Anak kedua daripada empat adik-beradik itu sangat teruja apabila melihat ayahnya merawat pelbagai jenis haiwan peliharaan, haiwan ternakan dan haiwan liar.

Walaupun sekadar memerhati, ia sudah cukup untuk memberikan kepuasan kepadanya.

Kegembiraan itu memuncak apabila haiwan tersebut pulih seperti sediakala beberapa hari kemudian.

Ibarat bapa borek anak rintik, minat Ahmad Razeen, 34, terhadap bidang veterinar mula berputik dan beliau memasang impian untuk mengikut jejak langkah ayahnya suatu hari nanti.

Berbekalkan semangat kental dan usaha gigih, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kini, Ahmad Razeen bertugas sebagai doktor veterinar di sebuah klinik swasta di Gombak, Kuala Lumpur.

Klinik itu ditubuhkan oleh ayahnya sendiri iaitu Dr. Zulkifli Abd. Ghani kira-kira enam tahun lalu setelah melihat kejayaan luar biasa di cawangan pertama klinik berkenaan di Nilai, Negeri Sembilan.

Sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang veterinar, Ahmad Razeen mengakui cabaran utama yang dihadapinya adalah terpaksa bergelut dengan emosi apabila haiwan yang dirawat itu mati.

“Rasa kecewa, terkilan dan sedih itu lumrah apabila haiwan umpama ‘pesakit’ yang kami rawat dari awal dan sepenuh hati gagal diselamatkan.

“Ia seolah-olah kami gagal menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Namun, kami perlu menghadapi risiko itu dengan penuh rasa sabar,” katanya yang ditemui Kosmo! di Klinik Muezza, Jalan Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ahmad Razeen bercerita, seorang pelanggan membawa kucingnya yang mengalami luka pada tubuh badan akibat bergaduh baru-baru ini.

Bagaimanapun, setelah diberikan rawatan, kucing itu mati pada keesokan harinya dan pemeriksaan mendapati jantung haiwan tersebut gagal berfungsi.

Beliau berkata, kes seperti itu sering menjadi perdebatan dalam kalangan pelanggan kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar mereka.

 

Kawal kesedihan

Bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, sebagai doktor beliau perlu mengawal kesedihan kerana perkara yang lebih utama adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku kepada pemilik haiwan tersebut.

Ini kerana tidak semua pemilik haiwan boleh menerima kenyataan bahawa haiwan kesayangan mereka mati walaupun telah mendapatkan rawatan.

“Cabaran besar adalah memastikan pelanggan mendapat penjelasan tentang masalah yang berlaku. Saya akan cuba terangkan dengan mengemukakan laporan yang lengkap bagi mengelakkan berlakunya salah faham.

“Mungkin pada awalnya mereka akan marah tetapi setelah kami memberikan penerangan secara terperinci, maka emosi yang sedikit tegang akan kembali reda,” katanya yang mengendalikan kira-kira 80 pelanggan sehari bersama enam doktor lain.

Klinik yang dikendalikan Ahmad Razeen beroperasi setiap hari kecuali Jumaat menyediakan perkhidmatan seperti rawatan pesakit luar, pembedahan, pemvaksinan, diagnostik makmal, perapian dan penginapan.

Kos rawatan juga berbeza-beza bergantung kepada keseriusan kes bermula pada harga RM30 hingga boleh mencecah RM900.

 

Kasih sayang

Sementara itu, bagi haiwan yang ditahan di wad kosnya bermula pada harga RM200 hingga RM1,500 dan pemilik boleh melawat dari pukul 4 petang sehingga 6.30 petang setiap hari.

Ahmad Razeen memberitahu, kebanyakan haiwan yang mati adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya penyakit, waktu haiwan dibawa mendapatkan rawatan dan kes-kes kecemasan.

Namun, mereka cuba sedaya upaya untuk meminimumkan kecuaian dengan berbincang bersama pasukannya setiap kali menerima kes kritikal.

“Saya sebagai doktor perunding akan berbincang dengan doktor yang bertugas di wad untuk melihat perkembangan haiwan itu dari pagi hingga petang.

“Kami akan mengemukakan beberapa pelan untuk memastikan haiwan yang dirawat itu pulih. Itu adalah sebahagian daripada cara untuk meminimumkan kecuaian,” katanya yang berhasrat untuk menjadikan klinik itu berstatus hospital dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, seorang lagi doktor veterinar, Datuk Dr. P. Loganathan, 65, berkata, kes-kes haiwan yang mati semasa dirawat adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu ditangani dan memberi kesan mendalam terhadap dirinya.

“Doktor veterinar mempunyai sifat kasih sayang dan empati yang tinggi terhadap haiwan. Kami boleh memahami pelbagai bahasa tubuh haiwan.

“Kami bukan sahaja ingat nama haiwan yang dirawat tetapi kenal setiap perangainya sama ada suka air atau tidak, jinak atau garang, suka dibelai atau bersendirian dan sebagainya,” katanya yang ditemui Kosmo! di Shah Alam, Selangor.

Justeru, anak jati Kuala Lipis, Pahang itu memberitahu, tidak hairanlah seseorang doktor veterinar juga berasa sedih, kecewa dan tertekan apabila haiwan yang mereka rawat mati.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menambah, sebagai doktor veterinar beliau tidak boleh hanyut dengan emosi kerana mempunyai cabaran lain iaitu untuk memberi penjelasan kepada pelanggan.

“Kehilangan adalah perkara yang paling pahit untuk diterima terutamanya pelanggan yang sudah menjadikan haiwan itu sebahagian daripada hidup mereka.

 

Kucing tanpa tuan

“Mereka akan marah dan kadangkala menghamburkan kata-kata kesat kerana tidak dapat mengawal emosi. Kami tidak boleh menyalahkan mereka tetapi perlu menanganinya dengan tenang,” katanya.

Loganathan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Doktor Veterinar, Universiti Glasgow, Britain sebelum itu berkhidmat selama 32 tahun di beberapa Jabatan Perkhidmatan Veterinar termasuk, Ipoh, Perak, Petaling Jaya, Selangor, Damansara, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Di pihaknya, Loganathan akan membentangkan hasil dokumentasi rawatan yang menyebabkan kematian haiwan dan melakukan bedah siasat untuk menilai semula kekurangan yang wujud.

Beliau memberitahu, kebanyakan pelanggan boleh menerima kenyataan tetapi mengambil masa untuk bertenang.

Bagi mengelak para pelanggan hanyut dalam kesedihan, beliau mengambil langkah menawarkan kucing-kucing yang tidak bertuan di kliniknya sebagai ganti.

“Di sini ada beberapa ekor kucing yang dibuang dan kami rawat dengan sebaik mungkin. Kami akan tawarkan kepada pelanggan itu untuk membuat pilihan sekiranya mereka mahu.

“Mungkin pemberian itu akan mengurangkan kesedihan yang ditanggung. Setelah itu, kami berikan nasihat mengenai penjagaan haiwan dan pencegahan penyakit bagi mengelakkan tragedi sama berulang,” katanya.