“Sesungguhnya, saya amat menyesal dengan semua yang terjadi,” luah wanita itu dengan wajah yang sugul.

Pertemuan kru Panorama de­ngan Nadia (bukan nama sebenar) pada pagi itu berjalan dengan lancar.

Biarpun berat, Nadia bersetuju untuk menceritakan kisah hitam dalam hidupnya sehingga menyebabkan dia dibuang keluarga.

Menurut gadis berusia 22 tahun itu, dia merupakan seorang pelajar pintar di sebuah universiti tem­patan di selatan tanah air.

Sebaik sahaja berpeluang me­nyambung pengajian di universiti terbabit, Nadia yang berasal dari sebuah kawasan pedalaman di Sabah mengaku teruja dan tidak sabar-sabar untuk belajar hidup berdikari dan jauh daripada ke­luarganya.

“Saya cukup seronok apabila dapat tinggal di asrama bersama rakan-rakan. Maklumlah, saya memang tidak pernah berpisah de­ngan keluarga sejak lahir,” ujar gadis bertubuh kurus itu.

Semasa sambutan hari lahirnya yang ke-20, Nadia diperkenalkan dengan Syafiq oleh salah seorang teman baiknya.

 

Berzina

Syafiq yang sememangnya tertarik dengan kecantikan Nadia pantas menghulurkan salam per­kenalan dan memberanikan diri untuk meminta nombor telefon gadis itu.

“Syafiq tidak putus-putus memuji kecantikan saya dan sejak daripada itu, kami menjadi se­makin rapat.

“Syafiq merupakan segala-segalanya buat saya kerana lelaki itu cukup pandai menjaga serta mengambil hati saya.

“Kami kerap keluar berdua dan kalah dengan godaan syaitan apabila kami terlanjur berkali-kali,” luah Nadia.

Biarpun tahu berzina itu merupakan satu dosa, Nadia yang sudah mulai ketagih tidak mempedulikan soal halal serta haram dan berte­rus-terusan melakukan perbuatan terkutuk itu dengan kekasihnya.

Sehinggalah, pada penghujung tahun 2016, Nadia disahkan hamil enam minggu.

“Menggeletar tubuh saya sebaik sahaja doktor memberitahu saya hamil. Saya tahu Syafiq tidak bersedia untuk berkahwin dengan saya dan keadaan itu menjadikan saya bertambah takut.

“Saya memberitahunya dan Syafiq meminta agar kandungan tersebut digugurkan,” ujar Nadia.

Pada mulanya, Nadia bersetuju untuk menggugurkan kandungan tersebut, namun dia tiba-tiba berasa berat hati dan mula jatuh sa­yang pada kandungan itu.

Pada ketika itu juga, Nadia mula menyedari perubahan pada sikap Syafiq. Lelaki itu mula menjauhkan diri daripada Nadia dan sering mengelak apabila diajak berjumpa.

“Saya kerap menelefon Syafiq dan mahu berjumpa dengannya kerana terlalu rindu. Begitu pun, dia kerap memarahi saya dan se­ring memberikan pelbagai alasan untuk tidak bertemu.

“Ketika itu, saya tersedar bahawa perkara yang paling saya takuti telah berlaku iaitu saya ditinggalkan oleh individu yang telah menghamilkan saya,” ujar Nadia sedih.

 

Ditinggalkan kekasih

Gadis itu kemudian mula me­ngumpul kekuatan untuk memberitahu tentang kandungannya kepada keluarga.

Nadia tidak putus-putus me­minta maaf atas kesilapan diri dan berjanji tidak akan mengulangi­nya. Begitu pun, kedua-dua ibu dan bapa Nadia terlalu marah dan tergamak membuang gadis itu daripada keluarga mereka.

“Ibu dan ayah betul-betul tidak boleh menerima kesilapan saya.

“Menurut mereka, saya telah memalukan keluarga dan kesilapan yang dilakukan itu amat mengecewakan mereka. Lebih ­buruk lagi, dua orang abang serta dua orang adik perempuan saya juga amat membenci dan tidak henti-henti menyindir saya,” kata Nadia.

Akibat terlalu marah, bapa Nadia juga enggan membayar yuran pengajian gadis itu sehingga memaksa Nadia berhenti belajar. Di situlah keperitan hidup Nadia bermula apabila dia terpaksa bekerja keras biarpun sedang hamil.

“Dengan berbekalkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pelayan restoran.

“Bayangkan, saya terpaksa be­kerja sebagai pelayan di sebuah restoran dengan keadaan perut saya yang besar itu. Saya terlalu penat sehingga kerap jatuh sakit semasa sedang hamil.

“Saya berkali-kali terfikir untuk berhenti kerja sahaja, namun saya langsung tiada wang simpanan. Gaji yang diperoleh juga cukup-cukup makan sahaja,” jelas Nadia.

Selepas melahirkan seorang bayi perempuan awal tahun ini, Nadia kembali bekerja dan mula membina hidupnya semula.

Jelas gadis itu, dia mahu melupakan kisah silam dalam hidup­nya dan fokus untuk membesarkan serta memberikan kehidupan yang baik buat anak perempuannya.

“Saya sama sekali tidak me­nyangka, keluarga yang disangka segalanya dan menjadi tempat berlindung tergamak membuang saya, seolah-olah saya ini bukan darah daging mereka.

“Ya, saya sedar saya telah me­lakukan kesilapan, namun tidak mungkin tiada sekelumit perasaan simpati dan kasihan langsung buat saya. Mungkin inilah ujian buat saya dan saya reda,” ujar Nadia sambil menangis.

Kini, Nadia hanya mampu berdoa supaya seluruh ahli keluar­ganya dapat kembali menerima dan memaafkan segala kesilapannya yang silam­.