Sesekali, enjin kenderaan sedannya berderu sambil tayar belakangnya berpusing sekali gus menghasilkan asap putih.

Kepada wanita Arab Saudi, adrenalin kelajuan merupakan kegilaan terbaharu di negara itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada Jun lalu, kerajaan Arab Saudi yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed Salman telah membatalkan larangan wanita memandu di negara itu.

Al Maimoni yang merupakan peminat lumba kereta berkata, ia bergantung kepada selera seseorang, wanita tidak semestinya memandu kereta mewah berwarna terang sahaja.

“Saya sukakan kelajuan. Kereta impian saya melebih 500 kuasa kuda,” ujar wanita berusia 30 tahun itu sebelum memecut laju kereta Kia Stingernya.

“Ia satu mitos. Wanita di Arab Saudi tidak hanya memandu kereta berwarna merah jambu dan comel,” katanya.

Al Maimoni memaklumkan, dia masih menunggu keputusan kerajaan untuk membenarkan wanita mendapatkan lesen lumba sekali gus membolehkannya memasuki pertandingan.

Pengarang buku Joyriding in Riyadh, Pascal Menoret menggambarkan, obsesi terhadap sukan drift adalah simbol kepada pemberontakan dalam kalangan orang muda.

Kini, golongan wanita pula menceburi bidang berkenaan yang sebelum ini dimonopoli oleh lelaki.

“Kebanyakan pertanyaan kami (wanita) berkaitan drift. Cara drift, kereta terbaik untuk drift dan masa berlatih,” ujar pelatih drift, Falah al-Jarba sambil melihat Al Maimoni melibas kereta.

Berdikari

Banyak bilik pameran kenderaan berusaha menarik minat pelanggan wanita termasuk mengetengahkan deretan Mini Coopers.

Bagaimanapun, rata-rata jurujual memaklumkan, wanita lebih berminat dengan Camaro atau Mustang yang diubah suai.

Ramai pemandu baharu mendapat inspirasi daripada Aseel al-Hamad yang menjadi wanita pertama dalam Persatuan Motor Kebangsaan.

Memakai seluar jean ketat dan kemeja Davidson, sekumpulan wanita berlatih menunggang motosikal di sekolah memandu Riyads. Pemandangan tersebut cukup asing di negara konservatif itu.

Pihak berkuasa pengangkutan turut memperkenalkan simulator bagi membantu pemandu wanita yang pertama kali memandu. Ia bagi meningkatkan kecekapan mereka di atas jalan raya.

“Saya tidak rasa seperti berada di Arab Saudi lagi. Saya rasa tidak lama lagi, ramai wanita di sini pandai memotong dan memandu laju,” ujar Nagwa Mousa, seorang profesor di universiti berusia 57 tahun.

Langkah membenarkan wanita memandu dapat mengurangkan pergantungan golongan berkenaan terhadap pemandu peribadi atau saudara-mara lelaki.

“Tahniah saya ucapkan. Akhirnya saya dapat melihat pemandu wanita berasal dari Bahrin di atas jalan raya Arab Saudi,” ujar pelawak Yaser Bakr dalam Twitter.

Buat masa ini, kebanyakan pemandu wanita yang memandu terdiri daripada mereka yang menukar lesen asing kepada lesen tempatan selepas menjalani ujian praktikal.

Hal ini kerana ramai mengadu bahawa kursus memandu untuk wanita lebih tinggi berbanding lelaki akibat kurangnya tenaga pengajar wanita.

Gangguan seksual

Selain itu, ramai wanita mengambil sikap lebih berhati-hati terhadap pemandu lelaki bagi mengelakkan gangguan seksual meskipun telah ditegaskan oleh pihak berkuasa.

Tindakan tersebut juga sebahagian daripada respons kerajaan terhadap aktivis wanita tempatan yang berjuang menentang larangan memandu dan sistem penjaga lelaki.

“Kerajaan memperluaskan pilihan hiburan kepada wanita, namun menghapuskan ruang ekspresi politik,” ujar Kristin Diwan dari Institut Negara Teluk di Washington, Amerika Syarikat.

“Pemandu drift wanita dapat menikmati kelajuan tetapi tidak bebas berucap,” tambahnya.

Menurut Amnesty International, sekurang-kurangnya sedozen aktivis hak asasi manusia termasuk lapan aktivis wanita telah ditahan sejak Mei lalu.

Tindakan keras itu telah mencetuskan pergaduhan diplomatik dengan Kanada selepas Ottawa menuntut pembebasan segera mereka yang ditahan.

“Ia adalah satu kemajuan yang meragukan bagi wanita. Mereka ditangkap kerana memperjuangkan hak asasi seperti lelaki,” ujar Diwan. – AFP