Kebanyakan penduduknya beragama Islam.

Selain kurang kemudahan awam, kawasan-kawasan ini turut ketinggalan dalam petunjuk sosial seperti jangka hayat dan kematian terutamanya bayi.

Arun Kumar mengetuai badan amal Mumbai yang melaksanakan misi kemanusiaan di kawasan-kawasan paling miskin termasuk membantu dari segi kemudahan air, tandas dan pusat kesihatan.

Diskriminasi

Menurut Arun, bandar-bandar berkenaan mendapat peruntukan yang sama seperti bandar lain namun hanya sedikit yang diperuntukkan untuk pembangunan.

“Timbul persoalan sama ada kekurangan tersebut adalah disebabkan diskriminasi atau faktor-faktor lain.

“Bandar-bandar ini mendapat peruntukan yang sama seperti bandar-bandar lain namun terlalu sedikit wang dibelanjakan untuk pembangunan,” katanya lagi.

Arun berkata, keadaan demikian berlaku kerana kurangnya sikap peduli dan keinginan ahli politik untuk bertindak.

Seorang penganalisis berkata, M-East Ward merupakan bandar yang begitu pesat dengan pembangunan namun terlalu ramai umat Islam, pendatang dan mereka yang berkasta rendah hidup dalam kemiskinan hanya kerana agama.

Sementara itu, seorang penyelidik Universiti Delhi, Anasua Chatterjee berkata, berlakunya ketidakseimbangan di bandar M-East Ward selain berlakunya perpecahan di antara kasta dan etnik yang berlainan.

Seorang Penolong Pesuruhjaya Bandar raya Mumbai, Shrinivas Kilje berkata, dia menafikan terdapat pengasingan atau diskriminasi kemudahan yang disengajakan di M-East Ward.

“Kami telah menyalurkan air, saliran dan lain-lain kemudahan mengikut perancangan pembangunan bandar sedia ada.

“Ia agak keterlaluan untuk mengatakan tidak ada kemudahan di kawasan berkenaan atau diabaikan disebabkan faktor tertentu,” katanya.

Penolong Profesor, Universiti Jawaharlal Nehru, New Delhi, Ghazala Jamil berkata, bandar-bandar berkenaan merupakan hab pengumpulan keuntungan sehingga menyebabkan orang miskin didiskriminasi.

“Tidak ada campur tangan kerajaan untuk mengakhiri diskriminasi yang berlaku kerana ia berkait rapat dengan urus tadbir,” katanya.

Anasua berkata, diskriminasi telah memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan permohonan pinjaman bank oleh penduduk sering ditolak hanya kerana kawasan tempat tinggal mereka.

“Diskriminasi yang dikenakan secara langsung dan tidak langsung telah menyebabkan perpecahan yang lebih buruk di antara penganut agama Islam dan Hindu,” ujarnya.

Ghazala berkata, rancangan bandar pintar yang dilaksanakan bertujuan untuk menaik taraf bandar raya telah meminggirkan golongan miskin memandangkan ketidakupayaan mereka untuk memiliki rumah.

“Kawasan M-East Ward adalah manifestasi terhadap pasaran buruh dan ekonominya sering kali dieksploitasi.

“Peluang pekerjaan di kawasan berkenaan begitu terhad dengan gaji yang rendah serta tidak mempunyai kuasa 
tawar-menawar,” katanya.

Keadaan tersebut ternyata berlaku di Mumbai sehingga menjadi kebimbangan pelbagai pihak. Perpecahan mula tercetus setelah berlakunya rusuhan berdarah melibatkan penganut agama hindu dan Islam pada tahun 1992 hingga 1993.

Lebih parah, perpecahan kini mula menghantui bandar-bandar kecil seperti Meerut apabila baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan penduduk beragama hindu memaksa sebuah keluarga Islam menyerahkan rumah yang dibelinya di kawasan perumahan hindu.

Tarikan pelancong

Anasua berkata, perancangan bandar secara sistematik merupakan satu cara untuk mengurangkan perpecahan yang berlaku.

Bagaimanapun, menurut Anasua, pemaju hartanah yang kuat melobi untuk mengintegrasikan kawasan perumahan penganut agama Hindu menyebabkan langkah tersebut gagal.

Menurut Ghazala, masyarakat India mula stereotaip dan telah mengubah kebudayaan masyarakat minoriti menjadi komoditi untuk mereka.

“Kawasan-kawasan M-East Ward dipasarkan sebagai tarikan pelancong sekali gus telah mengubah kebudayaan masyarakat minoriti.

“Selagi bandar-bandar ini terus menjadi hab pengumpulan keuntungan, kita akan melihat berlakunya diskriminasi terhadap golongan miskin yang tidak berdaya,” ujarnya. – AFP