Semenjak kecil, Siti dilayan tidak ubah seperti orang gaji oleh ibu dan dua orang abangnya.

Kedua-dua abang Siti cukup pemalas dan akan memarahi Siti sekiranya rumah berada dalam keadaan tidak kemas.

“Kadang-kadang, saya rasa cukup malang kerana kita tidak boleh memilih ahli keluarga.

“Sikap ibu dan abang-abang terpaksa saya telan kerana benar-benar tidak tahu pada siapa harus diluahkan masalah ini,” ujar gadis berusia 22 tahun itu dalam nada sedih.

Membuka bicara, Siti berkata, dia dilahirkan dalam sebuah keluarga sederhana dan telah kehilangan bapa semasa berusia lapan tahun.

Arwah bapa

Semasa hayat arwah bapanya, lelaki itu kerap melayan ibu Siti bagaikan orang gaji, menyebabkan wanita itu juga mendidik Siti sebegitu rupa.

Bagi ibu Siti, tugas seorang perempuan adalah untuk menguruskan rumah daripada memasak sehinggalah membersihkan rumah.

Ujar Siti, dia sememangnya sudah diajar sejak kecil untuk memasak dan sentiasa memastikan rumah berada dalam keadaan bersih.

“Adakalanya, saya berasa ibu seorang yang berfikiran kolot.

“Hanya kerana dia dilayan seperti orang gaji, saya juga dikerah untuk menjadi orang gaji di rumah ini.

“Lebih buruk lagi, saya merupakan satu-satunya anak perempuan, menyebabkan ibu sering ‘membuli’ saya,” ujar Siti.

Tambah Siti, semuanya bermula semasa dia berusia 12 tahun.

Setiap kali tiba musim cuti sekolah, Siti akan dipaksa untuk membantu memasak dan juga mengemas rumah.

“Ketika ini, saya sedar ibu melayan saya tidak ubah seperti seorang orang gaji, bezanya saya langsung tidak dibayar.

“Dua orang abang dan adik lelaki pula langsung tidak membantu saya dalam urusan rumah. Mereka amat pemalas dan mengharapkan saya untuk menyediakan semua keperluan buat mereka,” jelas Siti.

Pernah satu ketika, ibu Siti pulang pada waktu tengah hari untuk memeriksa keadaan rumah.

Dia kemudian bertanya kepada abang-abang Siti adakah mereka sudah makan tengah hari.

Sebaik sahaja mendapat tahu Siti tidak menyediakan makan tengah hari buat dua orang anak bujangnya itu, ibu Siti terus naik angin dan memukul gadis malang itu.

“Bayangkan, saya dipukul dengan agak teruk oleh ibu hanya kerana tidak masak makanan tengah hari.

“Walhal ketika itu saya sedang demam dan tidak larat untuk memasak. Ibu terus memukul saya tanpa mempedulikan alasan tersebut.

“Abang-abang sikit pun tidak membela saya, mereka hanya diam dan membiarkan sahaja saya dimarah ibu. Saya betul-betul berkecil hati pada ketika itu,” jelas Siti yang mengakui hubungannya dengan dua orang abangnya mula renggang sejak insiden itu.

Sangka Siti, ibunya akan berubah namun wanita itu tetap terus-terusan memperlakukan Siti seperti orang gaji sehinggalah dia di bangku sekolah menengah.

Sudahlah terpaksa mengulang kaji pelajaran, Siti juga terpaksa menyapu sampah dan memasak sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan malam.

Dua orang abang Siti pula hanya tahu tidur, bermain permainan video sehingga petang dan menonton televisyen.

“Lebih menyakitkan hati, apabila mereka lapar, mereka hanya tahu buka tudung saji dan menjerit sekiranya tiada makanan di hadapan mata.

“Sejujurnya, saya rasa sesiapa yang bakal menjadi isteri abang-abang saya itu cukup malang,” cerita Siti dalam nada geram.

Selain dilayan seperti orang gaji, keadaan kesihatan Siti juga sering diabaikan dan layanan yang diterima cukup berbeza berbanding abang-abangnya.

“Pernah satu ketika, saya tercedera semasa bermain hoki di kampus dan kaki kiri saya terseliuh.

“Saya minta ibu untuk mengambil saya di kolej dan mahu berehat sepenuhnya di rumah.

“Sangka saya, ibu akan kasihan melihat saya dan tidak memaksa melakukan kerja-kerja rumah. Begitu pun, tekaan saya meleset kerana ibu tetap meminta saya untuk memasak hampir setiap hari,” dedah Siti tentang sikap ibunya.

Kini, gadis itu sudah berpindah dari rumah ibunya dan menetap di sebuah rumah sewa di ibu kota bersama dua orang rakan sekerja.

Akui Siti, dia berasa cukup lega kerana sudah berpindah dan mengakui langsung tidak merindui suasana di rumah.

“Rakan-rakan serumah sering bertanya mengapa saya jarang pulang ke rumah ibu menjenguk keluarga.

“Saya tahu teman-teman serumah menganggap saya sebagai anak derhaka, namun sesiapa pun tidak akan faham penderitaan yang saya lalui,” jelas Siti.

Sesekali, gadis berambut ikal mayang itu akan menelefon ibunya untuk bertanya khabar.

“Saya tidak bencikan ibu. Saya cuma berharap agar ibu tidak terlalu manjakan abang-abang saya yang cukup pemalas itu.

“Saya mahu ibu tahu bahawa tugas seorang perempuan bukan hanya untuk menguruskan rumah, saya juga perlu masa untuk diri sendiri,” kata Siti menutup bicara.

Setiap kali tiba musim cuti sekolah, Siti akan diminta mengemas rumah serta memasak dan dilayan seperti orang gaji oleh ibunya.