Sekali-sekala, bibir mungilnya mengukir sekuntum senyuman hambar.

Biarpun kadangkala wanita berusia 29 tahun ini mengaku sayu melihat dua orang anaknya membesar tanpa kasih sayang daripada seorang lelaki bergelar bapa, namun jauh di sudut hatinya dia bersyukur kerana masih mempunyai perniagaan.

Sekurang-kurangnya, nasib kedua-dua puterinya terbela dan mereka tidak perlu hidup merempat memandangkan bekas suaminya itu langsung tidak memberikan nafkah.

Setiap kali mengimbau kembali kenangan lalu, hatinya bagai dirobek. Mana tidaknya, lelaki yang selama ini disanjung umpama raja sanggup berlaku curang di belakangnya.

Ternyata, sia-sia sahaja Hidayah tunduk dan melaburkan wang ringgit kepada suaminya apabila pengorbanan tersebut dipersiakan begitu sahaja.

Bercerita lanjut mengenai kisah hidupnya, menurut wanita kelahiran sebuah negeri di utara tanah air ini, perkahwinan antara dia dan Zamri didirikan atas dasar suka sama suka.

“Saya mengenali Zamri ketika baru berjinak-jinak mengusahakan butik perkahwinan.

“Kebetulan pada waktu itu, dia menemani rakannya membuat tempahan pelamin untuk majlis perkahwinan. Dari situ, cinta kami mula bertaut,” jelasnya.

Menurut Hidayah, biarpun dimaklumkan Zamri tidak mempunyai pekerjaan tetap, namun dia langsung tidak mempedulikannya.

Sebaliknya, anak sulung daripada tiga beradik ini percaya mereka boleh bekerja bersama-sama untuk membangunkan butik pengantin yang diusahakannya.

Setahun menyulam kasih, Hidayah dan Zamri mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Wang belanja

Seperti kebanyakan pasangan pengantin baharu yang lain, kehidupan Hidayah dan Zamri begitu indah.

Bagaimanapun, benar kata pepatah, langit tidak selalunya cerah. Kelakuan Zamri mula berubah.

Dia bertukar menjadi seorang lelaki yang begitu pemalas. Hal-hal berkaitan butik perkahwinan kesemuanya diuruskan oleh Hidayah.

Disebabkan terlalu sayang, Hidayah hanya membiarkan sahaja kelakuan Zamri. Biarpun begitu, dia berdoa agar suaminya itu berubah.

Beberapa bulan kemudian, mereka diberikan khabar gembira apabila Hidayah disahkan hamil anak kembar.

“Saya lihat Zamri begitu teruja apabila mendapat berita tersebut.

“Perangainya juga mula berubah dan menjadi semakin rajin. Hati saya berbunga riang apabila kesemua kerja-kerja di butik dilakukannya bersama pekerja.

“Bagaimanapun, perubahan tersebut hanyalah sementara apabila dia mula menunjukkan kelakuan yang ganjil ketika saya hampir melahirkan anak,” jelasnya.

Menurut Hidayah, jika dahulu dia sering menghabiskan masa bermain permainan video di rumah, namun kini Zamri gemar keluar dari rumah dan hanya pulang ketika jam menunjukkan angka 5 pagi.

“Naluri saya dapat berasakan dia mempunyai wanita lain. Mana tidaknya, setiap hari dia akan meminta wang sekurang-kurangnya RM500 untuk berbelanja.

“Pakaian pula sentiasa bergaya dan minyak wangi yang disemburnya boleh dihidu sejauh 1 kilometer,” ceritanya.

Bermadu

Dugaan yang datang semakin bertimpa-timpa apabila Hidayah didatangi seorang wanita berusia pertengahan 30-an sewaktu di dalam pantang.

Wanita tersebut mengakui merupakan kekasih Zamri dan meminta maaf kepada Hidayah atas keterlanjuran mereka.

“Hancur hati saya apabila mendengar pengakuan tersebut. Wanita yang memperkenalkan diri sebagai Mimi itu turut merayu untuk berkongsi kasih dan menjadi madu kerana enggan menanggung dosa.

“Kerana termakan rayuan dan enggan bersubahat dengan dosa yang dilakukan, saya bersetuju. Tambahan pula saya lihat Mimi merupakan seorang wanita yang baik.

“Tetapi sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya dia merupakan wanita yang bertopengkan syaitan apabila Zamri terus melupakan saya dan anak-anak sebaik mereka berkahwin.

“Jangan kata nafkah, tanggungjawab terhadap anak yang masih lagi bayi pada waktu itu pun diabaikan. Tidak sampai setahun bermadu, saya diceraikan dengan talak tiga,” jelasnya.

Akui Hidayah, dia hampir gila angkara perbuatan Zamri dan Mimi.

Bagaimanapun dia bernasib baik apabila mempunyai keluarga yang prihatin dan kemudian membawanya berubat di sebuah negeri di selatan tanah air.

“Alhamdulillah, saya lebih tenang sekarang. Ketika ini, saya hanya fikirkan anak-anak. Mereka sumber kekuatan saya.

“Biarlah bapa kandungnya enggan memberikan nafkah kerana saya boleh berikan apa yang diinginkan anak-anak. Sekurang-kurangnya, saya tidak lagi ditipu dan bekerja bertungkus-lumus untuk membela biawak hidup seperti dahulu,” luahnya.

Hidayah hampir menjadi gila selepas suami yang disanjung curang dan sanggup menceraikannya dengan talak tiga selepas bernikah dengan kekasih hati.