Gadis itu tinggi lampai, setinggi 1.78 meter namun ketinggiannya tak terlihat dek sentiasa duduk di kerusi roda. Cuma yang pasti, pemudi lumpuh itu telah ‘melompat’ lebih tinggi daripada kebanyakan kita yang berdiri sempurna di atas dua kaki.

Umur Haziqah Nurul Huda Harun baru 22 tahun namun sudah memiliki kilang sendiri sehingga membuka peluang perniagaan kepada komuniti setempat. Ironinya, kuih tradisi Cina buatan gadis Melayu dari Kemaman, Terengganu ini telah sampai ke banyak negara termasuk negara asal kuih itu, China.

Tahun lalu, selain China, kuih-kuihnya turut merentasi benua apabila dihantar ke Rusia, Britain, Australia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), India, Korea Selatan, Singapura dan Brunei.

Mengusahakan kuih bakul atau nian gao, gadis kelainan upaya (OKU) yang mesra dipanggil Yaya itu mungkin antara kaum Melayu yang paling sibuk menjelang Tahun Baru Cina ini.

Di atas kerusi roda yang menyusuri kilang membuat kuih Cina halal di Bukit Kuang, Kemaman itu, penulis melihat seorang usahawan muslimah berkarisma. Bicaranya yang tegas melambangkan komitednya terhadap perniagaan itu.

“Kilang ini sudah jadi rumah pertama saya, selepas dua minggu di sini semalam baru pulang ke rumah, itupun untuk ambil tudung ini. Menjelang Tahun Baru Cina kami tidak menang tangan kerana permintaan meningkat lima kali ganda.

“Kalau kebiasaannya tempahan 20,000 hingga 30,000 unit kuih bakul seminggu, menjelang perayaan ini dianggarkan menerima tempahan 100,000 unit. Kalau orang lain berniaga takut produk tak terjual, saya pula takut tidak dapat memenuhi permintaan yang terlampau banyak,” ujar Yaya yang berhijab biru dalam pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini.

Gadis yang dianugerahkan Ikon Belia Terengganu 2017 itu berkata, pada tahun ini, dia lebih menumpukan kepada permintaan dalam negara dan hanya mengeksport kuih bakul ke Abu Dhabi, UAE untuk Tahun Baru Cina.

“Tahun lalu kita terlalu menumpukan kepada permintaan luar negara sehingga permintaan dalam negara tergendala. Tahun ini ada juga eksport sedikit ke China tetapi selepas Tahun Baru Cina. Mereka tidak kisah, kata mereka, beli untuk makan, bukan untuk raya!” seloroh Yaya yang mempunyai dua orang stokis di China.

Yaya mengusahakan kuih bakul dan kuih bulan sejak tiga tahun lalu. Sebelum ini dia mengusahakannya di rumah yang terletak di kampung sama dan hanya memiliki kilang berkeluasan 130 meter persegi itu sejak Oktober tahun lalu.

Tiada pengawet

Anak kepada pasangan Harun Che Muda, 63 dan Rohana Latif, 54, ini menjelaskan, kuih bakul juadah pada Tahun Baru Cina manakala kuih bulan sajian pada pesta kuih bulan sekitar September.

Menurutnya, kuih bakul dinamakan sedemikian kerana masyarakat Cina dulu menyediakannya dengan bakul anyaman mengkuang.

Yaya menjelaskan, kebanyakan pelanggannya ialah masyarakat Cina vegetarian dan orang Melayu yang mahu merasai juadah Cina itu.

“Saya harap apa yang saya lakukan memberi peluang kepada orang Melayu atau Islam untuk menikmatinya memandangkan apa yang ada di pasaran mungkin mendatangkan keraguan untuk dimakan.

“Pelanggan di China pula menggemarinya kerana mereka berpendapat kuih buatan saya istimewa kerana tiada bahan pengawet dan lebih lembap berbanding yang dijual di pasar-pasar raya. Saya juga mempunyai pelanggan dalam kalangan masyarakat Cina setempat. Boleh dikatakan setiap hari akan ada seorang pelanggan Cina ke kilang ini yang juga kedai,” katanya.

Ramuan

Membuat kuih bakul atau dodol Cina yang ramuan utamanya tepung beras pulut melibatkan proses yang panjang. Sebagaimana masyarakat Cina yang terkenal dengan amalan pantang larangnya, begitu juga dalam pembuatan kuih bakul.

“Kalau dodol Melayu perlu dikacau selama lapan jam, membuat kuih bakul atau dodol Cina ini melibatkan proses penyediaan sehingga 20 jam. Untuk kukusnya sahaja sudah mengambil masa sehingga 13 jam.

“Kuih ini sangat banyak pantang larangnya. Antaranya, semasa membuatnya tidak boleh banyak bercakap atau bising-bising, emosi perlu dijaga dan tidak boleh memaklumkan orang bila hendak membuatnya.

“Bukanlah taksub, tetapi itu yang saya dimaklumkan apabila mempelajari membuat kuih ini daripada seorang kenalan Cina dari Beijing dan orang-orang Cina yang saya jumpa. Jika tidak menjadi, kuih ini akan berupa agar-agar telur,” katanya.

Benarlah setiap yang terjadi ada hikmahnya. Gemilang pelangi hidup Yaya hari ini sebenarnya menjelma setelah dilanda hujan kesedihan. Gadis yang dulunya aktif bermain bola jaring ini lumpuh enam tahun lalu kerana demam panas.

“Pada waktu itu saya baru lepas Penilaian Menengah Rendah (PMR). Akibat demam panas itu, daripada berat badan 70 kilogram (kg) susut sehingga 23kg. Kurus sangat, nak makan pun tidak boleh kerana ulser dalam perut.

“Saya dikatakan sudah nyawa-nyawa ikan. Saya menangis apabila melihat adik-beradik yang lain boleh berjalan ke sana sini. Masa itu saya hanya boleh menggerakkan kepala. Syukur saya mempunyai ibu bapa yang sangat memberikan sokongan.

“Kerana lumpuh dan hanya duduk di kerusi roda, saya banyak meneroka media sosial dan permainan secara online sehigga saya berkenalan dengan seorang cef lelaki dari Beijing yang mencadangkan saya membuat kuih bulan diikuti kuih bakul. Dia mengajar saya resipi asas melalui e-mel dan WhatsApp lalu saya mengolahkannya mengikut kesesuaian umat Islam.

“Siapa sangka, orang seperti saya yang dulunya hanya masak telur dan jika memasak sama ada tawar atau hangit menjadi seperti ini? Jika tidak lumpuh, saya tidak tahu yang saya mempunyai kemahiran sebegini,” katanya.

Yaya berkata, pada awalnya dia tidak berhasrat menjual kuih-kuih Cina yang dihasilkannya sebaliknya hanya berkongsi di laman sosial. Segalanya bermula kerana seorang wanita mengandung.

“Wanita hamil itu terlalu mengidamkan kuih bulan. Dia merayu kepada saya untuk membelinya. Saya akhirnya membuatkan kuih itu untuknya dan apabila diketahui pengguna-pengguna media sosial yang lain, mereka juga mahukannya. Saya tidak sangka, perkongsian saya itu telah membuat ramai yang naik gila,” ujarnya.

Lebih membanggakan, atas kesedaran untuk membantu komuniti setempat Yaya kini berupaya menggaji 10 orang pekerja dalam kalangan penduduk Kemaman.

Penduduk Kemaman, Aishah Mohd., 39, kini gembira kerana dapat bekerja sambil menjaga ibu di kampung halaman.

“Sebelum ini saya bekerja di kedai alat tulis di Johor tetapi pulang kerana mahu menjaga ibu yang sudah tua di kampung. Syukur dapat bekerja dengan Yaya, maklumlah peluang pekerjaan tidak banyak di sini.

“Memang banyak tempahan yang perlu dipenuhi tetapi seronok dapat bekerja sambil menjaga ibu. Saya hanya tinggal bersama ibu di kampung,” katanya.

Bekas pelajar sebuah institut kemahiran, Nornadiah Shafikah Omar, 21, berkata, dia sudah puas mencari pekerjaan dan enam bulan menganggur, namun kilang Yaya telah memberi sinar harapan kepadanya.

“Saya mempunyai kemahiran dalam bidang pastri. Bertuah kerana dapat bekerja di kampung halaman sendiri tanpa perlu berhijrah.

“Saya gembira kerana berpeluang mempelajari membuat kuih tradisional Cina. Memang mencabar, lebih-lebih lagi untuk menjaga pantang larang membuat kuih bakul,” ujarnya.