Bagaimanapun kegembiraan itu tidak bertahan lama sebaik sahaja dia mengajukan pertanyaan kepada emaknya mengenai majlis tersebut.

“Saya bertanya kepada emak bahawa siapa yang akan berkahwin, dia menjawab bahawa saya adalah orangnya,” ujarnya sambil meminta agar nama penuhnya dirahsiakan.

Zee diberitahu bahawa dia akan berkahwin dengan sepupunya yang tidak pernah ditemui dan menetap di tanah kelahiran kedua-dua orang tuanya iaitu di Afghanistan.

“Sebelum ini saya tidak dibenarkan bercakap dengan budak lelaki tetapi kini diberitahu bahawa akan berkahwin, semua orang kelihatan gembira tetapi tidak bagi saya,” katanya dengan wajah yang sugul.

Menurut Zee, dia kemudiannya berjaya melarikan diri dari rumah demi mengelakkan perkahwinan itu tetapi percaya bahawa masih ramai lagi kanak-kanak perempuan di kampungnya dipaksa berkahwin.

Perkahwinan kanak-kanak atau dengan kata lain perkahwinan di bawah umur 18 tahun adalah kekal dibenarkan di Britain, manakala di Wales, England dan Ireland pula, remaja di bawah umur 16 tahun dibenarkan berkahwin dengan persetujuan daripada ibu bapa.

Lain pula kisahnya di Scotland di mana mereka langsung tidak memerlukan sebarang persetujuan daripada sesiapa untuk berkahwin sebelum umur 16 tahun.

Sekumpulan aktivis berkata sudah tiba masa untuk Britain bersuara dalam menghentikan perkahwinan kanak-kanak terutamanya di negara-negara membangun melalui penetapan undang-undang baharu.

Kumpulan itu turut meluahkan kekecewaan selepas Bangladesh sebelum ini mengumumkan bahawa perkahwinan di bawah umur 16 tahun adalah dibenarkan sambil menjadikan Britain sebagai alasan untuk melaksanakan peraturan itu.

“Kelewatan Britain dalam memperbaharui undang-undang perkahwinan itu juga jelas menunjukkan bahawa negara itu semakin tidak produktif,” kata ketua aktivis Girls Not Bride, Mabel Van Oranje.

Kenyataan aktivis itu kemudiannya telah dipersetujui oleh Ahli Parlimen Britain, Pauline Latham.

Menurut Latham, dia telah memperkenalkan rang undang-undang untuk menaikkan tahap umur perkahwinan kepada 18 tahun.

“Jika mendapat sokongan, saya akan mendesak menteri supaya meminda undang-undang itu atau mencadangkan agar dimasukkan ke bawah Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga.

“Tindakan Britain membenarkan perkahwinan kanak-kanak adalah tidak berpatutan sedangkan negara itu membelanjakan kira-kira £39 juta (RM209 juta) dalam tempoh lima tahun sebagai menyokong usaha untuk menamatkan amalan itu di negara-negara membangun,” ujarnya.

Berdasarkan data rasmi, terdapat kira-kira 2,000 orang muda di Britain dan sebahagian besar daripadanya merupakan kanak-kanak perempuan yang berkahwin sebelum umur 18 tahun dalam tempoh 2010 hingga 2015.

Walaupun angkanya boleh dikatakan rendah, ramai yang mempercayai bahawa kebanyakan perkahwinan pada usia muda disebabkan tekanan oleh keluarga.

Hal ini bermakna, jika had umur itu dinaikkan, kanak-kanak perempuan tersebut mempunyai sebab kukuh untuk mengatakan tidak kepada perkahwinan tersebut.

Tambah beliau, amalan berkahwin muda akan memberikan kesan yang sama walau di mana sahaja kanak-kanak perempuan itu berada.

“Mereka mungkin akan lebih cenderung untuk berhenti sekolah atau terdedah kepada risiko penderaan emosi dan seksual serta masalah kesihatan akibat hamil pada usia muda,” ujarnya.

Pengorbanan hidup

Gadis-gadis Britain yang mempunyai latar belakang Asia Selatan dan Asia Barat dilihat paling berisiko untuk berkahwin awal kerana amalan hubungan tanpa berkahwin dianggap memalukan.

Ibu kepada empat orang anak yang hanya dikenali sebagai Amina berkata, dia tidak pernah bercakap dengan suaminya sebelum perkahwinannya yang berlangsung pada majlis hari jadinya yang ke-17.

Perkahwinan yang berlangsung demi menggembirakan ibu bapanya itu telah menyebabkannya mengalami kemurungan selepas terpaksa berdepan dengan sikap panas baran suami dan ibu mertuanya.

“Perkahwinan ini adalah sesuatu yang menakutkan, saya ibarat orang asing di rumah sendiri.

“Tindakan ini adalah pengorbanan paling besar dalam kehidupan saya sehinggakan langsung tidak mempunyai peluang untuk meneroka perkara-perkara lain,” katanya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Unit Perundangan Kerajaan Britain pada tahun lalu, pihaknya melaporkan telah menerima kira-kira 1,200 laporan melibatkan kanak-kanak perempuan dan wanita yang dipaksa berkahwin.

Hampir 30 peratus daripada kes itu melibatkan kanak-kanak di bawah umur dan lebih separuh daripadanya merupakan mereka yang berusia di bawah 16 tahun.

Pada 2014, Britain telah mewujudkan larangan terhadap perkahwinan paksa dengan mengambil tindakan menyelamatkan gadis-gadis yang dibawa ke luar negara, mendakwa ibu bapa yang memaksa dan memberikan perlindungan kepada mangsa.

Bagaimanapun kebanyakan aktivis berkata bahawa adalah tidak masuk akal jika kerajaan melaburkan banyak wang dalam menangani perkahwinan paksa sedangkan undang-undang yang ada memudahkan perkara itu berlaku. – Reuters