Menurut Jerry, dia tidak menyalahkan rakannya itu kerana mengajaknya bekerja sebagai seorang tukang urut kerana pusat kesihatan tempat dia bekerja itu dibuka dengan lesen yang sah mengikut undang-undang.

Namun, gara-gara ingin meraih pendapatan lumayan dan hidup senang, Jerry dalam diam turut menawarkan perkhidmatan ‘ekstra’ kepada pelanggan yang ingin melampiaskan nafsu mereka.

“Kadangkala pelanggan sendiri yang meminta saya untuk melayan kehendak mereka dan sanggup memberi upah dengan bayaran lumayan,” tutur pemuda yang berasal dari Sarawak itu.

Pelawaan rakan

Mengimbas kembali perjalanannya sehingga terjebak dalam bidang yang diceburi, Jerry mula menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur pada usia 18 tahun dengan tujuan untuk mencari pekerjaan kerana tidak berminat untuk menyambung pelajaran.

Di Kuala Lumpur, Jerry tidak mempunyai masalah untuk mencari tempat tinggal sementelah dia mempunyai ramai kenalan yang juga berasal dari Sarawak.

Keputusan Jerry untuk berhijrah mencari pekerjaan di Kuala Lumpur pun dibuat selepas diajak oleh rakannya yang telah terlebih dulu mendapat pekerjaan di kota raya itu.

Menjejakkan kaki buat kali pertama di ibu kota memberi 1,001 harapan buat Jerry untuk mencari rezeki bagi membantu keluarganya di kampung.

Pada awal kehidupannya di Kuala Lumpur, Jerry telah diambil bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah butik yang terletak di sebuah pusat beli-belah terkemuka.

“Saya hanya bekerja selama empat bulan dan diberhentikan kerana masalah disiplin,” ujar Jerry.

Selepas diberhentikan kerja, Jerry terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kehidupan di kota metropolitan itu.

Atas pelawaan seorang rakannya, Jerry telah diajak untuk bekerja di salah sebuah pusat kesihatan yang menawarkan perkhidmatan urutan dan sauna.

Berbekalkan rupa paras yang kacak dengan susuk tubuh tegap dan berotot menjadikan Jerry sangat diminati di tempat kerjanya.

Jerry mendakwa, ketika mula-mula bekerja di pusat kesihatan tersebut, dia hanya diberi tugas untuk melakukan urutan kaki sahaja.

“Pada masa itu saya masih lagi dalam latihan untuk mempelajari teknik-teknik urutan selama tiga bulan sebelum boleh melakukan urutan badan,” katanya.

Upah lumayan

Jerry mengakui, sepanjang dia melakukan tugas sebagai tukang urut, terdapat segelintir pelanggan cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Pada awalnya Jerry berasa kurang selesa dan janggal, lebih-lebih lagi jika pelanggan tersebut adalah pelanggan lelaki.

Namun, selepas ditawarkan dengan upah yang lumayan, Jerry tidak dapat menolak untuk melakukan ‘servis’ yang diinginkan oleh pelanggan.

Bermula daripada itu, Jerry tanpa segan akan menawarkan khidmat tambahan kepada pelanggan dengan bayaran tertentu.

Menurut Jerry, terdapat juga rakan-rakan sekerjanya yang lain juga berbuat demikian untuk meraih pendapatan sampingan yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Selain di tempat kerja, saya juga dihubungi pelanggan untuk ke rumah bagi mendapatkan perkhidmatan urutan,” jelasnya.

Dalam sebulan, Jerry mampu menjana pendapatan sehingga mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000, malah dia juga telah mempunyai pelanggan tetap yang ingin mendapatkan perkhidmatan urutan ekstra sehingga tiga kali dalam sebulan.

Namun, Jerry mendakwa, kadangkala timbul perasaan bersalah dalam dirinya kerana telah tersasar daripada landasan niat asalnya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki yang halal.

“Kalau difikirkan, apa yang saya lakukan sekarang ini sama seperti seorang pelacur yang mencari rezeki dengan menjual tubuh,” katanya.

Jerry sedar, selama lima tahun dia telah bergelumang dengan aktiviti jijik yang dilakukan demi mengejar pendapatan lumayan setiap bulan.

Selain dihimpit rasa bersalah pada diri sendiri dan keluarga, Jerry juga diselubungi perasaan takut jika dia dijangkiti virus HIV kerana statusnya sebagai pekerja seks.

Jauh di sudut hati, Jerry ingin meninggalkan terus pekerjaan yang dia lakukan sekarang dan pulang ke kampung halaman.

Bagi Jerry, dia percaya rezeki ada di mana-mana, cuma masanya belum lagi tiba.

Daripada tukang urut, Jerry akhirnya terjebak dalam aktiviti tidak bermoral sebagai pekerja seks dengan menawarkan perkhidmatan ‘ekstra’ demi meraih pendapatan lumayan.