Sebelum kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, TNI berjuang bersama rakyat untuk menentang pencerobohan tentera kolonial Belanda yang mengancam kemerdekaan Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) ketika itu.

Pada era Orde Lama iaitu semasa pemerintahan Presiden Indonesia, Soekarno dari tahun 1945 sehingga 1967, khidmat TNI mula dikembangkan dengan menggunakan dwifungsi Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) iaitu sebagai aset pertahanan negara dan sosiopolitik.

TNI juga bergabung dengan Polis Negara Republik Indonesia (Polri).

Ketika Orde Baharu juga, TNI mendominasi pemerintahan Soeharto dengan menjadi kumpulan yang turut terlibat dalam dunia politik di negara tersebut.

Sebilangan besar pegawai tentera ditempatkan di pelbagai syarikat dan agensi pekerjaan sementara. Pada badan perundangan pula, ABRI mempunyai pecahan sama ada di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Permusyawaratan Rakyat iaitu anggotanya dipilih melalui proses pemilihan Fraksi ABRI.

Penglibatan tentera dalam politik Indonesia adalah sebahagian daripada penerapan konsep dwifungsi ABRI yang akhirnya menyimpang daripada konsep awal penubuhan mereka.

Sembilan bulan sebelum berakhirnya rejim Orde Baharu, pegawai tertinggi TNI telah beberapa kali merumuskan paradigma baharu TNI yang merangkumi peranan sosiopolitik yang dikeluarkan oleh Markas Besar TNI pada 5 Oktober 1999 dan ditandatangani oleh Panglima TNI, Jeneral Wiranto.

Bagaimanapun, paradigma itu berakhir pada 20 April 2000 serta Panglima TNI selepas itu, Laksamana Widodo AS menyatakan, fokus utama TNI adalah dari segi pertahanan dan bukannya sosiopolitik.

Reformasi

Selepas kejatuhan Soeharto pada tahun 1998, gerakan demokrasi dan orang awam telah menggantikan peranan anggota tentera dalam penglibatan politik di Indonesia.

Keadaan itu menyebabkan TNI mengalami reformasi tertentu seperti penghapusan dwifungsi ABRI.

Reformasi itu juga melibatkan penguatkuasaan undang-undang dalam masyarakat awam yang mempersoalkan kedudukan Polri di bawah payung ABRI, sekali gus mengakibatkan khidmatnya terpisah daripada ketenteraan.

Pada tahun 2000, Polri secara rasminya kembali menjadi satu entiti yang bergerak sendiri, malah ABRI juga berubah kepada TNI.

Perubahan TNI itu diputuskan dalam Ketetapan Majlis Permusyawaratan Rakyat Nombor VI dan VII Tahun 2000 mengenai Paradigma Baharu TNI.

Ketetapan berkaitan TNI itu diperkuatkan dengan Undang-Undang (UU) Nombor 2 Tahun 2002 mengenai Pertahanan Negara dan UU Nombor 34 Tahun 2004.

Akta tersebut telah menyebabkan anggota tentera meninggalkan peranan politik serta sosial secara berperingkat-peringkat dan memberi fokus kepada tugas utamanya dalam bidang pertahanan negara.

Perubahan TNI itu memberi fokus kepada operasi ketenteraan dan perang berdasarkan keputusan politik sesuai dengan Perlembagaan serta dilaksanakan secara telus.

Walaupun pada awalnya fungsi baharu tersebut tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada TNI, apabila memasuki era pemerintahan demokrasi, kuasa politik untuk menentukan dasar negara adalah terletak di tangan elit politik dan pegawai kerajaan yang dipilih rakyat.

Ia termasuklah menyediakan infrastruktur untuk memastikan TNI dapat beroperasi secara optimum.

Reformasi TNI itu mengalami beberapa kemajuan dengan kewujudan Kementerian Pertahanan (Kemhan) sebagai pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk mengawal dan memantau TNI.

Kemhan bertanggungjawab membuat dasar seperti pertahanan negara, penggunaan TNI dan aset-aset pertahanan termasuk rekrut anggota tentera.

Pengerusi Lembaga Pengelolaan Institut Setara, Hendardi berpendapat, reformasi selama 20 tahun dalam TNI telah membawa perubahan besar dalam pasukan tersebut.

“Penghapusan dwifungsi telah dilaksanakan dengan baik dan setidak-tidaknya menjadi satu perkara penting,” katanya.

Perubahan tersebut dilakukan demi memastikan tentera Indonesia lebih profesional dan cekap dalam melaksanakan hal-hal berkaitan ketenteraan.

Selain itu, jumlah anggota tentera dalam jabatan kerajaan turut dikurangkan apabila Presiden Indonesia pada tahun 1999 hingga 2001 iaitu Abdurrahman Wahid membuat beberapa dasar berkaitan pengurangan kakitangan jabatan awam dalam kalangan tentera.

Hukuman

Menurut Hendardi, tentera tidak lagi menjadi pendukung rejim sebaliknya sebagai aset yang bergerak sesuai dengan keputusan politik negara.

Selain itu, dominasi Angkatan Darat dalam jawatan Panglima TNI juga telah berubah selepas pembaharuan dilakukan.

Bagaimanapun, TNI masih mempunyai isu hukuman yang melibatkan anggota tentera.

“Kes-kes melibatkan TNI sering mendapat perhatian kerana hukuman terhadap anggota tentera dilaksanakan di ruang tertutup daripada orang awam. Dalam konteks persamaan dari segi undang-undang, perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Pengarah Lembaga Pemantau Hak Asasi Manusia Indonesia, Al Araf memberitahu, selama ini anggota tentera yang melakukan kesalahan jenayah umum masih diadili di mahkamah tentera.

“Secara praktiknya, hukuman ke atas tentera jarang dikenakan ke atas anggota yang melakukan jenayah,” dakwanya.

Beliau turut mengakui, ketika ini TNI sudah mengalami perubahan ke arah kemajuan, namun masih ada perkara yang perlu diperbaiki antaranya asas undang-undang untuk operasi tentera selain perang.

Menurut Al Araf, anggota dan pegawai TNI turut diminta untuk mengekalkan profesionalisme dalam tempoh dua tahun ini.

“Jangan tergoda dengan politik walaupun terdapat calon yang mempunyai latar belakang ketenteraan dalam perjuangan politik mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Panglima TNI, Marsekal Hadi Tjahjanto ketika ini menegaskan, penyertaan beberapa pegawai TNI bersara dalam Pilihan Raya 2019 tidak akan menjejaskan dasar berkecuali tentera.

“Tugas TNI adalah untuk menjaga keamanan dan memastikan kejayaan parti demokrasi tidak boleh dilemahkan dengan sikap tidak neutral.

“Saya minta kepada semua anggota dan pegawai TNI untuk terus fokus kepada tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita,” ujarnya.