Ada yang berjaya mencapai impian tersebut, namun ada juga yang kecundang di pertengahan jalan sehingga akhirnya kembali bergelar janda buat kali kedua.

Menyingkap cerita silam hidupnya, Liza (bukan nama sebenar), 30, telah berkahwin dengan suami pertamanya, Sham (nama samaran) ketika umurnya mencecah 20 tahun atas dasar cinta.

“Sepanjang dua tahun bercinta, saya tidak pernah mengetahui dia merupakan seorang penagih dadah. Sham seorang yang romantik dan sering mengambil berat mengenai saya sepanjang kami bercinta.

“Segalanya hanya terbongkar selepas setahun kami berkahwin apabila Sham gemar berkurung di dalam bilik air. Rupanya dia melepaskan gian pada dadah jahanam di dalam bilik air,” katanya.

Selain menagih dadah, sikap Sham juga berubah sepenuhnya apabila menjadi seorang yang panas baran.

Jatuh cinta

Tubuh Liza kerap menjadi sasaran sepak terajang suaminya apabila ada perkara yang tidak disenanginya.

“Oleh kerana tidak tahan dengan sikapnya itu, saya telah memohon cerai di pejabat agama dan akhirnya kami bercerai ketika usia perkahwinan memasuki empat tahun,” kata Liza.

Tambahnya, hasil perkongsian hidup dengan Sham, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.

“Sepanjang bergelar ibu tunggal dengan dua anak, saya cukup bahagia dan tidak terdesak mencari pengganti kerana anak-anak masih kecil selain takut pisang berbuah dua kali,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Liza, ketentuan Allah tiada siapa boleh menduga apabila dia sekali lagi jatuh cinta pada duda anak dua selepas 10 tahun bergelar ibu tunggal.

“Setiap kali waktu rehat, Rizal (bukan nama sebenar), 35, akan makan tengah hari di restoran tempat saya bekerja.

“Dia sering menegur dan bertanya khabar setiap kali kami bertentang mata. Saya pada mulanya bersikap acuh tak acuk dengan tegurannya dan menganggap dia hanyalah sebagai salah seorang pelanggan,” katanya.

Bagaimanapun jelas Liza, lama-kelamaan dia mula tertarik dengan Rizal lebih-lebih lagi lelaki itu boleh dikatakan mempunyai wajah yang kacak.

Cerita Liza, dia kemudian mula memberi layanan yang lebih mesra kepada Rizal sebelum mereka akhirnya bersetuju untuk berjanji temu.

“Selepas beberapa kali berjanji temu, Rizal akhirnya meluahkan hasratnya untuk memperisterikan saya.

“Rizal juga berkata, dua anaknya memerlukan kasih sayang seorang ibu dan berpendapat saya adalah calon terbaik menjadi ibu untuk anak-anaknya,” kata Liza.

Tidak mahu mengulangi kesilapan sama bersuamikan penagih, Liza memberikan syarat agar Rizal menjalani ujian urin bagi memastikan dia bebas daripada gejala dadah.

“Selepas pasti dia tidak menghisap dadah selain mahu anak-anak saya membesar di samping seorang bapa, saya akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan Rizal pada awal tahun ini,” katanya.

Cerita Liza, pada awalnya perkahwinan mereka bahagia apabila segala keperluannya dan anak-anak dipenuhi dengan baik oleh Rizal, malah lelaki itu juga memintanya berhenti bekerja untuk memberikan sepenuh perhatian menjaga anak-anak.

“Namun, selepas beberapa bulan berkahwin, Rizal sering pulang lewat ke rumah dan adakalanya langsung tidak pulang.

“Dia sering memberi alasan banyak kerja di pejabat dan perlu membuat kerja lebih masa,” katanya.

Curang

Liza bagaimanapun mula berasa syak dengan gerak-geri Rizal apabila lelaki itu semakin kerap pulang lewat ke rumah.

“Pada satu hari, saya menunggu di luar pejabatnya untuk mengintip gerak-gerinya bagi memastikan apa sebenarnya yang dilakukan Rizal.

“Saya terkejut apabila melihat Rizal memandu keretanya keluar dari pejabat dengan seorang wanita yang duduk di sebelahnya sebaik sahaja tamat waktu kerja.

“Mereka kemudian makan bersama di sebuah restoran sebelum kedua-duanya memasuki sebuah rumah, Rizal pula hanya pulang ke rumah keesokan harinya,” kata Liza.

Menyedari Rizal berlaku curang di belakangnya, dia terus bertanya mengenai perempuan itu sebaik Rizal pulang ke rumah.

“Rizal memberitahu perempuan itu rakan sekerja dan mereka telah berkasih sebelum saya berkahwin dengannya lagi.

“Dia juga mengaku telah terlanjur dengan perempuan itu sebelum kami berkahwin, namun tetap memilih saya untuk dijadikan isteri kerana kekasihnya itu tidak mahu menjadi ibu ‘segera’,” katanya.

Berasa tertipu, Liza meminta Rizal menceraikannya kerana dia tidak lagi dapat mempercayai lelaki itu.

“Walaupun keberatan, Rizal akhirnya bersetuju untuk menceraikan saya walaupun kami baru kahwin kira-kira tujuh bulan,” katanya.

Ketika mengakhiri perbualan, Liza mengakui, dia kini serik dan tidak mahu lagi memikirkan soal jodoh dan berkahwin lain.

Impian Liza mempunyai rumah tangga bahagia tidak kesampaian apabila suami pertamanya seorang penagih dadah, manakala suami keduanya pula seorang kaki perempuan.