Cadangan mereka itu tercetus gara-gara prestasi merudum yang ditampilkan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa sehingga menyaksikan mereka kini menghuni tangga ke-175 dunia.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya memberi ‘lampu hijau’ kepada pemain berdarah kacukan dan bukannya pemain naturalisasi untuk mewakili Harimau Malaya.

Ketika ini, terdapat 14 pemain kelahiran luar negara yang mempunyai susur galur keluarga di negara ini layak dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Antaranya ialah dua tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan La-Vere Corbin-Ong selain Matthew Davies (Pahang), Brendan Gan (Perak), Kiko Insa (Bali United FC), Khair Jones (Melaka United) dan Darren Lok (JDTII) yang menjadi kelompok perintis pemain berdarah kacukan mewakili Harimau Malaya.

Pengulas sukan tempatan, Muhammad Rizal Hashim berkata, beliau menyambut baik cadangan itu sekiranya kehadiran pemain berdarah kacukan mampu memberi nilai tambah kepada skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, situasi itu juga secara tidak langsung mampu menambahkan lagi kerancakan Liga Malaysia (Liga M) kerana terdapat pemain berdarah kacukan diakui kehebatan mereka setaraf pemain import.

“Secara peribadi saya melihat ia bukan menjadi satu masalah dan isu besar. Hal ini kerana pemain-pemain berdarah kacukan itu juga merupakan sebahagian daripada rakyat asal Malaysia.

“Jika pemain berdarah kacukan itu mampu memberi sumbangan kepada Malaysia, tidak salah kiranya jurulatih Tan Cheng Hoe memanggil mereka untuk memperkuat pasukan kebangsaan.

“Pada masa sama, kehadiran pemain-pemain terbabit dalam saingan liga tempatan bukan sahaja akan merancakkan lagi perlawanan, malah memberi kelebihan kepada pasukan yang diwakili mereka,” katanya kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Begitupun, Rizal berkata, Cheng Hoe mempunyai kuasa dan hak mutlak sama ada mahu menyenarai atau mengetepikan pemain berdarah kacukan daripada mewakili Harimau Malaya.

“Daripada senarai pemain berdarah kacukan yang ada sekarang, mungkin tidak semua akan dipanggil Cheng Hoe kerana beliau sendiri sudah pasti mahu menyenaraikan pemain tempatan sedia ada.

“Tidak ada gunanya jika beliau menyenaraikan pemain berdarah kacukan ini tetapi impak yang diberikan tidak seperti yang diharapkan. Jadi lebih baik beliau mengambil pemain tempatan khususnya pemain-pemain muda,” katanya.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail pula berkata, kehadiran pemain berdarah kacukan dalam skuad kebangsaan seharusnya dilihat dari sudut positif.

“Jika mereka dipilih dan layak untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan, apa salahnya peluang tersebut diberikan. Seharusnya pemain tempatan lebih profesional dan tidak timbul sebarang isu tentang ketidakpuasan hati jika pemain kacukan itu terpilih.

“Ketika ini, kepentingan pasukan kebangsaan harus menjadi keutamaan dan bukannya individu perseorangan,” ujarnya yang percaya beberapa pemain berdarah kacukan mampu memberi dimensi baharu kepada Harimau Malaya.

Jamal Nasir turut memberitahu, kehadiran pemain-pemain berdarah kacukan dalam Liga M mampu menjelmakan corak permainan yang lebih kompetitif dan menarik.

“Saiz fizikal pemain berdarah kacukan yang rata-ratanya lebih besar berbanding pemain tempatan mampu memberi kelebihan kepada pasukan yang disertai mereka.

“Saya percaya setiap jurulatih dalam liga tempatan sudah mengenal pasti pemain kacukan yang benar-benar berkualiti sebelum khidmat mereka diambil,” katanya.

Bekas jurulatih skuad Sarawak, Abdul Jalil Rambli berkata, penglibatan pemain berdarah kacukan dalam arena bola sepak tempatan merupakan satu senario yang positif demi masa depan Harimau Malaya.

“Pada saya ia merupakan satu pendekatan yang bagus. Penyertaan pemain berdarah kacukan dalam sesebuah pasukan kebangsaan itu bukan perkara aneh dan baharu kerana ia telah dipraktikkan oleh banyak negara-negara luar.

“Kalau anda bagus, anda layak dipilih walau siapa pun anda. Proses itu sangat mudah kerana kejayaan sesebuah pasukan itu bukan ditentukan oleh DNA seseorang pemain tetapi melalui kemampuan mereka beraksi di tengah padang.

“Namun, status sebagai pemain kacukan bukan tiket automatik untuk dipilih menyarung jersi pasukan kebangsaan, sebaliknya setiap pemain perlu diberi peluang yang sama rata,” jelasnya.

Harimau Malaya kini memiliki lebih banyak pilihan khidmat pemain berdarah
 campuran

KUANTAN , 9 SEPTEMBER 2017, Kapten pasukan Pahang, Matthew Davies (kiri) kemas mengawal bola ketika dihalang pemain T-Team FC, Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada Pertandingan TM Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur disini hari ini.Gambar:MAHATHIR ALI

Pemberita : Zamzurina Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 JANUARI 2018 - Aksi pemain Perak, Brendan Gan Seng Lin Gan (kiri) pada perlawaanan pra musim Liga perdana 2018 antara Felcra FC dan Perak di Universiti Malaya di sini hari ini. GAMBAR/ SURIYA BONMA WARTAWAN / ARDIE

CHANGSHU, 11 DISEMBER 2018 - Pemain Pertahanan Kebangsaan B23, Matthew Davies sewaktu Sesi latihan Pasukan Kebangsaan AFC B23 di Padang di sini, hari ini.
Gambar : Aizzul A.Majid / Pem : Iaeml (SUKAN) / Fadzli (SUKAN KOSMO!)




DAVIES berharap rakan-rakan sepasukan dapat
mengelak daripada melakukan kesilapan kerana
ia boleh mengundang padah kepada pasukan.



NOTA
TERBITAN
KOSMO
12 JANUARI 2018
JUMAAT
MUKA 63

Archived By RM