Ada saudara-mara yang sudah lama tidak bersua muka, akhirnya bertemu semula pada hari raya.

Tidak ketinggalan, sahabat handai yang berpeluang mengukuhkan silaturahim di rumah terbuka.

Pun begitu, dalam meriahnya Syawal, baru-baru ini, timbul cerita kurang manis berkaitan amalan kunjung-mengunjung.

Ia mengenai video dimuat naik seorang lelaki bernama Arman yang sedang mengeluarkan lebih 20 ekor bangkai ikan pelbagai jenis dari kolam hiasan di rumahnya.

Katanya, kesemua ikan tersebut mati kerana tindakan anak-anak kenalan yang menabur lebih satu kilogram makanan ikan ke dalam kolam pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya.

Terdahulu, seorang lelaki berang apabila televisyen plasma miliknya dipecahkan oleh anak rakan yang datang beraya di rumahnya.

Dakwanya menerusi Facebook, kanak-kanak itu terlalu aktif berlari. Paling dikesalkan apabila si ibu dan ayah langsung tidak menegur kelakuan si anak hinggalah membawa kepada insiden tersebut.

Ironinya, kes anak nakal hingga merosakkan harta benda awam atau orang lain ini bukanlah perkara asing dalam masyarakat kita.

Ia mungkin nampak remeh, namun meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan masyarakat hingga ada yang menyuarakan rasa bimbang menjemput kenalan dan menganjurkan rumah terbuka.

Pensyarah Kanan (Psikologi Sosial), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Azlina Mohd. Khir berkata, antara punca utama masalah ini adalah disebabkan oleh kurangnya sifat tanggungjawab dalam kalangan ibu bapa itu sendiri.

“Lumrah kanak-kanak ialah mereka gemar bermain dan bergembira. Apabila lapar atau tidak mendapat sesuatu yang diinginkan, mereka mula meragam sehingga tidak boleh dikawal.

“Baik dalam gembira mahupun meragam, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelakuan anak. Justeru, adalah sangat penting untuk ibu bapa mengawal rapi tindak-tanduk anak dalam apa jua keadaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak berbuat sesuka hati dengan memberikan alasan seperti ‘kanak-kanak memang begitu’, atau ‘biarkan, jangan menangis sudah’, hanya kerana tidak mahu aktiviti mereka diganggu oleh si anak.

Nilai murni

Jelasnya, cara sebegitu memberi perspektif kepada si cilik bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk mengambil barangan atau memasuki bilik tuan rumah untuk bermain tanpa rasa takut atau bersalah.

“Sebaiknya, terapkan nilai murni termasuk adab berziarah kepada anak sedari umurnya dua tahun atau apabila mereka sudah boleh berkomunikasi dan memahami arahan yang diberikan. Fasa kanak-kanak adalah waktu terbaik untuk membentuk peribadi.

“Sebelum menziarah, mulakan dengan pesanan awal seperti jangan bising dan duduk bersama keluarga. Tiba di destinasi, perhatikan dengan rapi tindakan mereka. Jika tidak dapat dikawal, mohon beransur pulang bagi menghormati tuan rumah,” kongsinya.

Azlina bagaimanapun kurang bersetuju jika anak ditengking dan dimarahi di depan orang ramai hanya kerana nakal.

“Ia bukan sahaja membunuh keyakinan kanak-kanak tersebut dan menjejaskan emosinya, malah menyebabkan ketidakselesaan kepada tuan rumah. Justeru, penting untuk ibu dan ayah memberi didikan awal dan menangani kelakuan anak dengan penuh diplomasi agar silaturahim terjaga,” ujarnya.

Bersetuju dengan Azlina, penulis tip ilmu keibubapaan, Taufiq Razif berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam mengawal anak-anak ketika berziarah.

“Pertama, buat perjanjian dengan anak untuk tidak berlari dan sebagainya di dalam rumah yang bakal dikunjungi. Beri mereka kata dua seperti, jika tidak berkelakuan baik, ibu bapa akan terus pulang ke rumah. Beri mereka rasa keperluan untuk mengikut perjanjian.

“Selain itu, alih perhatian anak daripada tempat atau barangan berisiko rosak seperti meja kaca, pasu ataupun cermin. Ia boleh dilakukan dengan mengajak anak bermain bersama di kawasan lapang ataupun dengan membawa mainan kesukaan anak daripada rumah,” katanya.

Tambah Taufiq, tuan rumah juga perlu membuat persediaan untuk menerima tetamu untuk mengelak masalah.

“Alih atau simpan barang berharga atau item mudah rosak dari kawasan tumpuan. Selain itu, boleh juga bantu ibu bapa memberikan keselesaan atau mengalih tumpuan si comel dengan menyediakan permainan di satu sudut rumah agar keadaan terkawal,” cadangnya.