Alasan yang sering diberikan remaja ini adalah cukup klise iaitu mereka mahukan kebebasan, terpengaruh dengan rakan sebaya, berdepan dengan masalah keluarga dan kurang berminat untuk meneruskan pelajaran.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2015 menunjukkan sebanyak 2,540 remaja lari dari rumah bersama teman lelaki, 1,857 terpengaruh dengan rakan sebaya, 1,592 mempunyai masalah keluarga manakala 1,371 mahukan kebebasan.

Lebih menyedihkan apabila statistik juga mendedahkan remaja Melayu paling ramai lari dari rumah berbanding kaum lain.

Beberapa hari lalu, Kosmo! melaporkan seorang remaja perempuan dari Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang Kelantan dilaporkan hilang selepas dipercayai mengikut teman lelakinya.

Sebelum berlakunya kejadian itu, dia dilihat kerap memegang telefon bimbit dan menggunakan WhatsApp. Malah, keluarganya juga dikatakan tidak mengetahui anaknya mempunyai teman lelaki sehingga sanggup keluar ketika ahli keluarga yang lain sedang tidur.

Konflik

Ternyata ini bukan kes pertama direkodkan membabitkan kejadian remaja lari dari rumah yang wajar membuka mata kita semua betapa seriusnya gejala tersebut.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, tempoh kritikal bagi seseorang remaja adalah dari usia 11 hingga 18 tahun.

“Dalam fasa ini, anak-anak itu akan mencari-cari identiti mereka yang berpotensi mencetuskan pelbagai konflik dalaman dan luaran. Mereka akan merasai dan melalui pelbagai perubahan termasuk perubahan hormon serta kecelaruan identiti.

“Ketidakseimbangan hormon dalam badan menyebabkan remaja suka memberontak kerana ketika itu mereka sedang melalui proses kematangan. Justeru, mereka mula mempersoalkan setiap sesuatu dan akhirnya bertindak di luar batasan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Fauziah berkata, institusi kekeluargaan yang tidak berfungsi, faktor persekitaran dan pengaruh rakan sebaya menjadi punca berlakunya kes remaja lari dari rumah.

“Sesetengah ibu bapa mungkin bertindak mengawal pergerakan anak mereka bagi mengelakkan berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini. Namun begitu, pendekatan yang digunakan adakalanya mencetuskan konflik sehingga merenggangkan hubungan dengan anak sendiri.

“Kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sedar mereka kadangkala mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak yang amat memerlukan perhatian daripada mereka,” katanya lagi.

Malah kata Fauziah, remaja yang tidak dapat menangani tekanan bertindak beralih kepada perkara-perkara yang boleh memberi kepuasan seperti percintaan sehingga menyebabkan berlakunya kes lari dari rumah.

“Mereka mungkin terpengaruh dengan rakan-rakan yang mempunyai pasangan masing-masing sehingga turut sama mencari dan akhirnya memakan diri sendiri,” jelasnya.

Fauziah turut mengingatkan ibu bapa bahawa zaman sudah berubah dan pendekatan didikan juga perlu seiring dengan peredaran masa.

“Ibu bapa seharusnya menyedari bahawa zaman sudah berubah dan mereka perlu belajar ilmu keibubapaan yang betul. Berikan anak-anak pengetahuan agama supaya mereka tidak ada peluang untuk melakukan perkara yang tidak senonoh.

Agama

“Komunikasi yang berkesan antara ibu bapa dan anak adalah penting bagi mewujudkan hubungan yang baik. Ibu bapa perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama anak dengan melakukan aktiviti mengikut kesesuaian umur anak mereka,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, fenomena remaja lari dari rumah bukan suatu isu yang baharu sebaliknya telah lama berlaku.

“Dalam kes-kes yang berlaku, remaja masih di bawah umur, tidak matang dan mungkin terpengaruh dengan persekitaran,” ujarnya.

Oleh itu, Mohamad Shukri berkata, elemen agama perlu diberi penekanan dengan lebih agresif bagi menangani kes-kes sebegini daripada terus berulang.

“Tiada penawar yang lebih baik daripada suntikan iman supaya anak-anak mempunyai ketahanan diri dan dapat melawan segala anasir-anasir negatif yang cuba menghasut mereka.

“Ibu bapa perlu menekankan nilai-nilai agama sejak anak-anak masih kecil kerana ketika itu hati mereka bersih dan mudah untuk menerima didikan,” katanya lagi.

Mohamad Shukri menambah, penekanan elemen agama tidak hanya tertakluk di rumah semata-mata sebaliknya perlu dipergiatkan di sekolah.