Lokasinya sedikit terasing tetapi cukup strategik untuk mencari inspirasi. Ia sesuai dengan fungsi rumah batu tersebut yang turut berperanan sebagai bengkel perusahaan kraf kulit kayu miliknya.

Wanita yang sentiasa mengukir senyuman itu terdahulu berjalan kaki menunjuk jalan ke kediamannya. Ia berada agak tinggi di atas bukit selain perlu melalui lorong yang hanya muat untuk dilalui sebuah kenderaan.

Julita, 45, bercerita, dia dahulu bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan mula mempelajari teknik memproses kulit kayu daripada rakan-rakan sekampungnya untuk dijadikan barangan cenderamata pada tahun 2000.

Niat asalnya hanya sebagai hobi di samping memperoleh pendapatan tambahan dan tidak mahu bergantung kepada gaji RM700 sebulan yang diterimanya semata-mata.

“Pada peringkat awal, saya melakukannya secara sambilan. Saya beli sebuah mesin jahit dan sebuah mesin penggelek getah untuk tujuan tersebut. Pada bulan pertama, saya berjaya menyiapkan lapan buah beg dan memperoleh pendapatan sebanyak RM200 hasil menjualnya di Pekan Nabalu, Ranau.

“Setahun kemudian, saya mendapati hasil jualan yang diterima mengatasi gaji sebagai kerani. Jadi pada tahun 2003 saya berhenti kerja untuk memberi tumpuan penuh terhadap perniagaan,” ujarnya kepada Kosmo! sempena lawatan Kraf Kampungku anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini.

Selain beg, pelbagai barangan cenderamata berasaskan kayu dihasilkan Julita antaranya ialah bekas pensel, topi, rantai kunci dan sebagainya. Kraf yang dihasilkan berharga dari serendah RM5 hingga ratusan ringgit.

Wanita etnik Dusun itu berkata, material utama kraf tersebut ialah pokok timbagan yang tumbuh meliar di kebun milik keluarganya selain di hutan sekitar kampung.

Bernilai

Menurutnya, pada zaman dahulu, nenek moyangnya membuat pakaian, selimut, tempat menyimpan padi dan tali untuk mengikat kerbau daripada kulit pokok tersebut.

Tambah Julita, dia turut mempunyai kemahiran menjahit pakaian yang diperbuat daripada kulit pokok timbagan yang biasanya ditempah khas oleh penggiat kebudayaan di Sabah dan Sarawak.

Ia dijual pada harga borong RM180 satu set dan RM250 pada harga biasa. Lazimnya, pakaian atau jaket kulit kayu pokok digayakan dalam persembahan tertentu misalnya tarian magunatip oleh suku kaum Murut.

Bercerita lanjut mengenai timbagan, sifat pokok itu yang tumbuh lurus, tidak mempunyai banyak dahan dan tidak terlalu keras seperti pokok balak begitu ideal untuk tujuan tersebut.

Namun, pokok timbagan lebih sesuai diproses. Walaupun disimpan bertahun-tahun, ia tidak akan berubah warna. Tetapi ada juga pokok lain yang boleh diambil kulitnya. Misalnya, pokok togop tetapi ia kurang berkualiti dan tidak sebagus timbagan.

“Orang yang tidak membuat produk kraf sebegini juga tahu ia bernilai. Mereka tidak akan tebang timbagan sewenang-wenangnya jika terdapat pokok itu di tanah mereka kerana ia berharga jika dijual.

“Kulitnya diambil ketika ia berusia tiga tahun dan sudah dikira berada pada peringkat matang. Tidak perlu ditunggu terlalu besar, cukup sekadar saiz tiang elektrik,” tutur ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 19 hingga 24 tahun itu.


Rumit

Berkongsi lanjut, Julita menjelaskan setelah ditebang, bahagian pokok yang dipotong itu ialah sepanjang 1.5 meter. Bahagian yang dipilih haruslah tidak berlubang, lurus, teksturnya baik dan halus serta tidak mempunyai banyak dahan.

Kadang-kadang dalam 10 pokok yang ditemui hanya sebatang yang menepati kriteria tersebut.

Setelah itu, kulit luarnya dibuang, lapisan sekeliling isi kayu dikelar dan kemudian dipukul perlahan-lahan sehingga renggang serta terbuka sebelum ditarik dengan berhati-hati menggunakan tali rafia.

Bagi Julita, tugas itu agak rumit dan biasanya dilakukan oleh dua orang. Dalam masa sehari, mereka mampu mendapatkan 20 hingga 30 keping kulit kayu.

Kulit yang dikeluarkan akan direndam di dalam besen berisi air sehingga tenggelam semalaman. Jika ada bahagian yang timbul ia akan bertukar menjadi hitam.

Seterusnya, dalam keadaan masih basah, ia dimasukkan ke dalam mesin penggelek getah bertujuan menipiskannya secara manual. Proses itu dilakukan beberapa kali dalam keadaan ia sentiasa dialiri air.

Kepingan kulit kayu yang telah nipis kemudian dikibas dan ditebar berkali-kali sehingga meregang serta saiznya menjadi lebih besar selain bertukar lembut seperti kain tuala. Apabila proses itu selesai, ia dibiarkan kering di tempat redup dan tidak boleh terdedah kepada cuaca panas.

Tempoh memprosesnya tidak boleh melebihi tiga hari. Jika tidak, ia mudah patah atau rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Menerusi perniagaan tersebut, Julita mampu menjana pendapatan bersih RM3,000 sebulan dan boleh mencapai RM8,000 hingga belasan ribu ringgit pada Hari Kraf Kebangsaan dan kempen jualan seumpamanya.

Produk kulit kayunya turut dibekalkan secara tetap ke Karyaneka yang terletak di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Ia turut dijual di kedai cenderamata di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, pusat beli-belah Suria Sabah, Lapangan Terbang Kuching, Lapangan Terbang Miri dan Pusat Warisan Sibu, Sarawak.

Apabila tidak menang tangan melakukannya, Julita akan mengajak rakan-rakannya untuk bekerjasama menyiapkan tempahan.

Ada antara mereka memilih untuk bekerja di rumahnya kerana tidak mempunyai mesin yang diperlukan. Julita hanya mempunyai tujuh buah mesin termasuk empat buah sumbangan Kraftangan Malaysia.

Salah seorang rakannya yang terlibat dalam pembuatan kraf itu ialah Julitah Kandar, 43. Julitah akan meluangkan masa hariannya antara pukul 8 pagi hingga 5 petang ke rumah Julita untuk menyiapkan tempahan.

Julitah berkata, antara produk paling popular mereka ialah rantai kunci berbentuk basung. Basung ialah sejenis bakul yang digunakan orang zaman dahulu untuk meletakkan padi yang telah siap diketam.

“Menariknya, warna kraf kulit kayu kami semula jadi dan memang kami tidak pernah cat untuk membuatnya kelihatan sebegitu. Apabila menyiapkan kraf secara gotong-royong pula, kerja-kerja menjadi lebih cepat dengan seorang bertugas menggam, seorang memasukkan fabrik, seorang menjahit dan meletakkan aksesori.

“Kemahiran ini boleh dipelajari dan akan menjadi mahir kalau selalu melakukannya. Saya juga ada mengajar anak-anak mengenai selok-belok pembuatan kraf ini,” ujarnya yang telah terlibat dalam pembuatan kraf kulit kayu selama 15 tahun.

Wanita Dusun, Julita Ukur dari Kampung Tuguson, Sabah memanfaatkan pokok timbagan yang tumbuh meliar di sekitar kampungnya untuk menghasilkan kraf kulit kayu yang dipasarkan secara meluas di seluruh Malaysia.

Info Pokok timbagan

- Nama saintifiknya Artocarpus tamaran

- Tidak ditanam sebaliknya tumbuh meliar hasil pembiakan biji benih

- Ia biasanya tumbuh meliar di tempat berbukit dan berdekatan sungai

- Boleh mencapai ketinggian sehingga 40 meter

- Panjang diamaternya boleh mencapai 100 sentimeter hingga 300 sentimeter