Sabah hari media cetak dan elektronik melaporkan kejadian samun serta rompakan yang terjadi di tempat awam.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seorang wanita berusia 37 yang sedang mencuci pakaian seorang diri pada pukul 7 pagi telah disamun oleh dua orang lelaki bersenjatakan parang di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah.

Menurut Pakar Kriminologi, Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, kes rompak dan samun merupakan antara jenayah yang ditakuti kerana mangsa bukan sahaja boleh kehilangan barangan berharga termasuklah dicederakan atau mengundang maut.

“Secara amnya, jenayah rompak atau samun boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang terancang dan bukan terancang.

“Bukan terancang selalunya dilakukan oleh penagih dadah atau individu yang terdesak untuk mendapatkan wang dan kebiasaannya melibatkan dua orang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sasaran

Tambahnya, rompakan atau samun terancang pula, selalunya dilakukan oleh sindiket dan mereka membuat perancangan yang teliti sekurang-kurangnya seminggu atau tiga hari sebelum kejadian bergantung kepada target serta tempat sasaran.

Terang Mohammad Rahim, terdapat banyak faktor yang akan diambil kira apabila membuat perancangan seperti sasaran (mangsa), tempat, hasil samun dan risiko.

Mereka juga akan mengambil kira faktor orang lalu-lalang dan pengawasan seperti kebarangkalian pihak berkuasa untuk meronda tempat tersebut.

Di samping itu, dalam konteks samun, jenis sasaran yang diambil dikira termasuklah fizikal badan mangsa dan bilangan orang.

Sekiranya mangsa hanya seorang diri apatah lagi kurang kekuatan fizikal berbanding pelaku, maka ia mudah dijadikan sasaran.

Mengulas mengenai kejadian samun di kedai dobi layan diri, Mohammad Rahim, berkata, hasil kajian kriminologinya mendapati kedai dobi layan diri menjadi kawasan panas penyamun kerana kebanyakan pengguna pergi pada waktu malam atau awal pagi.

“Waktu itu sangat disukai oleh penyamun kerana kedai-kedai masih banyak tutup dan tidak ramai orang di sekitar kawasan tersebut.

“Kes samun kedai dobi layan diri selalunya melibatkan dua orang iaitu seorang mensasarkan mangsa dan seorang lagi berjaga di dalam kereta,” jelasnya yang juga merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perompak atau penyamun selalunya akan mengambil bahan terlarang seperti dadah sebelum melakukan kegiatan jenayah itu bagi mendapatkan keberanian.

Oleh itu, mereka boleh bertindak melampaui batas kerana hilangnya rasa simpati sehingga mampu membunuh atau merogol sekiranya mendapati hasil yang diperoleh tidak setimpal dengan risiko yang bakal dihadapi.

Butang panik

Justeru, Mohammad Rahim menasihat orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dan mengelak pergi kedai dobi layan diri pada waktu lewat malam atau awal pagi serta jangan sesekali mendedahkan barangan berharga yang menarik perhatian penyamun.

Beliau juga menyarankan agar pihak berkuasa menggandakan rondaan di kawasan panas itu seperti di kedai dobi layan diri bagi mencegah kejadian serupa berulang di tempat-tempat lain.

“Saya juga ingin mencadangkan kepada pengusaha-pengusaha kedai dobi layan diri agar memasang sistem penggera.

“Perompak atau penyamun tidak takut dengan kamera litar tertutup kerana mereka boleh melindungi muka dengan memakai topi tetapi jika ada sistem penggera ini penjenayah akan panik,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pengusaha dobi layan diri, Zulkarnain Baharin, 33, turut memberi cadangan serupa agar setiap kedai memasang butang panik bagi memudahkan pengguna mendapatkan bantuan.

“Memandangkan kedai dobi layan diri kini menjadi sasaran penyamun maka, sistem keselamatan perlu diperketatkan.

“Para pemilik kedai dobi layan diri perlu memikirkan pelbagai inisiatif demi keselamatan pelanggan,” katanya yang mengusahakan kedai dobi layan diri sejak dua tahun lalu di Bagan Serai, Perak.