah ia tidak mustahil untuk dicapai suatu hari nanti,” ujar ibu kepada empat cahaya mata dan tiga cucu itu.

Baginya, teknologi tersebut merupakan sesuatu yang menarik untuk diterokai kerana sifatnya yang sentiasa berubah-ubah dan memberinya peluang membina pengetahuan baharu meskipun berada pada usia persaraan.

“Saya pernah berada dalam bidang korporat ketika berkhidmat dalam industri minyak dan gas selama lebih 30 tahun dan telah terbiasa menggunakan pelbagai sistem dan teknologi. Lagipun, saya tidak gemar membuang masa,” katanya.

Ketua Komunikasi dan Hubungan Awam di Google Malaysia, Zeffri Yusof berharap, lebih ramai masyarakat di negara ini bersifat altruisme iaitu individu yang mengutama­kan kebajikan dan kemudahan orang lain dengan menjadi penyumbang kepada program tersebut.

“Kami dapati lebih 80 peratus daripada sumber awam terlibat bertanggungjawab dalam memberi maklumat yang benar dan cuba membantu menerusi platform tersebut.

“Misi kami menyusun data dan maklumat yang diterima menjadikannya mudah diakses. Ini kerana maklumat tersebut turut boleh dicapai melalui enjin carian selain keluar di Google Maps.

“Jika lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian, maklumat yang keluar akan bertambah baik sementelah ia merentasi lokasi bisnes, santai atau tempat percutian, bangunan awam dan komersial,” katanya.

Aktif menyumbang ulasan berkualiti sebagai Google Local Guide, Stephen Abraham Loh yang berasal dari Melaka merupakan seorang daripada 14 moderator sukarelawan pada peringkat global bagi program tersebut.