Menerusi pendedahan dalam muat naik Instagramnya, Jalil, 61, meluahkan kekesalan apabila ditawarkan harga yang tidak munasabah untuk peranan utama dalam sebuah drama berepisod.

Tawaran tersebut sama sekali disifatkan tidak setimpal dengan segala pengalaman dan bakat beliau selama lebih 40 tahun berada dalam industri.

Itu belum ditambah dengan banyak pencapaian diraih pelakon filem Bisik Pada Langit itu menerusi beberapa anugerah besar antaranya kategori Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 1995 dan Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular 1992.

Ironi, kejadian sebegitu bukan kali pertama berlaku dan sudah ramai artis lama yang pernah melalui nasib serupa. Namun, sehingga kini ‘penyakit’ tersebut tidak menemukan jalan penyembuhan.

Situasi yang dialami pelakon lama di negara ini jauh berbeza dengan apa yang ditekankan oleh penggiat industri Hollywood. Semakin tua, semakin mereka dihargai dengan bayaran yang tidak pernah menyusut.

Berbeza dengan industri di Malaysia, semakin tua seseorang artis, semakin khidmat mereka akan dilupakan. Jika ada tawaran diberi, wajah mereka sekadar menjadi tempelan dan muncul dalam beberapa babak.

Nasib menyedihkan itu dipersetujui pelakon yang juga Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia, Kismah Johar. Beliau turut kecewa dengan layanan tidak sepatutnya daripada orang industri sendiri terhadap golongan emas seperti mereka.

Kismah yakin, masih ramai rakan seperjuangannya yang tetap bersemangat untuk berkarya meskipun usia semakin lanjut.

“Sungguh saya berasa sangat terkilan apabila mendapat tahu ada rakan-rakan dilayan sebegitu rupa hanya kerana mereka ini sudah lanjut usia. Jadi, produksi memberi harga yang sangat tidak masuk akal.

“Sedangkan mereka ini artis lama dan ada nilai dari segi pengalaman berpuluh tahun dalam industri. Kalau sentuh soal bakat, ia tidak boleh dipertikaikan lagi. Jadi mengapa perlu mereka dilayan sebegini rupa sedangkan kami juga pelakon,” luahnya kesal.

Kismah turut menyeru pihak berkaitan seperti stesen televisyen agar memainkan peranan dalam meletakkan garis panduan atau sebut harga tertentu kepada golongan artis veteran.

Menurut Kismah, jika stesen televisyen menjalankan tanggungjawab tersebut, nasib kelompok pelakon lama akan terbela.

“Saya yakin kalau stesen televisyen letakkan kesamarataan terhadap semua pelakon, tidak kira baharu atau lama dan memberi kuota tertentu kepada artis veteran, perkara sebegini dapat dielakkan sebab penerbit tidak boleh menolak atau memilih bulu,” katanya.

Prinsip

Sementara itu, pelakon Roslan Salleh juga mengakui pernah beberapa kali berdepan pengalaman ditawarkan bayaran murah oleh pihak produksi.

Meskipun senada dengan rakan-rakan seperjuangan lain yang mahukan sikap berat sebelah orang industri terhadap artis veteran segera diubah, Roslan tetap mempunyai prinsip tersendiri dalam menangani isu berhubung tinggi rendah bayaran lakonan.

Pegangannya mudah iaitu rezeki adalah ketentuan Tuhan. Sedikit atau banyak, ia tetap rezeki yang tidak boleh ditolak begitu sahaja.

“Bukan tidak pernah ditawarkan murah tetapi saya tetap ambil juga sebab rezeki tidak boleh ditolak. Bagi saya, bakat yang ada pada diri adalah anugerah daripada Tuhan. Jika saya tolak tawaran yang datang, maknanya saya tidak menghargai bakat yang Allah bagi.

“Cuma saya juga mengharapkan orang industri buka mata dan janganlah merendahkan martabat orang lama seperti kami. Sebab jangka masa kami di dunia ini pun tidak lama, jadi ambillah ruang ini untuk menghargai nilai seni kami selagi masih berkesempatan,” ujarnya.

Masih menerima tawaran berlakon sehingga ke hari ini, Roslan pada masa sama giat menjalankan perniagaan daging dendeng dan sambal ikan bilis yang diusahakan bersama isteri.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya masih ada pendapatan tetap. Kalau kerja berlakon yang tidak berat, saya akan ambil. Tambahan, sekarang agak sukar untuk lasak kerana lutut bermasalah,” katanya.

Sementara itu, pengarah yang juga aktor handalan Datuk Rahim Razali pula menjelaskan, soal bayaran rendah tidak seharusnya berlaku kepada pelakon lama. Beliau bagaimanapun tidak dapat menyangkal aturan realiti yang perlu ditelan ketika ini.

Biarpun ada antara rakan seperjuangan yang melalui nasib tidak baik, namun Rahim bersyukur kerana sehingga kini masih menerima tawaran berlakon meskipun tidak sekerap dahulu.

“Usia dan pergerakan yang terbatas sedikit sebanyak menjadi faktor, tetapi saya bersyukur sebab survival dalam industri masih berjalan seperti biasa.

“Cuma pesan saya kepada rakan-rakan lain, teruskanlah minat dalam bidang ini tetapi bersuaralah andainya hak anda diperkotak-katikkan pihak tertentu. Jangan terima kalau rasa tidak adil,” tegas aktor filem Abang yang dalam perancangan mahu menerbitkan sebuah karya layar perak pada tahun depan.

Akta khusus

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi pula menyifatkan industri seni tanah air semakin parah kerana tidak wujudnya akta khusus dalam membela nasib anak seni sejak dahulu.

Memenuhi tanggungjawab persatuan, Seniman pernah mengusulkan kepada kementerian agar mewujudkan kuota watak sebanyak 30 peratus dalam mana-mana naskhah terutamanya terbitan stesen televisyen kerajaan untuk para pelakon veteran.

“Namun, sehingga kini perkara tersebut masih menemui jalan buntu sebab bermacam-macam faktor, antaranya pertukaran menteri dan kini, peralihan pemerintahan. Jadi, berapa lama lagi isu ini akan menemui jalan penyelesaian?

“Rasanya, tidak mustahil lebih ramai pelakon lama yang bersara awal kerana mereka kecewa. Isu sebegini sudah berlarutan sejak zaman P. Ramlee lagi.

“Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya mampu menjadi pendesak kepada pihak berwajib untuk ambil tindakan, cuma usaha mewujudkan akta khas untuk anak seni masih dipandang ringan oleh sesetengah pihak,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ketika industri meriah hiburan dibanjiri ramai bakat baharu tidak kira dalam lapangan nyanyian atau lakonan, ironi situasi sebegitu meninggalkan segumpal resah ke dada hidup artis veteran. Gemerlap bintang mereka memudar, pada masa sama harus bergelut dengan layanan dan bayaran tidak setimpal atas bakat serta pengalaman bernilai dek faktor usia yang sudah lanjut.